Oleh Nazrul Aziz
20 Oktober 2021, 09:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan, Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, PPHK, HEPA melalui Kumpulan Kesenian Persadatari, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pemuisi Nasional Malaysia telah menganjurkan Pertandingan Puisi Tari Terbuka Malaysia (PETAMA 2021).

PETAMA 2021 ini merupakan gabungan antara elemen puisi dan tarian dalam sebuah pertandingan, iaitu setiap pasukan yang bertanding perlu menghantar video yang mengandungi deklamasi puisi sambil diiringi oleh gerak tari ahli pasukan yang lain.

Pertandingan ini terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia yang berumur 13 tahun dan ke atas. Setiap pasukan yang bertanding perlu dianggotai minimum tiga orang ahli, namun hanya seorang sahaja deklamator dalam setiap pasukan yang bertanding.

Barisan pemenang Anugerah Utama PETAMA 2021.

Bagi anugerah utama, iaitu Anugerah Platinum disandang oleh pasukan Citra Daksina yang mempersembahkan puisi bertajuk “Ragawi Bahasa” nukilan Ria Asmira, Anugerah Emas pula disandang oleh kumpulan Tari Talian Darah yang mempersembahkan puisi bertajuk “Darah Terpercik Di Baju” karya Norazimah Abu Bakar. Manakala Anugerah Perak disandang oleh kumpulan Pentas Merawi yang mempertaruhkan puisi “Pesan Untuk Anak” karya Che Su Deraman.

Seterusnya, sebanyak tiga kumpulan telah memenangi Anugerah Gangsa iaitu kumpulan Balttisar x D’Bayu, pasukan Langkah Warisan dan kumpulan Sanggar Asli yang mempertandingkan puisi “Ramahmu Malaysia” (Ijamala MN), “Jangan Gendang Bertingkah Lagi” (Ab Rani Embi) dan “Citra Jiwa Merdeka” (Abdul Karim Gulam).

PETAMA 2021 juga turut memberikan tiga Hadiah Citra kepada deklamator terbaik yang dimenangi oleh pasukan Tari Talian Darah, busana terbaik dimenangi oleh pasukan D’Waris dan kumpulan harapan dimenangi oleh pasukan Sri Nangmara. Setiap pemenang bagi Hadiah Citra membawa pulang wang tunai, sijil dan buku.

Pertandingan yang bermula dari 15 Julai hingga 30 September 2021 itu telah dinilai pada 1 hingga 15 Oktober 2021 dan keputusan pemenang telah diumumkan pada 17 Oktober 2021 menerusi laman Facebook PETAMA 2021.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.