14 September 2021, 20:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tuah mendeklamasikan sajak bertajuk “Patriotisme Perjuangan” nukilan Zurhan Bakar, Mohd Fauzi Jamikah yang mewakili negeri Sabah telah dinobatkan sebagai Johan dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) kali ke-35 Peringkat Kebangsaan, anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada  11 September 2021 yang lalu. Beliau membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, wang tunai berjumlah RM5000, buku terbitan DBP dan sijil penyertaan.

Rozarina mendeklamasikan sajak bertajuk “Sumbangsih buat Nusa Bangsa”

Naib johan pula disandang oleh wakil negeri Perak, Rozarina binti Mohd Rusli yang mendeklamasikan sajak berjudul “Sumbangsih buat Nusa Bangsa”, nukilan Jamilah Harun. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3000, buku terbitan DBP dan sijil penyertaan.

Khalid Husseine yang mendeklamasikan sajak daripada Chu E Liang.

Manakala deklamator yang mewakili negeri Sarawak pula, Khalid Husseine  memenangi tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2000, buku terbitan DBP dan sijil penyertaan. Beliau telah mendeklamasikan sajak berjudul “Nada Bermadah Warga Bermaruah”, karya Chu E Liang.

SDPK pada kali telah ini menampilkan 17 peserta yang mewakili seluruh negeri di Malaysia, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, WP Labuan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kesemua peserta tersebut mendeklamasikan sajak daripada antologi Tanggam Warisan terbitan GAPENA.

Sebanyak lima orang juri profesional telah dilantik bagi mengadili para peserta dalam SDPK pada kali ini, iaitu penerima SEA Write Award 2015, Datuk Jasni Mat Lani;  aktivis teater dan penggiat sastera, Tuan Marzuki Ali; Deklamator Kebangsaan, Tuan Ahmad Syukri Abdullah; penulis dan penyair, Dr. Arif Muhammad; dan Setiausaha 1 GAPENA dan juga selaku ketua juri iaitu Haji Hamzah Hamdani.

Antara peserta yang turut bertanding pada SDPK pada kali ini.

Ucapan penutupan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. SDPK yang diadakan menerusi Studio Siaran Langsung DBP tersebut turut berjaya menarik perhatian penonton dari Indonesia, Singapura dan Australia dan sekali gus membuktikan bahawa puisi dapat diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi