1 Oktober 2021, 16:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bersempena dengan sambutan Dekad Membaca Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui  Unit Bahasa dan Sastera DBP Cawangan Sabah dengan kerjasama Bahagian Multimedia DBP Kuala Lumpur telah mengadakan program Secangkir Kopi Bersama-sama Penulis Siri 2/2021 pada pagi tadi. Objektif program tersebut adalah untuk mempromosikan karya penulis Sabah terbitan DBP, menggalakkan kegiatan bicara buku dalam kalangan penulis Sabah dan mengangkat karya penulis Sabah melalui medium bicara yang lebih santai.

Program yang diadakan secara santai pada pagi tadi menampilkan dua orang penulis Sabah, iaitu Faridah Abdul Hamid dan Norkaidawati Abdul Majid, manakala moderator pada program tersebut ialah Farik Madun. Pada siri sebelum ini, program Secangkir Kopi Bersama-sama Penulis turut menampilkan dua orang penulis wanita Sabah yang membicarakan karya masing-masing, iaitu Angela Engkuan dan Sunita Sahidin.

Sebagai permulaan, Faridah Abdul Hamid yang merupakan penulis bagi Kumpulan Cerpen Satira: Kami Bercinta Tidak Lama telah berkongsi kepada pelayar media sosial DBP berkaitan perjalanan kumpulan cerpen beliau. Walaupun tajuk kumpulan cerpen tersebut seakan-akan menggambarkan kisah percintaan, namun hakikatnya kumpulan cerpen tersebut menerapkan elemen kenegaraan, selain mengetengahkan nilai murni.

“Kumpulan cerpen yang memuatkan sebanyak 20 buah cerpen ini adalah bersifat satira dan ia mampu membantu pembaca yang ingin mendalami tentang apakah itu sebenarnya karya satira,” ulas Faridah.

Berbeza pula dengan Kumpulan Cerpen: Debar di Pelantar iaitu karya Norkaidawati Abdul Majid yang berkisarkan tentang kehidupan pekerja di pelantar minyak. Kumpulan cerpen tersebut lebih memfokuskan tentang unsur debaran dan cabaran yang dihadapi oleh pekerja dalam bidang tersebut.

Beliau turut berkongsi kepada pelayar media sosial DBP tentang cerpen kegemaran beliau yang terdapat dalam kumpulan cerpen tersebut, iaitu cerpen yang bertajuk “Sepekatnya Hitam”. “Plot yang disampaikan dalam cerpen tersebut telah membawa pembaca kepada pengakhiran kisah yang tidak dijangka,” tambah beliau.

Kumpulan cerpen tersebut menghimpunkan 12 buah cerpen yang disiapkan ketika berada di Terengganu, manakala lapan lagi cerpen disiapkan ketika berada di Mesir. Kepelbagaian latar dalam kumpulan cerpen tersebut telah menarik minat pembaca untuk menelusuri perjalanan setiap kisah yang terdapat kumpulan cerpen tersebut. Kekuatan yang terdapat dalam kumpulan cerpen tersebut telah membuatkan Debar di Pelantar memenangi Hadiah Sastera Sabah 2019/2020 bagi kategori kumpulan cerpen.

Secangkir Kopi Bersama-sama Penulis Siri 2/2021.

Sebagai penulis, sudah semestinya bukan sesuatu yang mudah untuk menghasilkan sebuah kumpulan cerpen yang baik dan berkualiti. Hal tersebut disokong oleh Faridah kerana beliau berpendapat bahawa untuk menghasilkan sebuah karya yang baik, penulis seharusnya membuat kajian terutamanya yang berkaitan fakta. Norkaidawati turut menambah bahawa beliau amat berharap bahawa setiap karya yang dihasilkan mampu memberikan manfaat kepada pembaca.

Kedua-dua kumpulan cerpen tersebut, iaitu Kami Bercinta Tidak Lama dan Debar di Pelantar dapat dibeli menerusi laman DBPNiaga atau JendelaDBP. Tonton siaran penuh Program Secangkir Kopi Bersama-sama Penulis Siri 2/2021 di sini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.