3 Oktober 2021, 15:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebagai usaha untuk memahami fiksyen sains dengan lebih mendalam, sekumpulan karyawan tempatan yang terdiri daripada editor, penulis serta pengulas buku hadir bagi membincangkan genre tersebut di reruang Twitter pada pukul  9 malam tadi.

Memulakan sesi dengan memberi gambaran terhadap fiksyen sains, penulis dan pengkaji, Nisah Haron menegaskan bahawa genre itu bukan sekadar penghasilan cerita mengenai subjek sains semata-mata.

“Berbeza dengan fantasi, fiksyen sains lebih kepada menerangkan fungsi sesuatu perkara itu berlaku, ada penerangan saintifik dan sebagainya yang tidak logik mengikut realiti zaman karya tersebut dilahirkan, tetapi mungkin boleh berlaku pada masa hadapan. Fantasi pula tidak perlukan penerangan, cuma ia cerita yang aneh. Titik persamaan antara fiksyen sains dan fantasi adalah ‘keanehan’, iaitu sesuatu yang tidak berlaku pada realiti pembaca tetapi merupakan perkara normal dalam penulisan tersebut. Tanpa keanehan, ia menjadi cerita sains biasa, seperti kisah kitaran hidup katak,” ujarnya.

Fiksyen sains juga adalah sejenis satira di mana karya tersebut digunakan sebagai lapisan hadapan terhadap sesuatu topik yang sukar untuk diperkatakan. Seperti filem Planet of the Apes, yang menggunakan fiksyen sains untuk bercakap mengenai ras, bangsa, dan rasisma yang sukar disampaikan secara terang-terangan.

Syahira Hozami atau lebih dikenali sebagai Syeraho turut aktif dalam menghasilkan karya fiksyen sains, iaitu Projek Athena. (Foto: Twitter @Syeraho)

Beralih kepada perbezaan antara fantasi fiksyen sains yang ringan dan berat, Syahira Hozami menjelaskan bahawa fantasi berat adalah lebih teknikal, tegar dan menggunakan disiplin sains yang betul  walaupun faktanya tidak tepat sepenuhnya, tetapi lebih realistik berbanding dengan  fantasi ringan yang  mudah dibawa melalui berdasarkan kreativiti penulis.

“Sebagai contoh dalam drama siri penyiasatan, CSI: Crime Scene Investigation yang menitikberatkan prosedur sains forensik untuk kenal pasti penjenayah dan mangsa. Faktanya betul tetapi teknologi yang digunakan mungkin tidak ada dalam situasi sebenar,” ulasnya

Beliau turut menjawab persoalan pendengar mengenai penggunaan laras bahasa dalam genre ini bagi memudahkan pembaca memahami isi kandungan karya.

“Antara kesalahan awal yang ditegur oleh editor sewaktu saya mula menulis adalah mengenai konsep sains yang cuba saya sampaikan. Beliau menegur dan berkata bahawa pembaca tidak akan peduli tentang perkara yang ingin saya terangkan, kecuali cerita saya menarik, di mana konsep sains itu diadun dalam penceritaan dan bukannya seperti saya cuba mengajar konsep tersebut kepada pembaca. Jadi, gunakan istilah perbandingan yang lebih mudah dan dekat dengan pembaca untuk mudah difahami,” jelasnya.

Menjawab persoalan berkaitan siapakah yang layak menulis genre fiksyen sains, penulis terkenal, Sri Rahayu Mohd Yusop berkata, “Mana-mana individu yang minat dengan genre ini layak untuk menulis.”

“Selain cerita pendek dalam antologi fiksyen sains dan fantasi dari luar negara, tidak segan untuk saya katakan bahawa filem adalah inspirasi utama penulisan saya. Hal ini kerana filem banyak memberi petunjuk secara visual. Sukar untuk bergantung kepada imaginasi semata-mata. Jadi, saya gunakan bantuan visual daripada filem dan cuba untuk menulis,” katanya.

Jika tidak minat menonton, membaca dan tidak ambil tahu tentang genre ini, maka sukar untuk seseorang penulis itu untuk menghasilkan karya fiksyen sains yang baik.

“Pada pandangan saya, individu yang mahu menulis dalam fiksyen sains tidak perlu ada kelayakan dalam bidang ini, namun perlu hormat dengan ilmu sains iaitu dengan tidak menggunakannya secara sambil lewa. Sebelum mengetengahkan sesuatu konsep saintifik, mereka perlu untuk buat kajian terlebih dahulu. Penulis perlu hormat pembaca mereka dan juga fakta sains yang tidak boleh diubah,” tegas Sri Rahayu.

Mengakhiri perbincangan tersebut, Nisah Haron dalam kajiannya berkaitan genre ini menyedari bahawa penulisan fiksyen sains di Malaysia masih lagi dipengaruhi dengan teras idea dari barat. Beliau turut meluahkan harapan untuk sama-sama mengangkat karya fiksyen sains sebagai pembacaan untuk orang dewasa, bukan hanya terhad kepada remaja serta untuk melihat genre ini diiktiraf dalam sastera kebangsaan.

Tunas Cipta Bil. 10 menampilkan Awan Wafdan yang berbicara tentang fantasi dan imaginasi kreatif dalam berkarya.

Sesi perkongsian tersebut turut menampilkan Awan Wafdan yang menjadi hos bagi sesi tersebut menerusi Reruang Twitter @seketulawan. Selain itu, beliau juga terlibat dalam sesi wawancara bagi ruangan “Borak Orang Muda” majalah Tunas Cipta Bil. 10 yang menekankan tentang aspek imaginasi kreatif dan fantasi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.