11 Oktober 2021, 11:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Irama indah orkestra lagu Negaraku dendangan Firdaus Zainal membuka Konsert Selusur Generasi 21, yang menemui penonton menerusi skrin di alam maya pada malam tadi. Konsert ini dilangsungkan di bawah program seni antarabangsa Generasi 21 (generasi21 | Beacons mobile website), sebuah program yang melibatkan penyertaan antarabangsa dari 5 buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei, dengan matlamat untuk menyuburkan rasa cinta terhadap budaya dan sastera ke jiwa generasi muda dan belia.

Dianjurkan oleh Katarsis Seni, dengan kerjasama Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Universti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Persatuan Nasional Malaysia (PENA), Kelab Deklamator Malaysia (DEKMAL),  Balai Seni Visual Negara, Koperasi SMK Seri Keramat dan Meja Poedjangga, konsert ini juga diharapkan dapat melahirkan persepsi generasi yang kreatif untuk mencorakkan budaya baru dalam penghasilan karya sastera di era teknologi yang semakin laju menekan zaman.

Umar Uzair yang merupakan penyair muda dan juga Pengarah Urusan Poedjangga Malaysia turut mempersembahkan Cenderawasih, karya Zaidy Nandir.

Dengan menampilkan Umar Uzair Mohd Zain sebagai pengarah, konsert sastera ini memperlihatkan sisi muda dan rona belianya dan sekali gus membantu dalam usaha menarik minat lebih ramai khalayak muda ke dalam kancah sastera. Umar Uzair yang juga Pengarah Urusan Meja Poedjangga Malaysia, bergiat aktif dalam dunia kepenyairan. Selain penciptaan dan pelancaran lagu puisi ciptaan beliau, Umar juga giat membuat persembahan mendendangkan puisi-puisi di pentas persembahan ternama negara.

Persembahan awal oleh SK USJ 12, Subang Jaya membawa persembahan gerak lincah Seni Silat Tari Melayu ke atas pentas. Puteri Elena dan Puteri Fareehah, masing-masing membuat persembahan solo membintangi persembahan ini, sebelum bergabung membuat persembahan duo. Persembahan berikutnya disusuli pula oleh Empire Dance Crew yang membuat tarian moden disusun oleh tukang koreografi Nana.

Kemudian, Fella pula menyusul membintangi pentas dengan persembahan tarian moden dengan bimbingan koreografer Nur Ameera. Wakil dan peragam daripada SMK Seri Keramat menyusul pula dengan persembahan “Rampaian Melayu” iaitu seni tari Zapin, Joget dan Inang dalam satu persembahan.

Segmen Kenduri Puisi memperlihatkan barisan penyair dan tokoh kepenyairan negara beraksi dengan persembahan yang merembeskan keindahan dan kekuatan puisi pilihan masing-masing, di samping memperlihatkan penghayatan yang mendalam dan suara yang menjanjikan. Bermula dengan persembahan puisi tari Shirley Idris dengan puisi karya Sasterawan Negara Kemala, “Ada”, lalu menyusul pula Aqi Azmi dan Sharina mendeklamasikan puisi artistik bernada melankolik karya Khoirul Triann, kemudian Salman dan Wan Yusof pula membawa persembahan monolog menarik, disusuli Mohd Amir Akil dan Lim Ah Nee dengan puisi Ghazali Taib “Milik Siapakah Tanah Ini”.

Seterusnya Shukri Abdullah pula mempersembahkan “Konserto Kemerdekaan”, Attokz Dikulgai dengan puisi “Ada Yang Hilang” diiringi melodi melankolik, kemudiannya Zack Kirana dengan puisi “Lembaran buat Anak Muda” ciptaannya sendiri, Ayudez Zuraina, Lin Haslinaz dan Ayawan Musafir Singgah dengan “Mantera Puteri” karya Ayudez Zuraina, Dato Dr. Mohd Radzi membuat persembahan puisi artistik “Wasiat Seorang Raja” dan akhirny Lim Swee Tin pula membawa “Catatan Malam Seorang Pencinta” sebagai penutup segmen.

Dr. Shafa’atussara turut mempersembahkan puisi yang berjudul “Rakis”.

Bahagian kedua Konsert Selusur Generasi membawa penonton menelusuri segmen Similir Melodi, membariskan persembahan yang bertuntaskan muzika, melodi dan lagu puisi. Kumpulan Gema-one memulakan segmen itu dengan persembahan lagu Yang Benar, kemudian Sani Sudin dengan lagu Kopi & Teh, disusuli ratu nyanyian lagu Melayu Tradisional, Dr. Shafa’atussara Silahuddin dengan syair “Rakis”, lalu Umar Uzair pula membawa Cenderawasih karya Zaidy Nandir, Asmidar dengan Biar Sampai ke Bintang dan akhirnya Roslan Madun dengan “Seloka Pak Pandir”.

Konsert Selusur Generasi berjaya membawa penonton untuk meneroka sisi kepenyairan yang seiring dengan suara dan pandangan belia, di samping tidak mengenepikan roh dan jiwa sastera itu sendiri. Utuhnya, inisiatif seperti Generasi 21 ini dilihat atau diharapkan dapat menyemarakkan lagi ranah kepenyairan negara, khususnya buat generasi baru dan yang mendatang.

Tonton Konsert Selusur Generasi 21 di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.