27 September 2021, 08:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Komik secara umumnya merupakan bahan bacaan yang amat digemari oleh golongan kanak-kanak dan remaja. Bahkan, terdapat juga golongan dewasa yang amat meminati bahan bacaan bergambar ini. Oleh sebab berkemampuan dari segi kewangan, golongan dewasa ini sering menjadikan komik sebagai koleksi.

Antara komik Malaysia yang mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat komik.

Ini dapat dibuktikan melalui kewujudan tarikan tersendiri terhadap komik. Pada hari ini, kegilaan terhadap komik sebenarnya bertambah rancak melalui kewujudan pelbagai laman sesawang yang menyediakan aneka ragam komik secara dalam talian.

Kewujudan laman sesawang ini telah melahirkan genre e-komik atau komik digital. Kini, e-komik dengan pantas menjadi bahan bacaan alternatif selain daripada buku cerita, hikayat, teks sejarah dan lain-lain lagi.

Bahkan, terdapat kajian yang memperlihatkan bahawa e-komik akan berterusan mendominasi pasaran sehingga munculnya teknologi baharu yang dapat mengubah kaedah pembacaan masyarakat dunia secara drastik.

Di Malaysia, masyarakat amnya masih melabelkan komik sama ada versi cetak atau digital sebagai bahan bacaan picisan. Komik sering dikatakan tidak berfaedah kerana kandungannya didakwa mempunyai lukisan tidak sopan, bahasa yang kesat dan aksi yang ganas.

Dalam erti kata lain, kesemua komik yang ada diletakkan dalam kategori atau kelas yang sama. Perihal ini terjadi kerana kegagalan masyarakat tempatan menangkap makna di sebalik cerita yang disampaikan dalam komik.

Tanpa pertimbangan yang rasional, komik terus ditohmah sebagai bahan yang tidak mempunyai nilai keilmuan. Kesannya, industri pembukuan komik berada dalam situasi yang tidak stabil sehingga beberapa syarikat terpaksa gulung tikar dan menyebabkan industri komik tempatan ketandusan bakat baharu.

Jika diteliti, tanggapan terhadap komik seperti yang dinyatakan di atas adalah tidak wujud dalam kalangan masyarakat di negara maju. Komik diintegrasikan sebagai unsur budaya dan digunakan dalam bidang pendidikan. Misalnya, di negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia, komik dijadikan bahan bantu mengajar di sekolah.

Sebenarnya, di Jepun penggunaan komik sebagai bahan pengajaran telah diamalkan sejak pasca Perang Dunia ke-2 lagi. Komik manga yang mengangkat tokoh sejarah dan sastera Jepun dijadikan sebagai bahan bacaan di sekolah agar kanak-kanak dan remaja menyedari asal usul bangsa mereka serta secara tidak langsung  berupaya menanam sifat jati diri yang tinggi.

Selain itu, kanak-kanak sekolah juga diminta untuk melukis manga bagi menajamkan kemahiran melukis dan memiliki keupayaan mentafsir hasil seni bersifat abstrak.

Maka itu, Malaysia seharusnya mengorak langkah yang sama dengan menjadikan komik sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran di sekolah terutama bagi subjek seperti Sejarah yang sering kali dikatakan sebagai membosankan.

Hal ini boleh dilakukan kerana komik mempunyai keupayaan menarik pelajar sekolah untuk membaca kerana memiliki warna, struktur badan dan ekspresi wajah berbanding dengan teks bertulis semata-mata.

Seterusnya, harus difahami bahawa komik adalah satu bentuk seni kombinasi antara lukisan dengan dialog yang membentuk naratif yang dapat diamati, diselami dan dinikmati. Bahkan, penghasilan komik juga melibatkan penciptaan watak, latar, plot dan tema atau pemikiran tertentu dalam menyampaikan ceritanya.

Oleh itu, terdapat tokoh komik tertentu seperti McCloud yang menyatakan bahawa komik boleh dianggap atau diangkat sebagai karya sastera. Seperti mana karya sastera, komik juga berfungsi menyampaikan pemikiran pengarang dan keragaman maksud secara simbolik yang menuntut penelitian secara kritis oleh pembacanya. Dalam erti kata lain, komik juga mempunyai maksud tersurat dan tersirat.

