3 September 2021, 09:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perak – Puisi terbahagi kepada dua, iaitu puisi tradisional dan puisi moden. Antara puisi tradisional yang popular ialah pantun, syair, seloka, gurindam, nazam, teromba dan mantera manakala puisi moden pula hanya ada satu bentuk, iaitu sajak. Seringkali masyarakat kita tersalah erti berkaitan definisi sebuah puisi.

Apakah yang dimaksudkan dengan puisi yang sebenar? Menurut Za’aba, puisi merupakan karangan yang berangkap-rangkap bergantung kepada ritma dan baris. Puisi terlahir daripada pemikiran pengarang yang melafazkan bahasa yang tersusun untuk menarik hati setiap pembaca mahupun pendengar. Puisi yang baik akan menimbulkan diskusi dalam minda pembaca. Diskusi ini akan membangunkan kesedaran, kepekaan dan pelbagai faedah kepada minda dan emosi pembaca.

 

Bengkel diadakan secara dalam talian yang dihadiri sebanyak 200 orang peserta.

Pada 28 dan 29 Ogos 2021, Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Muallim dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Perak serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak telah menganjurkan Bengkel Penulisan Sajak dan Deklamasi serta Bengkel Penulisan Syair dan Deklamasi. Bengkel ini merupakan platform yang amat tepat bagi pencinta sajak dan syair untuk memulakan langkah pertama. Bengkel ini berlangsung secara dalam talian dan dihadiri hampir 200 orang peserta dari seluruh Malaysia, malah termasuk dari Brunei dan China.

Untuk bengkel penulisan sajak, peserta didedahkan dengan teori dan apresiasi sajak di bawah bimbingan penyair wanita tanah air, Siti Raihani Mohamed Saaid. Dari aspek sejarah, persajakan moden dikatakan bermula pada tahun 1930-an, selepas berkembangnya pendidikan moden. Penjajahan Inggeris mendedahkan bentuk kesusasteraan moden kepada penulis tempatan. Dalam sesi bengkel tersebut, peserta didedahkan terhadap kepelbagaian ciri dalam sajak-sajak moden merentas era seperti isi, tema, gaya bahasa dan teknik.

Pada sebelah petang, bengkel deklamasi sajak telah diadakan dengan jayanya di bawah bimbingan Tuan Azmi Ismail dan Puan Milyana Arshad yang kedua-duanya pernah bergelar johan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan. Para peserta diberikan pendedahan umum berkaitan cara mendeklamasikan sajak seperti penghayatan, suara, sebutan, nada, intonasi, mimik muka, gaya/gerak tubuh serta penampilan.

Bengkel penulisan syair diteruskan oleh Syahidatul Munirah, seorang penulis dan penggiat yang terkenal dalam sastera tradisional. Beliau telah berkongsi dengan para peserta berkenaan teori dan apresiasi syair.

Sy’ir atau syair berasal dari istilah Arab yang membawa maksud karangan bersajak. Syair ialah puisi tradisional ciptaan dan kepunyaan orang Melayu yang mendapat pengaruh Arab dan Parsi. Setiap rangkap syair terdiri daripada empat baris yang sama bunyi pada penghujungnya.

Syair disampaikan melalui pelbagai versi irama. Dalam sesi bengkel dendangan syair yang dibimbing oleh dua orang penggiat syair terkenal tanah air, Amran Ibrahim Rashidi dan Nur Amelyana telah menjelaskan beberapa perkara. Antaranya ialah, untuk mendeklamasi syair terdapat beberapa kaedah dendangan, misalnya berlenggok, sebutan yang jelas, kunci suara, getaran, improvisasi serta mempunyai tempo. Terdapat irama tertentu yang lebih sesuai dengan bentuk syair tertentu.

Bengkel selama dua hari ini telah memberi banyak manfaat untuk para peserta menambah ilmu dan menerapkannya dalam kegiatan seni budaya yang mereka ceburi. Susulan daripada bengkel ini ialah Sayembara Penulisan Sajak dan Syair serta Sayembara Deklamasi Sajak dan Dendangan Syair dalam kalangan peserta yang akan berlangsung sehingga 16 September 2021.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.