Oleh Salman Sulaiman
5 Oktober 2021, 13:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dr. Mohd Hanafi Ibrahim ketika menjadi ahli panel rancangan “Tabik Dia: Penulis Perakam Zaman” yang berlangsung melalui siaran Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia mengungkapkan kepentingan karya sastera awal Nusantara khususnya tanah Melayu, sebagai perakam zaman yang menjadi dokumen penting sesebuah masyarakat pada setiap dekad.

Dr. Mohd Hanafi Ibrahim.

Berpengalaman lebih 30 tahun di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur; Dr. Hanafi pada awal bicara menelusuri kembali permulaan kesusasteraan Melayu sejak zaman bahari dengan munculnya sastera lisan melalui pelbagai bentuk dan cara penyampaian. Hinggalah kemudiannya lahir karya besar Sejarah Melayu pada abad ke-16, yang sekali gus menjadi sumbangan besar kepada dunia.

Sumber foto: Google

Hikayat Hang Tuah juga merupakan satu lagi karya besar dunia Melayu yang merakamkan soal siasah, politik, sosial dan ekonomi dalam kalangan orang Melayu itu sendiri. Penulis ialah orang yang mempunyai kewibawaan dalam menghasilkan karya kerana penulis memesrai alam sekeliling dan persekitaran sosial yang dihuni mereka. Pengalaman inilah kemudiannya dipindahkan dalam bentuk tulisan.

Kedudukan setiap pengarang itu bukanlah bertitik tolak daripada ruang imaginasi yang kosong, tetapi lebih kepada pengalaman pengarang itu yang berada dalam lingkungan masa dan zaman yang dihuni mereka.

Oleh sebab itu, karya yang mereka hasilkan kemudiannya menjadi satu dokumentasi sosiobudaya yang cukup penting kepada masyarakat, dan itulah yang dikatakan penulis sebagai seorang perakam zaman.

Dalam program bual bicara yang dihoskan oleh Ghani Abu itu, Dr. Hanafi turut menerangkan tentang perkembangan penulisan karya prosa di negara ini. Karya sastera digunakan untuk memantulkan masyarakat sejak zaman Aristotle lagi.

Hikayat Panglima Nikosa (1876) karya Ahmad Shawal, Hikayat Faridah Hanom (1925) oleh Syed Syeikh al-Hadi, Iakah Salmah (1927) karangan Ahmad Rashid Talu, Melati Kota Bharu (1941) hasil cipta A. Kadir Adabi, dan Salina (1961) oleh A. Samad Said ialah antara karya sastera yang digunakan untuk menampung satu gagasan yang membawa makna kepada kemajuan pemikiran bangsa.

Dr. Hanafi turut menyuarakan harapannya sebagai seorang yang berpengalaman bertugas hampir empat dekad di Dewan Bahasa dan Pustaka agar dokumen cerita rakyat yang begitu banyak di DBP segera dipindahkan dalam bentuk digital kerana bahan tersebut akan rosak.

Bidang sastera yang mempunyai khalayak yang luas dan pelbagai peringkat ini juga, karyanya perlu dipindahkan dalam bentuk multimedia, khususnya bagi karya yang mempunyai keperibadian dan nilai budaya. Itu antara sumbangan penting yang boleh dibuat oleh DBP menurut kata Dr. Hanafi.

Merumuskan perbincangan, Dr. Hanafi menyebut tentang Ibn Khaldun sendiri dalam Mukadimah juga mengiktiraf karya sastera sebagai hasil peradaban sesebuah masyarakat dan meletakkannya di kedudukan yang penting kerana sastera mampu membentuk keperibadian manusia, termasuklah dari sudut akhlak dan juga etika.

Penulis sebagai perakam zaman itu sebenarnya ialah penulis yang mempunyai tanggungjawab untuk memajukan fikiran dan mendidik masyarakat, serta ia bukan bertolak daripada keseronokan semata-mata.

Setiap penulis pada zaman kemunculannya bukan sahaja satu tanda kepada keberadaan dirinya sahaja, tetapi karya yang dihasilkannya bukan sekadar sesuai pada zaman itu, namun boleh hidup dan berdialog dengan khalayak hingga seratus atau dua ratus tahun akan datang, dan mungkin juga berabad-abad lamanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.