18 September 2021, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Kawasan Kuantan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) telah menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi DPMP Kawasan Kuantan-JKKN Pahang 2021 (SDPMP) secara dalam talian bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.

SDPMP pada kali ini telah menampilkan sebanyak 26 orang peserta dari seluruh Malaysia yang mendeklamasikan puisi patriotik yang dipetik daripada antologi puisi Tanggam Warisan, terbitan GAPENA pada tahun 2019.

Johari Ibrahim dinobatkan sebagai Johan SDPMP 2021.

Johari Ibrahim, anak kelahiran negeri Pahang telah dinobatkan sebagai johan dalam SDPMP pada kali ini. Beliau telah mendeklamasikan puisi bertajuk “Naratif Ogos Seorang Helang”, karya Zainal Rashid Ahmad yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1000 berserta sijil penyertaan.

Hakimi Rejab mendeklamasikan puisi bertajuk “Abadikan Kesetiaan Kita”.

Manakala naib johan telah dimenangi oleh peserta dari negeri Kedah, iaitu Mohamad Hakimi Mohamad Rejab yang mendeklamasikan puisi bertajuk “Abadikan Kesetiaan Kita”, karya Sani La Bise. Beliau telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM700 berserta sijil penyertaan.

Tempat ketiga telah dimenangi oleh peserta negeri Selangor, Muhammad Safwan.

Sementara itu, Muhammad Safwan Mohd Yusof yang merupakan wakil dari negeri Selangor yang mendeklamasikan puisi bertajuk “Darah yang Terpercik di Baju”, karya Norazimah Abu Bakar telah memenangi tempat ketiga dalam SDPMP pada kali ini. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500 beserta sijil penyertaan.

Yang menariknya, Man Kayan dan Siso Kopratasa turut mempersembahkan lagu puisi sebagai penyeri dalam sayembara tersebut.  Wakil rasmi Pengarah JKKN Pahang, Nurmizanun Saari turut hadir bagi menyampaikan ucapan penutup dan sekali gus merasmikan SDPMP pada tahun 2021.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi