Oleh Salman Sulaiman
14 September 2021, 11:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sasterawan Negeri Kelantan, Rosli K. Matari mengakui Kelantan muncul sebagai salah satu pusat persuratan terpenting dalam hal penerbitan dan percetakan karya kesusasteraan berserta kitab agama Islam, khususnya pada zaman sebelum dan selepas kemerdekaan di negara ini. Hal ini bermakna, pada zaman awal selepas merdeka, pusat persuratan bukan hanya bertumpu di Singapura dan Kuala Lumpur.

Rosli K. Matari. (Sumber: Berita Harian)

Akan tetapi, disebabkan kekurangan kajian, maka pendedahan dan signifikan Kelantan sebagai antara pusat penting kesusasteraan pada periodisasi tersebut, telah menjadikan negeri Cik Siti Wan Kembang menjadi terpencil atau tertinggal. Selain Kelantan, Rosli turut menyenaraikan beberapa pusat persuratan lain di tanah air yang sezaman dengan Kelantan seperti Johor Bahru, Muar, Taiping, Pulau Pinang dan Kuantan.

Lantaran kurangnya pengetahuan generasi muda berkaitan hal itu, Rosli telah berkongsi maklumat untuk memperkaya pengetahuan penulis muda berkenaan sejarah kesusasteraan Melayu tradisional, kesusasteraan Melayu moden, termasuklah perihal kesusasteraan Kelantan.

Rosli juga mengingatkan penulis generasi baharu, “Jangan menjadi penulis tanpa mengetahui hal sejarah kesusasteraan di negara sendiri, walaupun anda dapat mendabik dada dengan alasan bahawa anda tiada masalah dan boleh terus sahaja berkreativiti. Jawapan itu umpama orang cacat penglihatan yang melangkah tanpa pernah mengenal jalan yang dilaluinya.”

Berfokuskan dinamika kesusasteraan Kelantan, Rosli menjelaskan Kelantan mempunyai sumbangan penting dan keunikan tersendiri pada sisi perkembangan kesusasteraan Melayu tradisional. Antara yang penting termasuklah Kelantan menjadi negeri yang mempunyai banyak warisan lisan bagi Cerita Awang.

Maka itu, beliau menegaskan genre Cerita Awang, Cerita Tuan Puteri dan Cerita Dongeng Teladan harus ditambah bagi memantapkan klasifikasinya dalam sastera rakyat, justeru tiga genre sastera rakyat ini juga banyak terdapat di beberapa negeri selain Kelantan. Di samping itu juga, pelbagai persuratan kitab berkaitan ilmu sihir, ilmu nujum dan raksi, ilmu bedil dan meriam, serta ilmu perubatan tradisional wajar dimantapkan klasifikasinya.

Sasterawan Negeri Kelantan ini turut mendedahkan evolusi Sastera Panji (Indonesia) yang berlaku melalui perkembangan genre sastera ini lalu bersebati dalam sastera lisan di Kelantan.  Evolusi itu berlaku sejak zaman pengaruh Srivijaya–Majapahit, selanjutnya berevolusi secara dinamik sebagai Sastera Panji Siam dan Sastera Panji Kemboja dalam Peradaban Wilayah Timur Laut.

Rosli menyarankan Kerajaan Negeri Kelantan mengambil inisiatif untuk menjadikan Hikayat Seri Kelantan (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004) sebagai ikon hikayat tradisional negeri, serta bunga melur sebagai ikon bunga negeri. Walau bagaimanapun, beliau menolak haiwan ikon popular, kijang dikaitkan dengan Raja Perempuan Cik Siti Wan Kembang.

Dari sudut pandangan beliau, hal itu suatu ketidaktepatan rekonstruksi sejarah. Malah Rosli mendedahkan bahawa gambar haiwan pada pitis Kelantan zaman silam sebenarnya ialah kerbau, bukannya kijang.

