2 September 2021, 10:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perjalanan ke arah memerdekakan sesebuah masyarakat itu tidak pernah lari jauh daripada konteks sastera dan kegiatan penulisannya. Dengan kedudukan sastera sebagai unsur yang bergerak mengikut peredaran zaman, begitulah bagaimana sesuatu mesej dan gagasan itu diangkat, lalu membentuk roman bangsa yang berhati pejuang dan berfikiran merdeka.

Bagaimanakah karya dan naskhah yang dihasilkan karyawan dan sasterawan memberi kesan terhadap struktur sosial, malah politik yang menterjemahkan wacana pemikiran masyarakat tempatan? Perkara ni dibahaskan dalam sebuah webinar kemerdekaan.

“Webinar Kemerdekaan: Malaysia Kita” anjuran bersama School Of Islamic Thoughts, Majlis Belia Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Pertubuhan Demokrat Sosial dan The Good Society, diadakan pada hari Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke 64, iaitu pada 31 Ogos 2021.

Empat orang pembentang dalam sesi kedua webinar, “Rona Bangsa di Kanvas Merdeka” masing-masing membawa tajuk yang konsekutif serta kompeten mengikut topik dalam meluaskan wacana.

Ahmad Muziru Idham, penulis dan pengasas bersama Jurnal Sang Pemula, sebuah kolektif penulis, dengan tajuk pembentangannya “Kritik Sosial Munshi Abdullah ke Arah Pemerdekaan Daripada Pemikiran Feudalisme Melayu”, menyentuh aspek sumbangan kesusasteraan beliau serta peranannya membentuk sosiologi dan pemikiran masyarakat Tanah Melayu.

Membahaskan karya dan figura pejuang sasterawan yang tegar dalam berkarya memihak pada nasib bangsa, meskipun beliau mempunyai kerangka sejarah yang kontroversi, namun tidak juga dinafikan kepentingannya dan diiktiraf sebilangan pengkaji bahasa.

Antara kritikan Munshi yang dikemukakan Muziru dalam pembentangannya adalah perihal masyarakat Melayu yang tidak suka untuk belajar dan mahir dengan bahasa pengantar sendiri. Hal ini berpandukan kajian Muziru terhadap aksara Munshi dalam Hikayat Abdullah berbunyi orang melayu ‘membuangkan bahasa sendiri’, dan ‘kulihat orang melayulah yang tiada mengendahkannya’.

Hikayat Abdullah. (Sumber: Google)

Menyentuh isu masyarakat yang terlalu paranoid terhadap khazanah sastera Melayu, sebuah nukilan Munshi dalam Hikayat Abdullah berbunyi, ”Apa engkau pedulikan bohongnya itu? Biarlah ia tinggal di situ, melainkan patutulah engkau perhatikan karangannya dan elok rangka perkataan dan kemanian perkataannya, supaya engkau boleh mendapat modal akan mengarangkan kitab-kitab yang betul dan benar dan yang berfaedah kelak akhirnya,”

“Munshi ketika itu mengecam tindakan sebilangan masyarakat Melayu yang membuang, membakar dan menghapuskan khazanah sastera terdahulu, atas nama ‘risaukan akidah’ dan ‘kandungan khurafat’, namun beliau bersikap ke hadapan dengan menekankan ilmu yang boleh diaplikasikan,” jelas Muziru Idham.

Menerusi Hikayat Pelayaran Abdullah, dengan dialog “Tiadakah boleh diubah adat yang tiada baik ini?” dan jawapannya, “Jikalau barang siapa mengubah atau memechahkan itu, nischaya di-timpa daulat marhum orang tua-tua,” Munshi juga memerli dengan sindiran terhadap kepercayaan orang Melayu yang enggan untuk keluar daripada  perangkap kepercayaan tahyul dan menurut Muziru, ini persis seperti kisah dalam al-Quran tatkala Allah SWT menceritakan bagaimanakah utusan Allah SWT mengajak kaum yang enggan untuk beralih daripada kepercayaan menyembah berhala.

Munshi Abdullah memerli keras juga akan kezaliman raja-raja dan pemimpin terhadap rakyatnya dalam Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah, menceritakan bagaimana perbuatan raja terhadap rakyatnya serta nasib penduduk yang dizalimi, dibunuh dan ditindas oleh raja mereka.

Bait-bait penduduk tanah Melayu yang dirakam oleh Munshi ketika itu menunjukkan kesanggupan untuk bermiskin kerana takut melihat gerangan kaya yang dikikis kekayaan mereka oleh pihak raja.

Muziru bagaimanapun menegaskan akan konteks yang perlu diambil bagi menghayati naskhah Munshi ini, “Kritikan sosial Munshi Abdullah bukan bertujuan memburukkan bangsa, tetapi sebagai rujukan untuk membaiki keburukan yang sedia ada demi pembangunan generasi yang lebih baik.

“Munshi menampilkan situasi realiti sosial yang bermasalah, untuk membaiki masa depan anak bangsa. Kemerdekaan daripada pemikiran feudalism bererti kembali ke jalan fikir yang meletakkan keadilan asal dan nilai hidup sebagai tanda aras tehadap semua aspek seperti kepercayaan, kebudayaan, amalan sosial, sehinggalah ke pemikiran anak bangsa.”

Surat-Surat Perempuan Johor. (Sumber: Google)

Pengarah JIWA, Hafizul Faiz pula mengangkat satu perbahasan mantap novel Faisal Tehrani iaitu Surat-Surat Perempuan Johor, menelusuri gagasan yang dibawa pengarang dalam menyampaikan mesej berstrukturkan sejarah bangsa dalam tulisan itu.

“Kenapa karya ini sampai kepada kita pada tahun 2005 adalah supaya kita tidak lagi takut dengan sejarah. Kita sering melihat sejarah itu terhenti setakat tahun 1511, selepas itu tiada perbincangan yang mendalam, penilitiannya dibataskan, seolah-olah selepas kejatuhan Melaka, tamadun Melayu telah tiada lagi,” ujar Hafizul

Hal ini menunjukkan kefahaman masyarakat yang telah didoktrinasikan oleh orientalisme dan impak terhadap wacana sejarah mereka. Jelas Hafizul lagi, walaupun Faisal Tehrani menggarap naskhah ini sebagai karya fiksyen, namun Surat-Surat Perempuan Johor ini mengangkat latar sejarah yang berlaku selepas kejatuhan Melaka, dengan usaha murni untuk membawa khalayak keluar dari gagasan kuno feudal dan doktrin orientalisme dalam sejarah politik.

Webinar ini juga dibarisi lagu dua pembentang, seorang daripadanya adalah graduan Universiti Al-Azhar, Muhammad Hakim Ismail membahaskan gagasan kemerdekaan daripada ulama Nusantara, meneliti sumbangan dan kesan seorang tokoh agama Shaikh Abdullah Fahim.

Aina Nabila pula membawa perbahasan penyair sebagai intelektual nasionalisme dalam pembentangannya bertajuk “Nasionalisme dan Merdeka: Cerminan Zaman Dalam Puisi”. Wajar dirakamkan adalah satu kenyataan Aina berkenaan puisi dan bangsanya, “Ia (puisi) berperanan sebagai cerminan zaman sebuah masyarakat. Isu-isu dan peristiwa dahulu yang dirakam adalah sebagai pesan moral kepada masyarakat sekarang, untuk begitulah perkara hari ini wajar dicatat untuk pengajaran masyarakat zaman depan.”

Webinar penuh boleh ditonton disini

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.