13 Oktober 2021, 17:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cahari olehmu akan sahabat,

Yang boleh dijadikan ubat.

 

Cahari olehmu akan kawan,

Pilih segala orang setiawan.

Inilah antara bait kata-kata indah dalam “Gurindam Dua Belas Fasal Keenam”, karangan Raja Ali Hali yang sering didendangkan oleh anak-anak muda pada masa kini. Kekuatan penggunaan bait-bait kata yang sarat dengan pengajaran mampu membawa masyarakat untuk bersama-sama menghayati keindahan bahasa dan nilai murni dalam puisi tradisional.

Usaha untuk mengangkat martabat dan keindahan dalam puisi tradisional terus dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan (JKKN Kelantan) dengan kerjasama Persatuan Bitara Syair Melayu Nusantara (BITARA), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK) dan Persatuan Penulis Kelantan (PPK) melalui Program Bimbingan Penulisan dan Penghayatan Puisi Tradisional yang telah disiarkan pada 12 Oktober 2021, pukul 8.00 hingga 11.00 malam menerusi laman media sosial DBP dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan.

Program yang diadakan dengan tujuan untuk memberikan bimbingan tentang teknik penulisan puisi tradisional yang baik dan berkualiti oleh Felo Tamu ATMA, juga Maestro Syair Nusantara, Roslan Madun dan Johan Pertandingan Syair Peringkat Antarabangsa Tahun 2020, Dr. Shafa’atussara Silahuddin ini berkongsi pelbagai maklumat mengenai puisi tradisional seperti syair, gurindam, pantun dan nazam.

Pantun amat dominan dalam persembahan lagu Melayu. Keintelektualan masyarakat dahulu mengadaptasikan keindahan dan sifat unsur-unsur alam dalam pantun membuktikan bahawa masyarakat kita amat peka dan sensitif dengan budaya sekeliling.

Roslan turut menambah bahawa penerapan nilai murni dan pengajaran turut diterapkan melalui puisi tradisional seperti gurindam, syair dan nazam. Penulisan rangkap pantun, syair gurindam dan nazam yang teratur juga dapat membantu masyarakat menghasilkan puisi tradisional yang berkualiti. Puisi tradisional juga menjadi lambang atau cerminan akal budi Melayu melalui segala bentuk pengajaran dan pembelajaran yang terkandung di dalamnya. Inilah antara rangkuman penting yang disampaikan oleh Roslan Madun.

Penerangan berkaitan jenis irama syair yang terdapat dalam puisi tradisional.

Program yang mendapat tontonan 3000 orang pelayar media sosial DBP dan JKKN Kelantan ini turut mendapat perhatian melalui pertanyaan tentang bentuk puisi tradisional daripada pelayar dari Negara Indonesia, Thailand dan Brunei Darussalam. Selain itu, Dr. Shafa’atussara Silahuddin turut membuat persembahan dendangan syair, nazam, seloka dan gurindam ketika program tersebut berlangsung.

Program Bimbingan Penulisan dan Penghayatan Puisi Tradisional ini diharapkan menjadi satu wahana penting untuk memperkasakan kemahiran bahasa dan penulisan dalam kalangan masyarakat, selain menjadikan sastera sebagai wadah pembentukan nilai murni dalam kalangan generasi muda, seterusnya melahirkan generasi yang kreatif, dinamik dan berilmu dalam pelbagai bidang khususnya melalui penulisan dan penghayatan pada puisi tradisional. Siaran penuh dapat ditonton di sini.

Program bimbingan tersebut telah berjaya menarik perhatian pelayar yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang  keindahan puisi tradisional.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.