6 Oktober 2021, 20:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selangor – Jabatan Pendidikan Negeri Selangor melalui Sektor Sumber Teknologi Pendidikan telah mengadakan Bengkel Pengkarya Muda Selangor yang berlangsung menerusi pelantar Google Meet. Bengkel yang memfokuskan genre cerpen itu merupakan langkah terbaik untuk mencari calon pelapis sasterawan yang berupaya menghasilkan cerpen berkualiti dan terbaik sebagai usaha kesinambungan penulis terdahulu dan penulis yang ada pada masa kini.

Bengkel yang dihadiri oleh 30 orang pengkarya muda dalam kalangan pelajar sekolah menengah yang terpilih dari seluruh negeri Selangor  ini melibatkan enam slot pengisian. Antara slot tersebut ialah “Slot Memasuki Dunia Penulisan Kreatif” dan “Slot Terjah Media: Bagaimana Menghantar Karya ke Media” yang dipimpin oleh Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub atau Nimoiz T.Y., seorang penceramah penulisan dan juga pensyarah Kejuruteraan Politeknik Ungku Omar, Perak.

Pada slot tersebut, pengkarya muda didedahkan dengan pengenalan dunia penulisan kreatif, terutamanya dalam mengenali cabang-cabang yang ada dalam bidang penulisan. Selain itu, mereka turut didedahkan dengan teknik yang betul untuk menghantar karya ke media.

Kemudiannya, pengkarya muda diberikan bimbingan daripada Mohd Khairul Riza Tuan Mohd Yusop, seorang penulis dan editor bebas dalam “Slot Berkenalan dengan Cerpen” dan “Slot Aspek Bahasa: Tatabahasa dan Penyuntingan Karya”. Dalam slot tersebut, Mohd Khairul Riza turut memberikan penerangan tentang maksud serta ciri-ciri cerpen yang membezakan genre ini dengan genre kreatif yang lain. Sebagai editor, beliau juga memberikan tunjuk ajar berkenaan aspek bahasa dan penyuntingan dalam penghasilan sesebuah cerpen.

Pengkarya muda turut mendapat bimbingan daripada Syahidatul Munirah Badrul Munir yang berkongsi pengalamannya dalam “Slot Menulis Cerpen yang WOW. Beliau juga telah mengupas dan membedah karya beberapa peserta dalam “Slot Kupasan dan Bedah Karya”. Sebagai penulis yang berbakat dalam penulisan kreatif, beliau turut dilantik sebagai ketua hakim dalam penilaian kesemua cerpen pengkarya muda sepanjang bengkel tersebut berlangsung.

Sebanyak 30 cerpen telah dihasilkan dan pihak penilai telah memilih karya “Atma buat Qyaira”, hasil tulisan Nurul ‘Ain Aqilah Abd. Rahim dari Sekolah Menengah Seri Puteri sebagai pemenang tempat pertama. Tempat kedua dimenangi oleh Nurul Farhanah Hishamuddin dari SMK Taman Jasmin 2 melalui karyanya “Khayalan”. Manakala pemenang tempat ketiga ialah Nur Hasnah Rahmah Mohd Saleh dari SMK Banting yang menghasilkan cerpen berjudul “Don’t Go”.

“Atma Buat Qyaira” dipilih sebagai pemenang kerana cerpen ini menawarkan suatu dimensi berbeza buat para pembaca. Karya ‘Ain Aqilah sarat dengan ilmu bantu yang berkesan bagi menyokong perjalanan cerita juga emosi watak. Penulis juga bijak menata imaginasi dengan penggunaan terma sains yang baik, bahkan bahasanya lancar dan naratif penceritaannya kuat. Selain itu, cerpen ini tidak meleretkan cerita dengan dialog lewah. Elemen saspens dan kesan emosi ditangani dengan baik sehinggakan berjaya menimbulkan rasa keterujaan dan ketegangan kepada para penilai (pembaca).

Bengkel Pengkarya Muda Selangor telah berjaya menarik minat pelajar sekolah menengah di Selangor untuk mengasah bakat mereka dalam bidang penulisan.

Berdasarkan pembacaan hakim dan penilai, pengkarya muda negeri Selangor ini sangat berbakat dan mempunyai idea yang baharu dan segar. Namun begitu, terdapat beberapa perkara seperti penggunaan tanda baca, ejaan, dialog yang lewah dan fakta yang kurang tepat masih berleluasa dan memerlukan proses pembaikan. Hal ini bukanlah sesuatu yang tidak boleh dibaiki kerana mereka masih baharu lagi.

Proses pendedahan dan pembelajaran yang yang dilakukan oleh Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor  dalam bengkel ini ialah suatu langkah terbaik demi untuk menumbuhkan seorang sasterawan yang mampu menghasilkan karya terbaik untuk Malaysia dan tidak mustahil untuk dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.