Oleh Nazrul Aziz
24 September 2021, 19:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Persatuan Mahasiswa Pengurusan Kekayaan Islam (IWMSA) telah menganjurkan program Membugar Kesenian, Membina Perpaduan yang merupakan sebuah program mobiliti tidak berkredit peringkat antarabangsa.

Apabila bercerita berkaitan kesenian, sudah tentu ada yang akan hanya terbayang tentang tarian, nyanyian dan lakonan sahaja. Namun hakikatnya bidang kesenian itu dapat ditakrifkan dengan lebih meluas. Sastera juga terkandung dalam bidang seni kerana kesusasteraan adalah kesenian yang digambarkan melalui bahasa.

Maka atas dasar ini, pihak IWMSA telah menganjurkan Pertandingan Pantun dan juga Pertandingan Pidato dengan mengangkat tema “Kesenian Menyatukan Perpaduan.” Pertandingan yang berlangsung selama 10 hari itu, iaitu bermula dari 10 September hingga 20 September 2021 telah diadakan secara dalam talian.

Yang menariknya, peserta dikehendaki merakamkan video pantun atau pidato hasil nukilan sendiri dan setiap video hanya diberi peruntukan masa selama tiga hingga tujuh minit sahaja. Setiap video yang telah dirakam perlu dimuat naik ke laman YouTube bagi penilaian pihak juri. Setiap video perlulah menepati tema yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

Program ini diadakan adalah bertujuan untuk mencungkil dan mengasah bakat serta kemahiran mahasiswa dan masyarakat Malaysia serta Singapura dalam menceburi pelbagai bidang kesenian. Di samping itu, program ini juga dapat memupuk nilai murni dan meningkatkan semangat perpaduan sesama negara serumpun.

Senarai nama pemenang Pertandingan Pantun.

Johan Pertandingan Pantun telah disandang oleh Anas Nasuha Nasarudin daripada UiTM Shah Alam, naib johan pula dimenangi oleh Mohd Nazrullah Abdul Aziz. Manakala Noraila M. Noor telah memenangi tempat ketiga dalam pertandingan tersebut. Selain itu, dua pemenang sagu hati juga berjaya diraih oleh Muhammad Nashrymie Nizar dan Nur Hikmah Atiqah.

Senarai pemenang Pertandingan Pidato.

Bagi Pertandingan Pidato pula, johan dimenangi oleh Muhammad Izzat Azfar (UniSZA), naib johan disandang oleh Mohd Nazrullah dan tempat ketiga dimenangi oleh Syahmi Aiman. Dua pemenang sagu hati adalah Nur Azean Jasmeen dan Muhamad Saiful. Kesemua pemenang bagi Pertandingan Pantun dan Pertandingan Pidato telah berjaya membawa pulang hadiah berupa wang ringgit dan sijil penyertaan.

Sebagai memeriahkan majlis, segmen Podcast: Kami Budak Kebudayaan edisi Hari Malaysia telah diadakan pada hari tersebut. Podcast tersebut memberikan pendedahan serta merungkai segala keunikan dan keistimewaan dalam warisan kesenian Melayu bersempena dengan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Selain itu, ahli panel turut berkongsi tentang pengalaman mereka dalam menceburi dunia warisan kesenian.

Program ini telah mendapat kerjasama antara Pejabat Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniSZA, Pusat Kesenian dan Warisan (PKW) UniSZA,   Kelab Citra Puisi UniSZA (KeRiSZ), Kelab Cenderawasih Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kelab Pantun dan Puisi Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Turut bekerjasama adalah nama besar dari Singapura yang sangat aktif memperjuangkan sastera dan bahasa Melayu iaitu PANTUNISM Singapura.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.