Oleh Julia Henry
21 September 2021, 08:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebagai salah satu puisi lisan dalam genre puisi tradisional, syair pada awalnya digunakan secara meluas di Nusantara untuk menyebarkan ajaran Islam, di samping untuk tujuan bercerita.

Syair memiliki empat baris serangkap. Dalam serangkap syair mengandungi tiga hingga empat perkataan dan 8 hingga 10 suku kata sebaris dengan rima hujungnya a,a,a,a (serima).

Keseluruhan teks syair merupakan satu kesatuan idea. Unsur itulah yang menjadi ciri utama syair, iaitu tidak dapat berdiri sebagai satu rangkap, tetapi keseluruhan rangkapnya memaparkan kesatuan idea.

Dr. Shafa’astussara Silahudin.

Isi teksnya bercorak cerita atau huraian panjang mengenai suatu subjek atau peristiwa. Rumusannya, syair mengandungi sebuah cerita yang lengkap. Dalam teksnya ada watak, peristiwa, plot dan penutup cerita yang ditulis secara berurutan.

Maknanya, keseluruhan rangkap syair mempersembahkan suatu penceritaan yang menarik, yang disulami nilai sejarah, falsafah, budaya dan keagamaan. Keseluruhan rangkap syair juga memaparkan idea keseluruhan pengarang syair itu.

Menurut penyelidik seni budaya dan pendendang syair profesional, Dr. Shafa’astussara Silahudin, syair ialah satu bentuk puisi klasik Melayu Nusantara, yang bersifat wadah cerita atau naratif.

Perkataan syair dipinjam daripada bahasa Arab yang bermaksud puisi, secara khususnya puisi yang berantaian dan mempunyai suatu cerita. Munculnya puisi pertama di Nusantara pada kurun ke-16, yang ditulis oleh Hamzah Fansuri, iaitu “Syair Perahu”.

Dari kaca mata Dr. Shafa, beliau melihat syair sebagai suatu bentuk seni yang dipersembahkan kepada khalayak. Berdasarkan kajiannya terhadap teks lama seperti Hikayat Bayan Budiman, Pandawa Lima, Bustan Al-Salatin dan Hikayat Raja Pasai, kebanyakan sumber itu menyebut syair sebagai seni persembahan.

Syair pada awalnya dipersembahkan dalam medium bangsawan, iaitu pada awal abad ke-19. Pada ketika itu, bangsawan merupakan satu bentuk persembahan yang popular di Tanah Melayu. Dalam persembahan bangsawan itulah syair didendangkan kepada khalayak umum.

Sejak itu, dari semasa ke semasa bentuk persembahan syair semakin berkembang, dan kini didendangkan mengikut kesesuaian majlis, malah sering dipersembahkan dalam bentuk pertandingan.

Irama Syair

Umum mengetahui bahawa terdapat 12 irama syair yang biasanya diajarkan kepada khalayak yang meminati syair dan didendangkan oleh penyair dalam pertandingan.

Dikatakan irama selendang delima adalah yang paling popular, namun dalam pengajaran di sekolah, irama dodoi dan hiasan yang sering menjadi pilihan guru yang mengajar seni berbahasa dalam subjek KOMSAS.

Irama syair yang lain adalah seperti batu belah, Sarawak, perindu, mayang, perantau, Tuk Kenali, dandan setia, rawi dan Siti Zubaidah.

Menyebut tentang irama syair, tokoh syair tanah air, Roslan Madun menyatakan bahawa syair yang asalnya sastera lisan tidak memiliki sebarang irama. Sebagai puisi lisan, syair asalnya hanya dibaca di hadapan khalayak.

Disebabkan timbul kebosanan apabila teks syair hanya dibaca, maka syair kemudiannya dibaca menggunakan irama tertentu, lantas wujudlah beberapa irama syair yang diketahui pada hari ini.

Nama irama syair pula berkemungkinan diberikan berdasarkan tajuk teks syair, misalnya irama pucuk kalumpang yang mengambil nama syair “Pucuk Kalumpang”.

Dalam program “Kelangsungan Syair di Malaysia: Dari Kaca Mata Anak Muda” anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan secara dalam talian pada 27 Ogos 2021, ikon anak muda dan penggiat sastera, khususnya puisi tradisional, Amran Ibrahim Rashidi menyatakan, ditemukan satu irama baharu bernama rakis, melalui kajian yang dilakukan oleh pensyarah di Universiti Malaya, antara tahun 2006 hingga 2008.

