11 September 2021, 18:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR –   Cabaran menulis bukan sahaja terletak pada tema dan plot yang perlu difikirkan, malah jika penulis membuat keputusan untuk membuat karya berasaskan kisah benar, mereka perlu fokus untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan masalah berkaitan undang-undang pada kemudian hari.

Hal ini dikongsikan oleh penulis berbakat, Rozninah Abd Azib dalam satu sesi perbincangan santai iaitu “Mahu Tulis Kisah Benar atau Cerpen?” menerusi laman Facebook Secangkir Kopi Jam 10 yang turut menampilkan Nisah Haron dan Azian Mohamed Isa.

Untuk menulis kisah benar, penulis perlu bersedia untuk berkongsi kisah mereka dan menulis dengan tujuan yang baik. Banyak kisah hidup kita yang boleh dijadikan iktibar kepada orang lain, tetapi adakah kita sudah bersedia? Dan dalam menulis kisah benar, penting untuk elak daripada disaman atau menulis isu yang boleh melibatkan kes mahkamah. Dalam kisah benar, ada perkara yang perlu kita simpan, untuk menjaga aib dan juga untuk mengelakkan tindakan undang-undang.

Secangkir Kopi Jam 10 pada kali ini menampilkan Rozninah Abd Azib dalam tajuk “Mahu Tulis Kisah Benar atau Cerpen?”

“Jangan tokok tambah kisah benar.Kita dibolehkan untuk gugurkan nama atau sesuatu watak, namun jangan tambah perkara yang tidak ada. Kisah benar penting sebagai latihan untuk orang mula menulis. Yang lebih mencabar lagi adalah untuk menulis cerpen kerana kita akan terlibat dalam proses merangsang pergerakan cerita dan mereka watak walaupun ia lebih selamat ditulis untuk mengelaklan kita daripada disaman,” ujar Rozninah.

Selain itu, beliau turut berkongsi pengalaman membimbing doktor perubatan yang mula meneroka bidang penulisan untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat.

“Saya ada membimbing doktor perubatan dalam menulis karya. Dari segi pengalaman, ada yang menulis tema khusus dan kemudian ada tema bebas. Yang paling saya tekankan ialah mereka perlu tahu konsep cerpen perubatan. Kemudian konsep patuh konvensi iaitu jalan cerita adalah ringan kerana isinya sudah mempunyai istilah dan maklumat tentang perubatan yang berat,” sambung Rozninah.

Mengulas dengan lebih lanjut mengenai gaya penulisan ini, Nisah Haron turut menegaskan bahawa penulis tidak boleh keliru antara kisah benar dan rekaan.

Tujuh tip menulis kisah benar.

“Cerpen adalah cereka, bererti semuanya direka tetapi inspirasinya barangkali datang daripada kisah benar.  Perkara yang tidak berlaku dalam realiti, iaitu hasil rekaan dan kita tuliskan dalam. Terdapat juga penulisan cerpen berdasarkan kisah benar. Tetapi perlu ingat bahawa dalam kisah benar, tidak ada yang akan sama”, ujar Nisah.

Berpandukan ilmu yang diperoleh daripada Bonda Nor, penulis buku, Azian Mohamed Isa mengingatkan bahawa setiap penulisan perlu mempunyai tema dan pedoman supaya jalan cerita tidak lari dan mesej sampai kepada pembaca.

Beliau dalam sesi tersebut turut menyatakan bahawa cabaran terbesar dalam dunia penulisan adalah membaca hasil karya kisah benar yang kelihatan seperti cerpen kerana tidak ada watak sudut pandang daripada penulis tersebut.

Walaupun kita menceritakan tentang kisah orang lain, namun penulis perlu masuk dan ada dalam cerita tersebut. Yang paling penting, setiap kali menulis, penulis perlu menjaga aib. Jaga watak kita, jangan buka aib orang yang diceritakan dalam kisah itu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.