2 Oktober 2021, 14:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Hidayah AT Mizi yang sedang membina karakter, dilihat sebagai seorang penyair yang genius, dan mampu menghasilkan karya yang mengesankan pembaca,” ulas Fahd Razy, seorang penyair, penerbit dan penulis yang bercerita tentang penyair, Hidayah AT Mizi. Antara kekuatan dalam cara pengarang itu berkarya adalah keunikan permainan bahasa serta pemilihan imej dalam berkata-kata puitika.

Berbicara tentang Kata-kata yang Muncul di Cermin, pengarangnya Hidayah AT Mizi sempat menyatakan cabaran yang dilalui ketika menulis buku kumpulan puisi itu, “Saya seakan-akan melawan dengan diri sendiri, memandangkan dari awal hingga akhir, saya menulis sendiri,” ujar Hidayah yang membezakan mengarang puisi secara sendiri berbanding secara kolektif.

Segmen Mengopi Puisi Episod 7 membicarakan Kumpulan Puisi Kata-kata yang Muncul di Cermin, karya HIdayah AT Mizi.

Mengopi Puisi: Kata-kata yang Muncul di Cermin anjuran Kata-Pilar dan Tukang Puisi membawa perbincangan perihal puisi secara maya untuk pelayar Twitter pada khamis lepas dengan menampilkan Qurratul Ain, Arep Jawa, Mosyuki Borhan, Abdullah Husaini dan penulis buku kumpulan puisi itu sendiri, Hidayah AT Mizi.

Kata-kata yang Muncul di Cermin ini membawa tema persoalan kepayahan jiwa manusia yang sukar untuk diterjemahkan sehinggakan terlahirlah kejahatan yang berlapis-lapis di sebalik permukaan kejahatan itu sendiri. “Benarkah di sebalik ‘kejahatan’ dalam manusia itu, hanyalah kejahatan semata-mata? Saya memikirkan kepayahan dan perjuangan yang diharungi seseorang, dan apa yang ada disebaliknya,” ujar Hidayah.

Rupanya beliau menggunakan watak dalam cereka Snow White, iaitu antagonis si ibu tiri sebagai metafora dan mata perspektif dalam kumpulan puisi itu. Malah, pengarang menggunakan jelmaan dirinya sendiri di cermin sebagai cerminan persona ibu tiri itu. “Separuh diri saya di dalam cerminan adalah watak antagonis di cereka Snow White itu,” tambah Hidayah.

Selain itu, panel lain juga sempat menyatakan pendapat dan ulasan masing-masing berkenaan naskhah kumpulan puisi ini. Qurratul Ain menyatakan, “Naskhah Kata-kata yang Muncul di Cermin ini seperti sebuah naskhah ‘polos’, yang dianggap sebagai satu keunikan. Saya juga membacanya sebagai naskhah cerita, dengan judul yang berulang dan menggarap cerita dalam susunannya yang tersendiri.”

Manakala Mosyuki Borhan berpendapat bahawa penerbit juga seorang penyair, “Pengarang bertanya kepada dirinya di dalam cermin, menggali segala tentang dirinya dihadapan cermin,” Mosyuki juga dapat merasakan nada fantasi dalam garapan puisi, sekali gus menonjolkan sifat penulis yang juga bercerita.

“Penulis meletakkan diri beliau sebagai persona antagonis, kerana peribadi yang kita lihat di cermin akan memantulkan diri kita yang sunyi, sedih dan kecewa. Kalau kita mengumpul kesemua sifat ini, maka akan terciptalah satu watak antagonis. Hidayah memanifestasikan sifat ini melalui tulisan Kata-kata yang Muncul di Cermin ini,” ujar Arep Jawa pula.

Hidayah yang telah lama berehat daripada menulis turut menambah, kali terakhir beliau berkarya di ranah penyiaran seperti majalah Dewan Siswa ialah pada tahun 2011. Namun begitu, seperti yang dinyatakan oleh Abdullah Husaini ialah keberadaan seorang penulis (untuk memastikan karya mereka mempunyai pembaca) itu adalah kunci untuk menetapkan kedudukan seorang penulis dalam khalayak pembaca dan penulis.

Karya-karya Qurratul Ain juga antara yang banyak mendapat peluang disiarkan di pelantar media seperti Dewan Sastera, Selangor Kini malah di arkib terbitan Tukang Puisi. “Apabila kita libatkan diri di pelantar media, secara tak langsung dapat menyumbang daya kelangsungan ranah sastera, di samping membantu daya kepenyiaran sebagai penulis,” ujar Qurratul.

Dapatkan Kata-Kata yang Muncul di Cermin di Kata-Pilar Books.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.