16 Oktober 2021, 20:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selangor –  Menurut Rozlan Mohamed Noor, konotasi yang dimaksudkan dalam terma ‘swaterbit’ ini tidaklah konkrit dan tertutup perbincangan definisinya. Katanya, “Swaterbit ini merupakan usaha dan daya upaya dalam penerbitan buku yang diusahakan sendiri oleh penulis dan pengarang itu sendiri secara sepenuhnya.” Namun demikian, beliau juga menambah bahawa konsep ini agak longgar kerana konotasi ‘sepenuhnya’ itu sendiri akan berdiri dalam konteks yang tersendiri.

Webinar “Cabaran Baharu Penulis Era Pandemik” turut menampilkan Hafiz Latiff sebagai moderator.

Rozlan yang merupakan figura penting dalam ranah penerbitan tanah air telah dijemput oleh KEMUDI dalam sebuah webinar “Cabaran Baharu Penulis Era Pandemik” anjuran KEMUDI dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah (DBP) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Webinar yang berlangsung selama dua hari tersebut telah menampilkan Rozlan sebagai pembicara pada hari pertama webinar tersebut berlangsung.

Trend (penerbitan sendiri) ini meriah sejak kebelakangan ini, namun menurut Rozlan, trend tersebut bukanlah kerana pandemik semata-mata, malah kerana senario penerbitan sedia ada itu sendiri. “Keadaan dan paparan platfrom penerbitan perdana kita sendiri menyebabkan lahirnya budaya swaterbit dalam kalangan penulis kita,” jelas Rozlan.

Menurut beliau, sebagai penggiat dan pemerhati dalam industri penerbitan, fenomena ini dilihat bergerak rancak di pentas penerbitan tempatan dan pembukuan sejak separuh dekad yang lepas.

Apabila penulis itu mahu menerbitkan sendiri karya mereka, maka akan timbullah kekangan, halangan dan cabaran dalam usaha ini, apatah lagi dalam keadaan pandemik yang melanda negara sejak awal tahun lepas.

Pandemik ini telah berada dalam kehidupan kita sudah lama, dan akan kekal bersama kita, maka kita perlu beradaptasi menambah baik kehidupan untuk bersedia menempuh situasi akan datang.

Bagi memperjelaskan lagi jawapan untuk persoalan mengapakah penulis Malaysia mula menceburkan diri dalam kegiatan swaterbit, Rozlan menjelaskan beberapa faktor seperti rasa kesukaran yang dihadapi penulis untuk memasuki pintu penerbitan yang semakin sempit untuk direbut peulis.

Rozlan Mohamed Noor.

“Penerbit juga hakikatnya perlu berhati-hati dalam inisiatif melaburkan modal dan membuka pintunya untuk menghasilkan judul baharu, lebih-lebih lagi setelah kelihatan akan penurunan angka dalam daya ekonomi industri ini. Malah, isu ini pastinya meninggalkan kesan buat penulis dan pengarang, khususnya karyawan baharu dan kurang popular untuk kekal hidup di ranah penulisan tempatan,” jelas Rozlan yang menceritakan pengalaman beliau dalam bidang penerbitan ranah tempatan.

Apabila terlihatnya nilai kemerosotan ekonomi dalam syarikat penerbitan, individu dan kumpulan yang ada kepakaran dalam syarikat penerbitan ini juga mula melebarkan sayap mereka menyinggah ke rumah penerbitan yang lebih membumi atau dipanggil rumah penerbitan indie. Mereka dengan kepakaran ini lalu menyebarkan ilmu dan daya pengetahuan mereka dalam kerja penerbitan kepada penggiat buku yang lain, sekali gus berkongsi kepakaran.

“Namun di sebalik usaha ini, prinsip penerbitan juga akan sedikit terpesong kerana wujud kelonggaran dalam penilaian karya, tapisan konteks dan apa-apa kriteria yang berkaitan,” ujar Rozlan.

Pandemik juga menyekat pergerakan syarikat percetakan, maka terhentilah dan terjejaslah proses percetakan buku. Namun Rozlan memppunyai perspektif yang tersendiri dalam mengulas permasalahan ini.

“Menghasilkan buku bukan sahaja dituntaskan melalui hasil cetaknya, banyak lagi gerak kerja yang terlibat yang boleh diselenggara dan ditambah baik. Penggiat industri ini perlu merangka strategi, menambah daya utuh bersama-sama penulis dan banyak lagi usaha lain untuk menambah baik nilai buku kita,” jelas beliau.

Komuniti Booktube Malaysia yang diasaskan oleh Hafiz Latiff dan Aman Wan.

Mutakhir ini, fenomena penggiat media sosial telah menjadikan platform tersebut sebagai pendekatan yang baharu dalam dunia pembukuan. Contohnya, kehadiran booktuber di Youtube, booktok di Tiktok, bookstagram di Instagram dan twitbuku di Twitter yang mengangkat dan membesarkan wacana buku dalam kalangan pelayar media sosial, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Penulis sendiri perlu memainkan peranan mempromosikan karya mereka, mencitrakan diri mereka dan tulisan mereka serta mempersembahkan karya mereka kepada pembaca dan khalayak yang luas ranahnya, malah ke peringkat antarabangsa.

Turut menjadi pembentang jemputan dalam webinar ini adalah Ahmad Husein Tajuddin, yang membincangkan fungsi dan peranan MARC, sebuah badan pengelola hak dan royalti. Beliau menjelaskan berkenaan Malaysia Reprographic Rights Centre (MARC), sebagai sebuah syarikat serta organisasi bukan kerajaan yang ditubuhkan pada 25 Mei 2021, sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk menghapuskan penggunaan karya hak cipta yang tidak dibenarkan oleh ahlinya dan sekutunya.

Tonton webinar penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.