2 Oktober 2021, 23:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sabah – Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 2021, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), menerusi DBP Cawangan Sabah telah mengadakan Pertandingan Monolog Satu Minit yang terbuka  kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang lahir atau menetap di Sabah atau Wilayah Persekutuan Labuan.

Tema penyertaan ialah bebas, namun peserta digalakkan untuk menampilkan isu semasa yang mengetengahkan aspek nilai murni dan jati diri yang mampu mendidik masyarakat. Para peserta dikehendaki untuk menghantar rakaman video monolog tersebut kepada penganjur untuk dinilai oleh pihak juri.

Pertandingan Monolog Satu Minit tersebut telah menobatkan Dayana Chacho, menerusi monolog “Ibu: Sebuah Retrospeksi” sebagai johan yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1000 beserta sijil penghargaan. Beliau yang merupakan penulis Wasiat dari Langit Eropah turut pernah memenangi Tempat Ketiga Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan ke-34.

Manakala Muly Chin telah berjaya meraih naib johan dengan monolog yang bertajuk “PDPR” dan menerima wang tunai sebanyak RM800 beserta sijil penghargaan. Seterusnya, tempat ketiga pula dimenangi oleh Mohd Haniff Mohammad Yusof menerusi monolog “Wajah Merdeka” dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500 beserta sijil penghargaan.

Sebanyak tiga peserta telah memenangi tempat sagu hati, iaitu Mohd Shafiq Dulamid (“Bahtera”), Muhammad Hilmi Ismail (“Lidi”) dan Sharul Nizam Mohd. Aman @ Justin (“Merdeka”). Masing-masing berjaya meraih wang tunai sebanyak RM300 beserta sijil penghargaan.

Pengumuman pertandingan tersebut dan video monolog pemenang dapat ditonton menerusi laman Facebook DBP.

Senarai pemenang Pertandingan Monolog Satu Minit.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi