26 September 2021, 19:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pantun merupakan puisi tradisional Melayu yang asli, jitu dengan perlambangan dan maksud tersirat yang berpuitis lagi berseni. Pantun turut diakui pengkaji Barat dan Eropah sendiri, memperlihatkan penggunaan pantoum di Perancis dan Barat kini berdiri dalam genrenya yang tersendiri, giat dikaji dan diguna pakai oleh peminat sastera dan kepenyairan seperti Victor Hugo dan Austin Dobson.

Jelasnya struktur dan anatomi pantoum telah berubah daripada kaedah pantun Melayu. Masyarakat Malaysia moden juga harus tahu bahawa pantun merupakan tanda aras atau lambang kebijaksanaan dan genius orang Melayu. Pantun ini adalah seni pengucapan lisan, diutarakan dalam interaksi harian secara spontan daripada orang awam hinggalah orang diraja. Ia juga adalah tempat orang-orang Melayu menyimpan emosi, perasaan dan ekspresi. Orang melayu memang tidak lari jauh dari budaya ketimuran yang sifatnya menyembunyikan emosi, meluahkan kata-kata dengan penuh tersirat dan berseni.

Nisah Haron melalui Anjung Kak Long yang ke – 11, dengan tajuk “Mengarang Pantun: Bukan Sekadar Rima” membawa pelayar media sosial menelusuri tentang bagaimanakah pantun itu menapak ke dalam hati penutur bahasa Melayu, keindahannya dan kaedah menghasilkan pantun yang berkualiti.

Acap kali Nisah menyatakan melalui slot ini, rima yang sama dihujung baris pantun itu, bukanlah sekadar rima yang sama semata-mata. Mutakhir ini, terdapat keangkuhan atau pengabaian pula untuk mencipta pantun yang imej pembayangnya jelas serta mempunyai maksud logik. Isu ini perlu diperbetulkan jika ia masih berlaku dalam pembikinan pantun.

Pantun ini juga menjadikan masyarakat Melayu lebih romantis dan puitis kerana tona yang dibawa sebuah pantun yang penuh santun dan tersirat. Malah dalam konteks masyarakat terdahulu, ia memerlukan pengucapnya untuk berpengetahuan yang luas jika mahu berpantun dengan sempurna.

Melalui pengetahuan yang luas, khususnya mengenali alam sekeliling kita, maka dapatlah pengucap mengelak daripada mencipta pembayang yang tidak masuk akal. Kemampuan pengucap pantun untuk menghasilkan baris kata dengan cantik, dan berseni juga selaras dengan logik alam adalah kemahiran utama orang-orang bijak Melayu dahulu.

Pemilihan diksi boleh dan kadang-kadang mesti sederhana tahapnya. Sebilangan pantun juga diakhirnya akan mempunyai variasi interpretasi yang pelbagai. Namun itu bukanlah tanda pantun itu lemah atau bejat kerana tafsiran yang diselami masyarakatnya membuktikan kebijaksanaannya.

Perkaitan antara pembayang dan maksud.

Pembayang perlu logik, dan seperti haiku, puisi tradisional Jepun, walaupun diksi-diksinya bersifat sederhana, pemerhatian terhadap alam dan kelakuan sekeliling wajib diambil berat. Imej dalam pantun juga tidak boleh bercelaru, kecuali jika mahu wujudkan perbandingan dan perkaitan. Namun dengan pemerhatian dan disiplin sedemikian, terhasillah sebuah kumpulan perkataan yang indah bahasanya dan sarat perlambangannya.

Pantun ini mempunyai anatomi dan format, iaitu terdiri daripada pembayang dan maksud. Kebiasaannya harus mempunyai empat atau lima patah perkataan per baris, manakala suku kata yang paling harmoni adalah sebanyak lapan hingga 12. Seperti teori lagu, jumlah patah perkataan juga memainkan peranan penting untuk menentukan hasil pengucapan sebuah pantun.

“Pantun harus jelas sebutannya, bukan kuat. Jika perlu, boleh dikurangkan imbuhannya, elakkan penggunaan perkataan yang bombastik tapi melarikan sifat puitis pantun, kerana keutamaannya adalah maksudnya jelas dan sampai,” tambah Nisah Haron lagi yang turut berpendapat bahawa memilih perkataan sederhana dan bersahaja adalah antara ciri pantun, di samping unsur puitika bahasa Melayu juga harus ditekankan.

Sebelum budaya menulis pantun itu wujud, asalnya pantun diucapkan secara spontan dalam urusan masyarakat seharian. Namun kini ia harus didokumentasikan, makanya format untuk menulis pantun disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui buku Gaya Dewan.

Tujuannya adalah pelbagai, selain untuk memperlihatkan estetika pantun. Katanya, format ini juga membantu membezakan bentuk pantun dengan syair dan sajak. Perlu diambil maklum juga, selain format empat baris, ada juga pantun yang terdiri daripada dua baris, enam baris dan lapan baris.

Pesan beliau lagi, janganlah diabaikan aspek yang menjadikannya khazanah pantun itu sendiri. Seni tradisional ini malah telah diiktirafkan UNESCO sebagai satu warisan budaya yang menjadi perkongsian antara dua negara serumpun, iaitu Malaysia dan Indonesia. Nilai puitikanya yang sangat tinggi wajar menjadi kebanggaan anak bangsa, kerana ia menggambarkan sosok peribadi dan budaya orang Melayu. Khazanah sebegini menggambarkan kebijaksanaan dan sifat genius penutur Melayu terdahulu, untuk menjadi tauladan bangsa sepanjang zaman.

Tonton Anjung Kak Long episod 11 di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.