Irama rakis telah didendangkan oleh penyair dari Sarawak dalam pertandingan dendangan syair pada tahun 2009 dan penyair tersebut telah dinobatkan sebagai johan. Bermula detik itulah irama rakis diperkenalkan sebagai salah satu irama syair.

Menyedari minat masyakat terhadap syair semakin meluas dan pentingnya mendokumentasikan khazanah warisan itu, pada akhir tahun 1990-an, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengumpulkan teks syair lama dan diterbitkan dalam buku bertajuk Syair Seratus Siti (2004).

Buku tersebut mengetengahkan teks dan irama syair untuk kajian dan rujukan pengkaji syair, juga sebagai panduan kepada para penyair untuk mendendangkan syair mengikut irama yang sesuai.

Dalam Bengkel Penulisan dan Dendangan Syair anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak dan Persatuan Kebudyaaan dan Kesenian Muallim yang diadakan secara dalam talian pada 29 Ogos 2021, disarankan agar golongan amatur atau yang baru belajar mendendangkan syair sebaiknya memilih irama yang mudah seperti irama dodoi, hiasan dan mayang. Oleh sebab itulah, kebanyakan guru di sekolah akan menggunakan irama hiasan apabila mengajarkan irama dendangan syair kepada pelajarnya.

Pesan pembimbing dendangan syair dalam bengkel tersebut, Nur Amelyana Noor Kamaruzzaman dan Amran Ibrahim, belajarlah asas irama yang mudah terlebih dahulu seperti irama hiasan dan dodoi. Kemudian, apabila sudah mahir barulah memasukkan patah lagu atau lenggok dalam dendangan syair yang hendak dilagukan.

Yang penting, ikut kemampuan dan kesesuaian suara. Jika sudah mahir, boleh cipta kreativiti lenggok atau kreatifkan lenggok mengikut kemampuan sendiri. Selain irama hiasan, irama dodoi juga mudah untuk dilagukan. Sebagai irama yang menjadi pilihan dalam mendendangkan syair kerana agak mudah untuk dilantunkan dan hampir sama lenggoknya, terdapat perbezaan antara dua irama tersebut.

Dalam irama dodoi, penghujungnya dilantunkan dengan nada menaik manakala penghujung irama hiasan dilantunkan secara menurun.

Dendangan Syair

Jika mendengar dendangan syair, akan disedari nada turun naik dendangannya kedengaran berulang-ulang. Dendangan syair bersifat demikian kerana pendendang mahu menekankan mesej dalam teks syair.

Seperti yang banyak dijelaskan dalam tulisan tentang syair, teks syair merupakan satu kesatuan idea yang memaparkan cerita. Cerita itu pula berkembang secara kronologi, daripada satu rangkap ke satu rangkap seterusnya dan tamat pada rangkap terakhir.

Maknanya, dalam rangkap awal memaparkan permulaan cerita, yang biasanya dimulakan dengan salam dan puji-pujian kepada Tuhan, kemudian memasuki rangkap bahagian tengah, teksnya menggambarkan cerita dan kemuncak cerita, dan pada rangkap akhir ialah penghujung atau penamat cerita.

Oleh sebab itulah, apabila didendangkan, nadanya berulang-ulang kerana menekankan mesej yang sama berdasarkan satu cerita yang sama dalam sebuah syair.

Pendek kata, dendangan syair memperdengarkan turun naik suara yang sama atau berulang-ulang, dan pengulangan nada dendangan syair itu dikatakan menyamai dendangan lagu Melayu asli.

Dalam pengajarannya tentang dendangan syair, Nur Amelyana menyatakan semasa dendangkan syair, pendendang harus mempamerkan mimik muka yang sesuai dengan nada teks.

Jika teks syairnya tentang kemangkatan sultan seperti syair “Kemangkatan Sultan Sulaiman, jangan mempamerkan riak muka senyum walaupun ada perkataan dalam teks syair itu bermaksud kegembiraan seperti “riang” dan “bersuka ria”.

Dendangan Syair dalam Pertandingan

Lazimnya, tiga aspek utama yang dinilai oleh ahli panel juri pertandingan dendangan syair, iaitu ketepatan irama yang meliputi patah lagu dan tempo, sudut suara yang merangkumi intonasi, dan persembahan yang merangkumi gaya, teknik dan bahasa tubuh.

Menurut Amran, pendendang syair perlu memahami maksud tersurat dan tersirat syair yang disampaikan. 

Melalui perkongsiannya dalam Bengkel Semarak Puisi anjuran Kelab Bahasa dan Persuratan Melayu yang diadakan secara dalam talian pada 4 April 2021, Dr. Shafa menyatakan bahawa dalam pertandingan dendangan syair, yang paling penting ialah jenis suara.