Hikayat Hang Tuah pula muncul sebagai sastera epik teragung bangsa Melayu, hasil penyelidikan Kassim Ahmad sebagai naskhah yang terkemuka di tanah air hingga kini, yang asalnya diperoleh oleh tokoh cendekiawan tersebut daripada manuskrip milik kerabat diraja Kelantan. Berkaitan hal tersebut, Rosli menjelaskan bahawa gambar haiwan pada bendera Kelantan zaman dahulu adalah sempena anjing bernama Qitmir dalam peristiwa Ashabul Kahfi. Namun begitu, penggunaan gambar haiwan itu tidak lama kerana menyedari sensitivitinya terhadap budaya Melayu dan Islam di negeri ini.

Antara karya yang ada kaitan dengan Kelantan yang disebut oleh Rosli K. Matari. (Foto penulis)

Menyentuh kisah sastera moden Kelantan pula, Abdullah Munsyi memberikan jasa penting menjadikan nama negeri ini masyhur, justeru menjadi judul autobiografi dan historiografi pelayaran beliau, sebagai antara magnum opus sastera Melayu moden terawal selepas autobiografi Ahmad Rijaluddin dari Pulau Pinang mengenai Negeri Benggala.

Semasa berceritera tentang sastera moden Kelantan, Rosli menerangkan dengan panjang lebar tentang majalah Pengasuh dan Tok Kenali serta sumbangan cerpen “Kecelakaan Si Pemalas” karangan pengarang Kelantan sebagai pemula genre cerpen Melayu.

Dalam pada itu, Rosli menjelaskan sebuah puisi masyhur yang dikaitkan dengan Tok Kenali, sebenarnya bukanlah puisi yang dikarang oleh Tok Kenali. Puisi tersebut asalnya karangan berbentuk prosa yang hebat, tetapi telah dipinda oleh tokoh lain menjadi bentuk karangan berangkap yang menonjolkan keindahan bahasa karangan Tok Kenali. Menyebut nama Tok Kenali, generasi sekarang, khususnya di Kelantan beruntung kerana berpeluang mengenal wajah Tok Kenali, salah satunya disebabkan lawatan Pendeta Za‘ba ke Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Ulama ini diketahui umum tidak suka bergambar. Namun begitu, beliau mahu merakam foto kenangan kerana menghormati kunjungan Za‘ba. Berasaskan foto itulah kemudiannya wajah Tok Kenali dilukiskan potretnya dan foto itu telah dibesarkan saiznya untuk tatapan khalayak yang mengunjungi MAIK. Perjalanan Za‘ba ke Kelantan pada September 1928 itu dapat dibaca dalam bukunya yang berjudul Pengembaraan ke Kedah, Perlis dan Kelantan (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008).

Rosli turut menerangkan peranan dan sumbangan penting golongan ulama, pengarang, intelektual, pembesar dan golongan terpelajar dalam kesusasteraan, bahasa, persuratan umum, keislaman, dinamika literasi, pendidikan dan perjuangan kemerdekaan. Maklumat yang turut dikongsi oleh Rosli ialah jasa besar pengkaryaan A. Kadir Adabi dalam memperkaya pengetahuan generasi dan penulis muda tentang novelis terkemuka yang berasal dari Kelantan.

Kadir Adabi atau nama sebenarnya Abdul Kadir bin Ahmad (17 Ogos 1901 – 24 Februari 1944) telah menulis beberapa buah novel seperti Melati Kota Bharu, Acuman Mahkota dan 11 Rajab. Karya rencananya yang tajam dan menggemparkan seperti “Siapakah Ulama Itu?”, “Siapakah Anak Orang yang Baik-baik Itu?, Ke Manakah Titah Perintah Al-Sultan?” dan “Semut-semut di Meja Musyawarah” berkemungkinan menjadi antara penyebab dia selalu diintip dan dipukul dengan kapak oleh tiga orang di hujung Jambatan Gantung, Atas Paluh sekitar pukul 10 malam pada 2 Januari 1931.

Peristiwa ini berlaku tidak jauh dari rumahnya yang menyebabkan dia mengalami luka parah dan dimasukkan ke hospital. Kisah menarik ini diceritakan oleh sejarawan dan ahli filologi terkenal Kelantan, Abdul Rahman Al-Ahmadi dalam tulisannya, “Abdul Kadir Adabi dan Perjuangannya” yang dimuatkan dalam buku Warisan Kelantan III (terbitan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 1984).

Iman Danial Hakim, penulis muda dari Kelantan yang dikatakan mampu menggugat arena perpuisian Kelantan.

Tokoh penulis hebat seperti Pak Sako dan Keris Mas (Sasterawan Negara) juga pernah datang dan tinggal beberapa bulan di Kelantan. Novel Jalan ke Kota Bharu (terbitan Qalam, 1956), meskipun diterbitkan di Singapura, namun ilham kreativitinya tercetus di Kelantan kerana Pak Sako agak lama tinggal di negeri Kelantan. Hal ini juga bersangkut-paut dengan keadaan hidup Pak Sako yang pernah membawa dirinya ke Tumpat, Kelantan.

Novel Pahlawan Rimba Malaya karya Keris Mas dicetak di Kota Bharu pada tahun 1946 dan dipasarkan secara meluas di Kelantan, terutama dalam tempoh keberadaan beliau selama beberapa bulan di Kelantan. Agak ralat kerana Keris Mas pada masa itu terpaksa mengambil keputusan mengedit sehingga menjadi nipis novel tersebut ekoran pencetak kekurangan kertas.

Peristiwa yang dianggap suatu tragedi dalam proses kepengarangan Keris Mas ini telah diceritakan dalam memoir, 30 Tahun Sekitar Sastera: Memoir Keris Mas (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979). Catatan tersebut juga turut dimuatkan dalam bahagian awal buku yang menggabungkan dua novel Keris Mas berjudul Dua novel Keris Mas: Pahlawan Rimba Malaya & Korban Kesuciannya (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993) yang diselenggarakan oleh A. Karim Abdullah.

Rosli tidak melupakan puisi apabila menjelaskan peranan Kelantan sebagai lubuk puisi di negara ini yang bermula sejak dekad 80-an, malah dunia puisi kelantan masih aktif hingga kini. Berkaitan dengan istilah lubuk puisi, Rosli tetap bertegas mahu menggunakan istilah tersebut walaupun ada penulis menyarankan penggunaan istilah lahan puisi atau kebun puisi yang dikatakan lebih tepat. Di samping, Rosli turut memaklumkan usahanya meneliti cerpen, dan berkemungkinan Kelantan juga sebenarnya ialah lubuk cerpen kerana tercatat rekod kemunculan cerpen  di Kelantan yang bermula sejak dekad 60-an lagi.

Agak mengejutkan apabila Sasterawan Negeri Kelantan ini menyebut dua nama penulis muda dari luar Kelantan yang katanya “akan menggugat dan meruntuhkan arena perpuisian Kelantan”. Berkemungkinan Rosli sengaja berkata demikian kerana mahu mencabar penulis generasi baharu dan penyair muda Kelantan agar menghasilkan karya yang lebih hebat dan bertenaga. Dua penulis muda yang dimaksudkan ialah Iman Danial Hakim yang disebut-sebut kerana bukunya, Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi (terbitan Jejak Tarbiah, 2018) dan Karim Mohd yang mula menyinar dengan kumpulan sajaknya, Nokturna (terbitan Kata-Pilar, 2018).

Yang pastinya, Sasterawan Negeri Kelantan ini akan terus berkongsi ilmunya tentang sastera kelantan dan penulisan karya kreatif, khususnya berkaitan kreativiti dan cara mengarang cerpen yang berkesan dalam beberapa siri bengkel anjuran Liga Penulis Kelantan, PERADABAN dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi