5 Oktober 2021, 22:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Adaptasi merupakan sebuah konsep yang besar untuk ditakrifkan dan tidak hanya memfokuskan kepada novel semata-mata. Hal ini kerana adaptasi boleh sahaja dilakukan daripada drama pentas, cerpen, lagu, esei mahupun autobiografi. Oleh itu, bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Wilayah Utara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang telah mengadakan program Bual Bicara: Daripada Novel kepada Skrin yang dapat ditonton menerusi laman sosial DBP pada petang tadi.

Antara objektif utama program tersebut diadakan adalah untuk memberikan penjelasan berkaitan adaptasi, terutamanya yang melibatkan adaptasi daripada karya sastera kepada skrin. Menurut YBrs. Dr. Wan Hasmah Wan Teh, “Sejarah adaptasi filem di Malaysia bermula pada sekitar tahun 1933 iaitu filem adaptasi pertama tersebut ialah Laila Majnun.” Seterusnya, perkembangan adaptasi filem dapat dilihat pada tahun 2010 yang boleh dikatakan sebagai penanda aras tentang usaha mengadaptasi novel kepada skrin.

Pada masa tersebut, novel popular merupakan antara novel yang menjadi pilihan untuk diadaptasi kepada filem mahupun drama. “Sebagai contoh, kita boleh melihat bahawa pada tahun 2010, filem Lagenda Budak Setan yang diarahkan oleh Sharad Sharan merupakan karya novel penulis terkenal iaitu Ahadiat Akashah telah menjadi fenomena pada waktu tersebut,” tambah YBrs. Dr. Wan Hasmah.

Dalam proses awal mengadaptasi sesebuah karya kepada skrin, proses pemilihan novel akan dibuat oleh penulis skrip dengan membentangkan konsep idea sesebuah novel tersebut. Menurut YBrs. Dr. Shahremy, ketika pembentangan tersebut, kami (penulis skrip) harus membentangkan kepada panel penilai secara ringkas dan padat. Antara penilaian yang akan dilihat ialah jumlah kutipan jualan novel tersebut dan kualiti sesebuah jalan cerita dalam sesebuah novel tersebut.

Apabila novel tersebut telah berjaya diterima oleh pihak stesen televisyen, maka terdapat dua situasi yang akan dilihat, iaitu sama ada akan diadaptasi sepenuhnya daripada novel tersebut atau diinspirasikan sepenuhnya.

Beliau berkata, “Apabila filem atau drama tersebut diadaptasi sepenuhnya daripada novel tersebut, maka ia merupakan perkara yang mudah bagi kami (penulis skrip) kerana tiada pengubahsuaian yang akan dibuat. Namun sekiranya diinspirasikan sepenuhnya daripada novel, kami akan mengambil 70% daripada novel tersebut dan akan mengolah tanpa mengubah idea asal serta harus mendapat keizinan daripada penulis novel tersebut.”

Selain itu, YBrs. Dr. Shahremy yang juga merupakan penulis skrip drama televisyen tempatan  turut menambah, “Bukan sesuatu yang mudah untuk mengadaptasi sebuah novel popular kepada skrin. Hal ini kerana pembaca akan menilai setiap babak yang ditayangkan dan akan membandingkan dengan jalan cerita dalam novel tersebut.” Sebagai penulis skrip drama televisyen terkenal tanah air iaitu M.F. Kencana, beliau turut mengatakan bahawa peminat novel tersebut akan secara tidak langsung menjadi peminat sesebuah drama mahupun filem tersebut.

Umum mengetahui bahawa novel dan filem merupakan dua medium yang berbeza. Pernyataan tersebut turut disokong oleh beliau dan berkata, “Penulis novel seharusnya memahami bahawa novel dan filem merupakan medium yang berbeza, iaitu yang melibatkan proses pemindahan (ekranisasi) daripada novel atau cerpen kepada skrin.”

Isteriku Bukan Tukang Masak merupakan drama adaptasi daripada cerpen. (Sumber: Google)

Sebelum ini, YBrs. Dr. Shahremy turut berkongsi tentang cabaran untuk memilih dan memotong beberapa babak dalam novel kerana terlalu panjang untuk difilemkan. Namun terdapat persoalan tentang bagaimanakah pula sekiranya drama atau filem tersebut diadaptasi daripada cerpen. Persoalan tersebut dijawab oleh M.F. Kencana kerana beliau telah menghasilkan skrip drama Isteriku Bukan Tukang Masak yang diadaptasi daripada cerpen. Menurut beliau, cabaran tersebut memerlukan kreativiti seseorang penulis skrip kerana perlu menambah plot jalan cerita ke dalam drama tersebut supaya dapat melengkapi jalan cerita utama, tanpa mengubah idea asal cerpen tersebut.

Kita memerlukan lebih banyak penulis skrip yang mampu mengadaptasi karya novel kepada lakon layar. Oleh itu, kita akan dapat melihat lebih banyak karya sastera yang berjaya diadaptasi kepada skrin.

Novel Ayahanda, terbitan DBP merupakan antara karya novel yang berjaya diadapatasi kepada drama.

Namun realitinya drama atau filem yang diadaptasi seringkali dikritik, terutamanya dalam kalangan pembaca setia novel tersebut yang membandingkan antara novel dengan drama atau filem. Menurut Maizura Ederis, “Novel dan filem merupakan dua medium yang berbeza, iaitu novel menghasilkan ayat manakala filem pula menghasilkan visual.” Beliau turut menjadikan Tangisan Bulan Madu sebagai contoh karya yang dikritik kerana novel tersebut merupakan antara novel popular dan sekali gus menjadikan drama tersebut terkenal.

“Saya tidak boleh mengambil risiko dengan menghasilkan skrip yang perlahan, jadi saya bersama-sama penulis novel tersebut, iaitu Shamsiah Mohd. Nor telah berbincang dan mengolah jalan cerita tersebut tanpa mengubah idea asal. Namun usaha tersebut dikritik oleh penonton yang juga pembaca setia novel tersebut kerana mereka membandingkan setiap babak dengan drama tersebut,” ujar beliau.

Program bual bicara tersebut telah berjaya membantu masyarakat untuk lebih memahami tentang konsep adaptasi yang sebenarnya.

Program bual bicara tersebut menampilkan barisan panel yang berpengalaman seperti YBrs. Dr. Shahremy Ikmal Shahbudin, Mohd Fairuz Mohd Padoli (M.F. Kencana), Maizura Mohd Ederis serta YBrs. Dr. Wan Hasmah Wan Teh yang bertindak sebagai moderator. Program yang berjaya memberikan penjelasan kepada masyarakat secara tidak langsung dapat membantu masyarakat untuk memahami dengan lebih jelas tentang apakah itu adaptasi. Siaran penuh program tersebut boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.