Oleh Nazrul Aziz
6 September 2021, 11:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perlis – Tak kenal maka tak cinta, itulah antara ungkapan awal bermulanya Bengkel Puisi Nilai-nilai Malaysia. Memikirkan perlunya panduan dan bimbingan penulisan puisi, maka pelajar daripada Kelab Penulisan Kreatif Universiti Malaysia Perlis telah mengambil inisiatif untuk mengadakan satu bengkel yang mendedahkan kepada para penulis puisi berkaitan cara menulis puisi.

Bengkel tersebut menghimpunkan penulis puisi dari pelbagai kaum di Malaysia.

Bermula pada pukul 10 pagi, 4 September 2021, para peserta bengkel telah dihidangkan dengan pelbagai tip dan panduan penulisan puisi yang berkesan oleh Dr. Fadh Razy, seorang pengarang buku Sains Menulis Puisi. Antara tip yang dibawakan oleh Dr. Fadh dalam bengkel ini adalah seperti fisiologi puisi, kepentingan membaca untuk menambahkan idea, citra seragam dalam penulisan dan beberapa lagi topik menarik yang telah membuka mata dan sudut pandang setiap peserta bengkel.

Para peserta bengkel ini terdiri daripada penulis puisi pelbagai kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, Cina Peranakan, Cacos, Banjar dan beberapa lagi kaum yang hadir dari segenap negeri di Malaysia. Hal ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai banyak penulis puisi yang bukan hanya daripada kaum Melayu semata-mata, sebaliknya Malaysia turut mempunyai penulis puisi dari pelbagai kaum.

Peserta berpeluang menimba ilmu daripada penulis terkenal, Dr. Fahd Razy.

Bengkel ini merupakan salah satu inisiatif yang diambil oleh pihak Kelab Penulisan Kreatif  (KESPEK) dalam memberikan galakan serta panduan kepada para penulis yang ingin menyertai projek antologi puisi yang diberi nama Puisi Nilai-nilai Malaysia (PNNM).

Projek antologi ini merupakan hasil usaha KESPEK, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan sokongan Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA) dan Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (P3P) UniMAP dan tajaan dana oleh Khind Starfish Foundation dan Eagle Navigator

Antologi Puisi Nilai-nilai Malaysia yang bakal diterbitkan ini adalah bertujuan untuk merakamkan kepelbagaian budaya dan gaya hidup pelbagai kaum dan etnik di Malaysia dalam bentuk puisi. Selain itu, adalah diharapkan buku puisi ini dapat menjadi rujukan berkaitan budaya, adat resam dan gaya hidup orang Malaysia.

Di akhir bengkel, beberapa karya peserta telah dibedah oleh penceramah. Antara yang ditekankan adalah penggunaan perkataan, susunan ayat, fakta yang tepat, pengulangan perkataan dan keindahan ayat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.