10 Oktober 2021, 08:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kebelakangan ini, begitu ramai yang berminat untuk menghasilkan karya pendek seperti puisi, cerpen, esei dan lain-lain untuk disiarkan dalam akhbar mahupun majalah. Ada juga yang telah cuba menghantar karya, tetapi tidak disiarkan seperti yang diimpikan oleh mereka.

Namun, di manakah silapnya? Apakah kekurangan karya tersebut sehingga tidak berjaya untuk tersiar? Sebenarnya tidak ramai yang tahu apakah format asas dan langkah yang perlu dititikberatkan oleh penulis sebelum memulakan penulisan dan menghantar karya tersebut untuk disiarkan oleh penerbit.

Pada 9 Oktober lalu, seorang penggiat aktif dalam dunia penulisan, penerbitan dan perbukuan, Hafiz Latiff  telah mengadakan sesi kuliah selama dua jam melalui aplikasi Zoom Meeting secara percuma. Dalam kuliah tersebut, beliau berkongsi panduan menulis dan menghantar artikel untuk penerbitan majalah.

Format asas yang paling utama dalam menghasilkan sesebuah karya sangat membantu proses penerbitan. Penulis perlu mengetahui jenis tulisan yang sering digunakan rumah penerbitan beserta saiz dan langkau baris. Ini sering sahaja di pandang remeh oleh sesetengah penulis, malah setiap jenis karya juga mempunyai halaman maksimum untuk disiarkan dalam majalah.

Selain itu, sebelum menghantar karya penulis perlu tahu rumah penerbitan yang akan menyiarkan karya tersebut. Adakah karya tersebut menepati tema dan genre mereka. Sebagai contoh, jika penulis ingin menghantar artikel bertemakan sastera, maka rumah penerbitannya mestilah sastera dan bukannya sejarah.

Menurut Hafiz Latiff juga, penulis juga perlu menjalin hubungan awal dengan editor majalah. Dalam erti kata lain, jika ingin menghantar karya kepada majalah X, penulis perlu tahu siapakah editor yang masih bertugas untuk majalah X. Bukan itu sahaja, alamat e-mel editor menjadi kewajipan kerana dengan cara ini penulis boleh berhubung dengan editor untuk membincangkan kriteria yang perlu ada dalam majalah jika menginginkan karya tersiar.

Selepas mendapat alamat e-mel editor, perkara yang perlu dititikberatkan untuk semua penulis adalah adab menghantar e-mel. Jangan hanya menghantar e-mel kosong bersama dengan lampiran tanpa sebarang kata pendahuluan apatah lagi memperkenalkan diri.

Perkara ini sama sekali akan menimbulkan rasa tidak senang kepada editor kerana tidak pasti apakah tujuan e-mel ini dikirimkan dan siapakah pengirimnya. Tambahan pula, jika tidak tahu nama editor, penulis boleh sahaja memanggil, “Puan Editor” atau “Tuan Editor”.

Jika semua langkah di atas telah diikuti dengan baik, berikan tempoh masa penilaian untuk penerbit sekurang-kurangnya 1 hingga 6 bulan dan maksimum tempoh adalah setahun. Penulis juga boleh ikuti perkembangan karya yang sudah dihantar dan pada masa yang sama, penulis tidak dibenarkan untuk menghantar karya yang sama ke rumah penerbitan yang lain.

Ini bagi mengelakkan hak penerbitan tercemar, malah mengundang rasa kurang senang kepada pihak yang terlibat. Seterusnya, penulis perlu ambil tahu tentang honorarium atau bahasa mudahnya, sagu hati. Setiap karya yang diterbitkan akan menerima sagu hati berbentuk wang tunai mahupun baucar.

Namun demikian, semua ini bergantung kepada rumah penerbitan bahkan kadar bayaran yang dibayar kepada penulis bergantung pada jenis karya seperti esei, artikel, cerpen mahupun puisi.

Perkara terakhir dan kerap dilakukan oleh penulis ialah tidak menyemak semula karya sebelum dihantar kepada editor. Sebelum menghantar karya, penulis sepatutnya menyemak terlebih dahulu tanda baca, fakta, ejaan dan lain-lain lagi supaya editor yang membaca karya tersebut faham akan apa yang ingin disampaikan oleh penulis walaupun rumah penerbitan tersebut sudah ada editor mahupun pembaca pruf.

Memetik kata-kata Hafiz Latiff dalam kuliahnya, “Banyakkan berkarya, banyakkan menulis, banyakkan menghantar karya kerana dalam setiap perbuatan itu pasti akan ada rezeki di salah satu rumah penerbitan.”

Jangan mudah berputus asa dan teruskan usaha untuk mencapai impian!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.