Untuk mendendangkan syair mahu tidak mahu, pendendang syair perlu memiliki suara yang merdu (kriteria penting) kerana orang ingin mendengar suara yang merdu yang mengalunkan teks syair. Yang kedua penting, jenis irama yang diplih untuk mendendangkan syair.

Setiap irama syair membawa mood yang berbeza-beza. Contoh irama Sarawak menonjolkan nilai atau jiwa yang sangat melankolik, sedih, atau dalam keadaan tertentu irama Sarawak boleh menyerapkan suatu semangat dan rasa kepada pendendang syair itu sendiri.

Irama dodoi dan irama hiasan pula membawa mood mendodoikan atau membuaikan perasaan. Jika dipersembahkan, irama itu membawa suasana kasual atau santai, dan tidak seharusnya didendangkan dalam keadaan yang tegang atau serius.

Apabila dilagukan syair mengikut irama rawi pula akan membawa pendendang itu dalam keadaan seperti membaca al-Quran.

Selaku penyandang johan dendangan syair peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Dr. Shafa memberikan beberapa nasihat dan panduan sebagai rujukan kepada pendendang syair yang berhasrat menyertai pertandingan.

Dalam pertandingan, aspek yang utama mahu dilihat ialah keupayaan pendendang syair memberikan persembahan yang menarik.

  1. Lagukan syair dengan cara mempersembahkan, mendendangkan, dan mengalunkannya dengan suara yang dirasakan sesuai dengan diri sendiri. Jangan meniru atau terikut-ikut dengan suara orang lain.
  2. Jangan merasakan kerja mendendangkan syair itu suatu perkara yang sukar (pesanan khusus untuk amatur).
  3. Buat kerja rumah, iaitu kaji teks syair untuk memahami apa yang disampaikan melalui teks tersebut, kemudian berlatih sebutan dan iramanya yang betul. Jangan malu bertanya kepada orang yang arif dalam dendangan syair.
  4. Lantunkan dendangan syair secara berulang-ulang untuk melahirkan suara yang dinamik dan lenggok yang kreatif supaya juri dan khalayak tertarik mendengarnya.
  5. Dendangkan rangkap pertama syair dengan penuh emosi (ada jiwa). Pada rangkap tengah, luahkan perasaan tetapi kawal suara dan perasaan kerana pada tahap ini sudah melibatkan suatu perasaan seperti sedih dan menangis. Pada rangkap akhir, lontar atau lepaskan sahaja suara dan perasaan.

Sememangnya bukan mudah untuk mendendangkan syair. Menurut Jurulatih Seni Budaya Negara, Negeri Kedah dalam bidang seni berbahasa, Wan Ismalindawati Wan Ismail, pendendang syair perlu mengetahui cara lenggok irama syair dengan betul.

Cara lantunan suara juga perlu sesuai dengan lenggok irama tertentu. Contohnya dalam irama mayang, lenggok rangkap pertama perlu sama dengan lenggok rangkap ketiga manakala lenggok rangkap keempat perlu sama dengan lenggok rangkap kedua, dan begitulah selang seli lenggok bagi rangkap seterusnya.

Wan Ismalindawati juga menyatakan bahawa untuk menyertai pertandingan syair, perlu diketahui cara penyampaiannya, iaitu menggunakan sebutan bahasa Melayu Riau dan tidak boleh menggunakan sebutan bahasa baku.

Dalam sebutan bahasa Melayu Riau, suku kata kedua bagi perkataan yang berakhir dengan huruf /a/ seperti kanda, di mana, dan buana disebut seperti bunyi e pepet (kande, di mane, buane). Jika dilagukan syair menggunakan bahasa baku, berlaku pemotongan markah oleh pihak juri pertandingan.

Amran Ibrahim melalui perkongsiannya dalam bengkel syair memberitahu petua yang harus dipegang oleh pendendang syair, iaitu harus ada sikap menghormati teks syair yang tidak diketahui pengarangnya tetapi telah diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.

Juga, fahami maksud tersurat dan tersirat yang disampaikan melalui syair tersebut. Bagi Amran yang sudah lama bermain dengan puisi tradisional, perkara itulah yang perlu diutamakan dalam mendendangkan syair.

Beliau menyarankan golongan pemula dalam arena dendangan syair merujuk Roslan Madun dan Zarina Saamah yang dianggapnya sebagai tokoh paling tepat dalam mencari panduan terbaik untuk memulakan langkah mendaki tangga menjadi pendendang syair yang baik dan profesional.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.