22 September 2021, 12:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Sekali menulis, selamanya menulis”, inilah ungkapan yang sering kita dengar dalam usaha untuk mendorong masyarakat untuk berkarya atau menulis. Oleh itu, pada 21 September 2021, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengadakan Program Bimbingan Penulisan Kreatif (Puisi dan Cerpen) secara dalam talian.

Program tersebut dibimbing Saifullizan Yahaya, iaitu penulis mapan tanah air, dan juga Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP.

Program ini diadakan dengan tujuan untuk memberikan bimbingan kepada peserta yang terdiri dalam kalangan pensyarah, pelajar universiti serta khalayak umum tentang teknik penulisan puisi dan cerpen dalam bahasa Melayu yang baik dan berkualiti mengikut gaya yang telah ditetapkan oleh DBP. Selain itu, program yang telah mengumpulkan seramai 425 orang peserta ini diadakan dengan tujuan untuk menjadikan sastera sebagai wadah pembentukan nilai murni dalam kalangan masyarakat khususnya golongan remaja.

Program berbentuk penataran yang menampilkan penulis mapan tanah air, yang juga merupakan Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP, iaitu Saifullizan Yahaya ini telah menampilkan tiga tajuk utama kepada peserta, iaitu “Ada Apa dengan Puisi”, “Ada Apa dengan Cerpen” dan “Sesi Bedah Karya”. Antara pengisian utama yang dikongsikan dalam ketiga-tiga tajuk ini ialah asas binaan dalam penulisan puisi seperti gaya bahasa, tema, nada, tujuan, sajak figuratif dan juga asas binaan cerpen seperti plot, teknik penceritaan, latar, pemikiran serta turut diadakan Sesi Bedah Karya peserta bersama pembimbing.

Antara pengisian yang diberikan sepanjang program tersebut berlangsung.

Yang menariknya, penceramah turut berkongsi teknik tentang bagaimanakah peserta dapat menghantar karya melalui media masa, media sosial dan juga media cetak. Program yang dapat merangsang pelbagai golongan untuk berkarya ini diharapkan bukan sahaja dapat melahirkan bakat baharu dalam dunia penulisan, tetapi juga diharapkan akan dapat memberikan ruang kepada masyarakat untuk meningkatkan budaya inovasi dan kreativiti dalam pemikiran, selain dapat melahirkan golongan remaja untuk menceburi bidang penulisan dengan lebih terarah.

Program yang diadakan secara dalam talian tersebut berjaya mengumpulkan seramai 425 orang peserta.

Selain itu, penganjuran program ini juga menjadi antara strategi DBP untuk melahirkan bakal penulis yang lebih kreatif, progresif dan berdaya saing, seterusnya mampu untuk mengangkat martabat kesusasteraan ke peringkat yang lebih tinggi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.