Komik Selendang Siti Rugayah oleh Rejabhad misalnya, bukan menampilkan kisah cinta antara lelaki dengan perempuan semata-mata. Hal ini dikatakan demikian kerana, wujud realiti tersembunyi, iaitu kisah naik turun iman manusia dan kelenturan cinta jiwanya terhadap Sang Pencipta.

Secara literal, Selendang Siti Rugayah memaparkan kisah pasangan remaja yang bernama Leman dan Gayah mengharungi pelbagai halangan dalam alam percintaan. Namun demikian, secara tersiratnya terselit kisah pergelutan Leman menjayakan iman dan cinta kasih terhadap Tuhannya.

Leman yang awalnya asyik bercinta tanpa mengendahkan suruhan dan larangan Allah SWT, menjadi sedar dan ingat kembali pada Tuhan serta menerima dengan segala ketentuan-Nya. Bahkan, Leman bertekad untuk merapatkan dirinya dengan Allah SWT.

Begitulah, Selendang Siti Rugayah bukan sahaja cerita komik yang berunsur jenaka. Sebaliknya, wujud cerita yang berkait jiwa manusia berjuang untuk kembali dekat dengan Tuhannya.

Terselit kisah pencarian rohani yang berliku dan sukar untuk dijayakan kerana faktor nafsu dan tarikan kuat cinta manusiawi. Karya dengan makna yang tersirat ini merupakan suatu pencapaian tinggi pengarang komik Melayu yang harus diberi perhatian oleh masyarakat dalam mengubah pandangan mengenai komik.

Selain itu, komik juga berupaya menjadi satu dokumen sosial yang merakam perubahan zaman seperti yang dilakukan terhadap karya sastera. Kebiasaannya, komik melakukan hal ini dengan menghadirkan idea dan kritikan dalam bentuk satira serta humor.

Dalam komik Mak Som karya Lat, rakaman mengenai pertembungan antara desa dengan kota yang berlaku pada tahun 1970-an hingga 1980-an amatlah kental. Lat secara sinis mengkritik orang Melayu yang hilang jati setelah berpindah ke bandar.

Dalam usaha menjadi negara maju yang mengalami perubahan pesat, terutama tekanan daripada peradaban asing dan proses globalisasi, anggota masyarakat telah berhadapan dengan masalah bagi mempertahankan tradisi, budaya dan jati diri mereka.

Masyarakat berlumba-lumba menonjolkan diri dan berusaha untuk menyaingi barat sehingga mengikis jati diri dan pegangan yang sedia ada. Bagi menghadapi perubahan itu, unsur budaya tradisi diketepikan dan gaya hidup moden menjadi pilihan.

Dalam halaman akhir komik ini, Lat melontarkan pandangannya tentang pertembungan desa dan kota serta pembangunan pesat yang menyebabkan masyarakat Malaysia hilang jati diri dengan memasukkan dialog, “Ingin kau jadi New York? Jadi orang asing, hidup tanpa batasan. Jahil tentang halal haram. Kononnya itulah kemajuan. Tak mahu diri ditertawakan. Oh, kota! Inikah yang kau mahu?”

Walaupun komik ini sudah lama, tetapi pembawaan isunya masih relevan hingga hari ini kerana realitinya masih sama.Sumber: melihatbuku.blogspot.com

Komik adalah bahan efektif dalam menyampaikan ilmu dan juga maklumat kepada pembaca seperti mana yang dilakukan di negara maju dalam bidang pendidikan. Sifatnya yang menyeronokkan berjaya menarik tumpuan pembaca, terutama remaja dan kanak-kanak.

Masyarakat di Malaysia haruslah mengubah pandangan tentang komik kerana seperti karya sastera, komik juga hadir dengan pelbagai pemikiran tinggi atau tersirat yang menuntut pemahaman yang mendalam oleh pembaca.

Komik ada pelbagai jenis dan tidak adil untuk masyarakat mengkategorikan kesemuanya untuk hiburan semata-mata kerana komik Melayu seperti Selendang Siti Rugayah dan Mat Som telah membuktikan sebaliknya. Komik itu ibarat karya sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.