Oleh Masriyah Misni
5 Oktober 2021, 13:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukan cinta yang menjadikan cantik,

Bukan cantik  yang menjadikan cinta;

Bukan tinta yang menjadikan titik,

Bukan titik yang menjadikan tinta.

Ungkapan pantun di atas mungkin kena-mengena apabila berbicara tentang penulisan esei sebagai alternatif yang baik dalam mengasah minda seseorang dalam berkarya. Boleh dikatakan, sesetengah esei yang dihasilkan adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis itu sendiri berkenaan dengan sesuatu isu yang dianggap menarik untuk tatapan pembaca.

Penulisan esei merangkumi sejumlah elemen tertentu, antaranya termasuklah kritikan kesusasteraan, manifesto politik, hujah yang dipelajari, pemerhatian mengenai kehidupan seharian, ingatan, dan juga refleksi daripada penulis.

Baru-baru ini, penulis ini berkesempatan menyertai sebuah program Seminar Akademik Bulanan (SAB), anjuran AID Conference. Objektif program ini adalah untuk membudayakan penulisan esei dalam kalangan pendidik kerana mereka begitu sinonim dengan aktiviti penulisan, terutama melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

AID Conference atau Persidangan Dialog Antarabangsa Akademik ditubuhkan sebagai syarikat penganjur persidangan profesional dengan bertujuan untuk mengumpulkan para sarjana daripada pelbagai bidang ilmu untuk mempamerkan penyelidikan, perbincangan dan jaringan dengan ahli akademik lain di seluruh dunia.

Selain giat menganjurkan pelbagai program, AID Conference juga aktif menerbitkan karya seperi buku ilmiah, karya kreatif berbentuk antologi puisi dan ankedot. Antaranya ialah Antologi Puisi Tarian Tinta, Kalaulah Aku Termotivasi… (anekdot), dan Antologi Puisi Magisnya 02022020  serta banyak lagi.

Pada kali ini, SAB yang diadakan secara dalam talian melalui platform Google Meet menampilkan Cikgu Mohd Huzaifi Mat Ail, guru dari MRSM Mukah sebagai penceramah dan TS Dr. Basharudin Abdul hadi, pensyarah UiTM Kampus Permatang Pauh, Pulau Pinang sebagai moderator.

Dalam ceramah yang disampaikan secara santai, Cikgu Mohd Huzaifi Mat Ail menekankan bahawa aktiviti penulisan esei sebagai budaya yang harus dibiasakan, terutama dalam kalangan pendidik. Ini kerana pendidik dan aktiviti penulisan boleh diibaratkan sebagai lagu dan irama, yang tidak dapat dipisahkan lagi.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa penulisan esei ini dapat memberikan nilai tambah dalam Sasaran Kerja Tahunan (SKT) kerjaya seorang guru. Bahkan, guru juga dapat menjana pendapatan sampingan menerusi penyertaan dalam beberapa pertandingan menulis esei yang dianjurkan oleh mana-mana pihak sama ada kerajaan mahupun swasta.

Maka itu, beliau amat menggalakkan para guru untuk terlibat sama dengan aktiviti penulisan esei sebagai mengasah bakat dalam penulisan, selain dapat membantu para pelajar mencapai kecemerlangan akademik dalam penulisan seperti karangan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Sebahagian peserta yang menyertai program SAB.

Kebelakangan ini, media sosial banyak menawarkan peluang menulis esei kepada sesiapa yang berminat. Peranan media sosial seperti Facebook, Telegram dan sebagainya sangat penting dalam menyalurkan input berkaitan dengan penulisan esei.

Selain memberikan suntikan semangat kepada para peserta seminar, Cikgu Mohd Huzaifi Mat Ail juga turut berkongsi beberapa panduan yang diamalkan olehnya sehingga berjaya memenangi pertandingan esei sebelum ini.

Panduan Penulisan Esei

  1. Menyediakan fail pengurusan maklumat pertandingan, iaitu poster dan iklan pertandingan dalam komputer sebagai rujukan.
  2. Menulis menggunakan ayat gramatis bagi menambat hati juri penilai. Contohnya: “Dalam ketaksuban meniti arus kemajuan kesan daripada landaan gelombang globalisasi…” .
  3. Menggunakan ungkapan yang menarik.
  4. Penulisan ilmiah juga menggunakan bunga bahasa bagi menimbulkan keindahan dan ketepatan. Namun penggunaannya tidak melebih-lebih.
  5. Bunga bahasa untuk penulisan bukan kreatif sangat sederhana sahaja.
  6. Dari segi isi atau fakta yang hendak dibincangkan dalam esei, memadailah dengan mengemukakan tiga sehingga lima isi atau fakta. Seterusnya isi atau fakta yang dinyatakan haruslah dikembangkan atau dihuraikan dengan jelas dan lengkap, beserta contoh yang bersesuai.
  7. Penulis juga digalakkan menuliskan semula isi penting pada permulaan perenggan sebagai tajuk atau fokus utama perbincangan. Penulis juga haruslah fokus kepada kehendak soalan atau tema yang hendak dibincangkan dalam penulisan eseinya.
  8. Pada bahagian penutup atau rumusan penulisan esei, dicadangkan untuk meletakkan penanda wacana yang bersesuaian bagi menegaskan kepada pembaca tentang kepentingan atau manfaat yang diperoleh hasil daripada perbincangan fakta dalam perenggan isi penting. Antara yang dicadangkan ialah “sebagai intiha”, “akhir kalam”, “sudah terang lagi bersuluh bahawa”, “secara tuntasnya”, “sebagai konklusinya” dan “secara total”.
  9. Menggunakan ungkapan atau frasa indah bagi tujuan mengindahkan bahasa dalam penulisan esei bagi merangsang minat pembaca.
  10. Penggunaan bahasa kiasan turut digalakkan.

Selain itu, Cikgu Mohd Huzaifi Mat Ail mencadangkan kepada peserta seminar yang berminat untuk menghasilkan esei agar memiliki buku Ungkapan Indah Untuk Penulisan SPM oleh Azizul Rahman Abdul Rahman (Tokoh Guru kebangsaan 2016).

Sumber foto: Google

Walaupun buku ini merupakan panduan khusus bagi pelajar yang bakal menduduki SPM, namun sesuai digunakan sebagai rujukan oleh para penulis pemula khususnya, kerana dalamnya terkandung sebanyak 1783 frasa indah, 1171 bahasa kiasan dan 158 peribahasa bagi tujuan memantap dan menajamkan fikiran penulis dalam penulisan melalui mata pena.

Sebagai penutup bicara, Cikgu Mohd Huzaifi Mat Ail menitipkan kata-kata semangat buat para peserta, “Sebarkanlah ilmu yang bermanfaat kerana pahalanya sentiasa mengalir umpama air sungai yang mengalir ke lautan. Manfaatkanlah ia.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.