13 Oktober 2021, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sastera dan ideologi politik sememangnya tidak dapat dipisahkan. Sastera yang ditulis atas dasar “sastera” hanya berlaku sebelum kedatangan tentera Jepun ke Tanah Melayu. Pungguk antara penulis sajak terawal dengan judul “Oh Ibuku” pada tahun 1933.

Sesudah fasa penerokaan sastera moden ini berlangsung selama beberapa belas tahun, penubuhan parti politik berhaluan kiri mahupun kanan mula mengubah landskap penulisan sastera moden apabila penulis sastera mula menjadikan karya mereka sebagai propaganda untuk menuntut kemerdekaan dan agenda parti masing-masing, termasuklah agenda komunisme.

Novel Shit, karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad.

Ideologi dan persoalan politik ini terus berkembang hingga hari ini, malah perkembangan tersebut menghasilkan banyak karya besar antaranya seperti Interlok, SHIT dan Sungai Mengalir Lesu.

Secara amnya, ideologi politik bukanlah sesuatu yang buruk dan tidak harus ada dalam diri penulis. Bagi penulis ini, kenyataan tersebut tidak benar. Bahkan ideologilah yang menentukan hala tuju sesebuah karya. Tanpa ideologi politik, penulis mungkin akan terperangkap dalam persoalan yang sama sahaja.

Walau bagaimanapun, terperangkap dalam ideologi politik semata-mata juga mengundang lebih banyak keburukan apabila persoalan yang melibatkan agama, kemaslahatan ummah, keagungan bahasa kurang disentuh oleh penulis kerana ingin “menjilat” parti yang mereka dukungi.

Kebimbangan itu telah pun berlaku dan telah menimpa penulis generasi baharu. Mereka terperangkap dengan ideologi politik masing-masing sehingga sanggup mengenepikan soal ketatanegaraan yang sebenar. Bagi mereka “ketatanegaraan” harus ikut logik dan moral kompas yang mereka anuti bersama dengan parti politik mereka.

Sebagai contoh, sikap menghormati kedudukan bahasa Melayu dan agama Islam. Bagi sesetengah parti politik dua perkara ini tidak perlu disantuni kerana bahasa Melayu tidak komersial dan tidak boleh diguna pakai dalam sektor ekonomi. Manakala agama Islam pula tidak sepatutnya menjadi “undang-undang” rasmi, tetapi sekadar anutan peribadi seperti mana agama lain yang ada di Malaysia.

Sedangkan bagi penulis generasi awal, agama Islam dan bahasa Melayu menjadi tunggak perjuangan dan persoalan dalam menyampaikan hasrat untuk mendepani cabaran dunia tidak kira pada masa ini atau masa akan datang.

Ketatanegaraan dan kemanusiaan mempunyai hubung kaitnya. Negara yang berjaya ialah negara yang seimbang dari segi ketatanegaraan dan kemanusiaannya. Di Malaysia, ketatanegaraan dan kemanusiaan dibentuk oleh Perlembagaan, dan dalam perlembagaan Malaysia yang dicipta oleh Suruhanjaya Reid, iaitu tidak ada satu pun warga Malaysia yang bersama dengan mereka membentuk Perlembagaan telah menuntut tiga perkara iaitu Kedudukan Raja-raja Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu.

Tiga tuntutan inilah yang menjadi dasar pada ketatanegaraan dan kemanusiaan yang dipegang oleh penulis generasi awal. Namun seperti yang penulis ini sebutkan, ideologi politik sesetengah parti melihat tiga perkara ini sebagai batu penghalang pada matlamat “kemanusiaan” mereka.

Jarum pemahaman “kemanusiaan” mereka terus menjahit dalam minda penyokong mereka daripada generasi awal hingga hari ini. Malah dengan lahirnya generasi baharu yang tidak menempuhi zaman perjuangan dan perperangan, ideologi politik dan moral kompas yang dibawa oleh parti politik ini dengan mudah meresap dan diterima.

Ini kerana garis panduan kemanusiaan yang mereka sediakan menepati kemahuan dan rongga sifat manusia itu sendiri, termasuklah melempiaskan nafsu pada jantina sejenis.

Menurut logik dan moral kompas ini, penulis generasi baharu mula meneroka soal hak kemanusiaan yang diterokai oleh Barat secara khususnya dan mereka berasakan Baratlah kiblat yang paling afdal untuk sujud.

Ini menyebabkan, gerakan yang melibatkan penulis generasi baharu mengangkat hak wanita untuk melacur dan hak lelaki untuk menukar jantina atau hubungan sejenis (semburit). Tidak cuma “kemanusiaan” itu sahaja yang mereka khatam dan hafiz, tetapi termasuklah kualiti bahasa dan adab mereka.

Daripada ideologi dan moral kompas ini, penulis generasi baharu mula berasa tergugat dengan keteguhan pendirian dan pegangan penulis yang lebih veteran sehingga mereka bertindak untuk menyerang penulis veteran secara peribadi.

Berbeza dengan penulis veteran, jika berpolemik namun mereka masih mematuhi landas ilmu dan landas kritikan. Seperti Polemik Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad atau Kassim Ahmad dan Syed Naquib Al-Attas, polemik tetap berlaku, pertembungan ideologi dan moral kompas berlaku tetapi yang indahnya ialah mereka berpegang pada landasan dan tidak menyerang secara peribadi dan kritik dengan bahasa yang kotor.

Benar, Usman Awang berkata, “Sesebuah bangsa tidak akan menjadi besar tanpa sifat kurang ajar.” Namun dalam konteks puisi Usman Awang, menjadi kurang ajar perlu tepat pada tempat dan musuhnya. Bersikap kurang ajar perlu bijak dalam merencana dan memilih musuh.

Musuh penulis baharu bukanlah susuk penulis veteran, tetapi keangkuhan. Sifat berasakan seseorang berhak untuk bercakap, mengkritik dan menilai sesuatu dengan ideologi, tahap moral dan laras bahasa mereka sendiri itu ialah keangkuhan.

Kurang ajar dan angkuh merupakan dua perkara yang berbeza. Bersikap kurang ajar perlu dihalakan kepada mereka yang bertindak dengan zalim, seperti pemimpin, politikus atau polis yang mengambil rasuah. Bukan bersikap kurang ajar dengan semua orang yang miliki ideologi dan moral kompas yang berbeza.

Tulisan ini merupakan luahan pendapat penulis ini selepas membaca artikel yang ditulis oleh Zaen Kasturi dalam majalah Dewan Sastera yang berjudul “Keyakinan Murahan pada Zaman yang Mahal”. Penulis ini berasa dekat dengan persoalan yang dinyatakan oleh Zaen kerana penulis ini sendiri berada pada zaman yang sama seperti yang diperkatakan oleh Zaen.

Penulis ini sendiri hidup, bersosial dan menghirup udara yang sama. Maka penulis ini berasakan tidak adil jika sebagai individu yang melalui dan merasai zaman ini tidak memperkatakan apa-apa tentang persoalan yang ditimbulkan oleh Zaen.

Zaen Kasturi.

Hal moral dan ideologi, tidak disentuh dalam artikel tersebut jadi, penulis ini menambahkan salah satu punca kepada sikap yang menjurus pada keangkuhan ialah ideologi dan moral kompas yang dianuti oleh penulis generasi baharu.

Kesimpulannya, memiliki ideologi politik dan moral kompas yang berbeza bukanlah satu perkara yang salah, malah menjadi berbeza membuatkan kita menjadi manusia yang lebih baik dan lebih berdaya untuk penaakulan, terutama tentang kehidupan.

Namun demikian, menjadi berbeza sahaja bukan alasan yang baik untuk menentang perkara yang hak semata-mata untuk mengangkat perkara yang batil. Menjadi berbeza tidak pernah membuat manusia menjadi kurang ajar dan biadap, menjadi berbeza tidak pernah membuat manusia menjadi over-offended dengan semua perkara yang bertentangan dengan moral yang diamalkan dan menjadi berbeza bukan bermaksud perlu membuang pegangan yang benar semata-mata untuk menyantuni orang-orang yang miliki pegangan berbeza.

Akhir sekali, teruskan menjadi berbeza dalam masa yang sama, belajarlah untuk menjadi manusia yang baik tanpa menjadi kurang ajar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.