Oleh Pui Wen Hang
2 September 2021, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Mak … mak! Mak!”

Eyman melompat-lompat di keliling sofa seperti monyet sarkas. Ibu Eyman memanggil namanya sambil mengayun penyangkut. Dengan cepatnya, ibunya mendekati Eyman lalu menyebat betisnya.

“Mak, jangan, mak! Sakit!” Eyman mengerang. Mukanya kemerah-merahan. Ibu menyebat betis dan punggung Eyman berkali-kali.

“Bermain lagi, ha, bermain! Engkau pergi solat asar sekarang. Kalau nampak engkau bermain beyblade lagi, siap!” Ibu memekik sambil membulatkan matanya.

Sejak hari itu, apabila ternampak ibu, Eyman akan bergegas ke tandas untuk mengambil air wuduk. Akan tetapi, selepas solat, dia pasti bergegas ke dalam bilik sebelum ibu sempat memanggilnya berzikir bersama-sama.

Pada suatu hari, Eyman turun ke tingkat bawah untuk minum air sebelum menyambung permainan beyblade. Dia terdengar perbualan antara ibu dengan jirannya.

“Eyman anakku itu… . Aduh, tak tahu bilalah dia nak rajin solat! Umur dah 10 tahun. Budak 10 tahun, nabi berkata, kena pukul kalau tak solat. Kalau tak, makin malaslah dia.” Ibu merungut.

“Betul, itu sunah Nabi Muhammad!” Jirannya menyahut.

Eyman melemparkan cawan plastik ke dalam besen lalu berlari ke biliknya semula.

“Sunah Nabi Muhammad? Kejamnya! Tak betul saja, kena pukul!” Eyman merungut di dalam biliknya. Eyman membalut tubuh dengan selimut. Dia hendak tidur sepuas-puasnya!

            Dalam beberapa hari, Eyman bermasam muka dengan ibunya. Eyman selalu mengunci diri sendiri di dalam bilik. Ibu sering memanggil Eyman makan malam, tetapi Eyman turun lambat-lambat.

Pada suatu petang, ayah mengajak Eyman berbasikal.

“Ke mana, ayah?” Eyman bertanya. Dia hairan. Selepas asar, biasanya ayah akan berlengkap dengan jubah dan kopiah. Ayah akan menyampaikan khutbah maghrib di masjid.

“Tempat rahsia ayah waktu kecil dulu.” Ayahnya tersenyum sambil menggalas beg kecil yang kehijau-hijauan.

“Tempat rahsia? Apakah yang ayah buat di tempat rahsia itu?” Eyman bertanya berkali-kali. Matanya menjadi bulat dan terang seperti bintang.

“Nanti tahulah Man. Man, ayah berikan peta. Man perlu pergi ke sana berpandukan peta ini.” Ayah menjelaskan.

“Peta? Zaman apa sekarang, ayah? Bukankah ada GPS?” Eyman menyambut peta itu sambil merungut. Mukanya berkedut seperti kertas yang direnyukkan.

“Ayah orang lama.” Ayah Eyman tergelak.

“Lagipun kita bukannya nak pergi jauh, jadi ayah lukis peta yang ringkas.”

Apabila berbasikal dengan ayah, Eyman terus menyimpan peta itu di dalam saku. Bagi dia, itu hanya peta buruk. Dia pasti tidak sesat kerana ayah akan menunjukkan arah.

Ayahnya mengayuh basikal laju-laju. Eyman menambah kelajuannya untuk mengejar tayar ayah. Desir semak sesekali kedengaran. Eyman terbayang ular yang merayap, namun segera menggeleng.

Terdapat sebatang lorong di hadapan. Ayah menyusup ke dalam lorong. Eyman menambah daya pada kayuhannya. Namun begitu, Eyman tidak menemui ayahnya di sepanjang lorong itu.

“Ayah! Ayah!” Eyman menjerit kuat-kuat. Dia memandang kiri kanan, tetapi tidak dapat melihat bayang ayahnya.

“Ayah!” Eyman menjerit lagi sehingga satu alam bergegar. Mukanya mula kemerah-merahan. Air matanya meluru keluar.

Tiba-tiba, Eyman teringat kata-kata ayah. Dia segera menyeluk saku seluarnya. Dia mengeluarkan sehelai peta yang berkedut.

Eyman mula melihat peta sambil menunggang basikal. Peta itu mempunyai coretan jalan raya dan anak panah yang ringkas. Eyman tiba di kawasan semak. Terdapat jalan yang berpasir merah. Eyman melewati sebuah rumah. Sebahagian rumah sahaja terbina daripada batu bata, sementara yang lain tinggal kerangka. Bulu romanya meremang. Eyman mengayuh lebih bersungguh-sungguh setelah membayangkan bayang putih yang mungkin terlintas di tingkap rumah terbiar.

Akhirnya, Eyman keluar dari jalan pasir dan menuju kawasan perumahan. Dia membelok ke kiri lalu memasuki sebuah lorong. Setelah keluar dari lorong tersebut, Eyman terjumpa basikal ayah!

“Ayah! Kenapa ayah laju sangat? Ayah tidak berhati perut!” Eyman menjerit kepada ayahnya. Mukanya seperti limau, masam.

Ayahnya tergelak sahaja sambil menenyeh misainya. “Ayah tak risau pun.”

“Ayah ingat senang nak kenal jalan di sini?” Eyman berhenti berbasikal lalu menyilangkan tangan. Ayahnya pun memberhentikan basikal dengan kakinya, kemudian berpaling kepada Eyman.

“Bukankah kamu ada peta?” Ayahnya mengenyit mata. Kemudian, ayah menolak basikalnya dengan kaki. Eyman segera mengayuh basikalnya. Jantung kehilangan rentak apabila ayahnya meninggalkannya lagi.

Mereka tiba di sebuah kawasan yang dipenuhi lalang dan paku-pakis yang tinggi. Tempat itu agak kelam kerana diteduhi daun lebat.

Ayah menyelak lalang dengan kedua-dua belah tangannya. Eyman dapat melihat lekuk bukit yang seolah-olah sengaja ditakik orang. Di bawah bukit itu, kedengaran bunyi desir… .

“Sungai? Ayah, sungai!” Eyman melompat-lompat sambil menuding ke arah sungai yang jauh di bawah. Sebelah tangannya memegang bahu ayah.

“Ya, inilah tempat rahsia ayah dengan kawan-kawan dulu!”

“Apa yang ada di bawah sungai? Jom kita tengok!” Eyman menghela lengan ayahnya.

“Duduk dulu, ayah nak tanya sesuatu.” Ayahnya mengetuk-ngetuk tempat duduk sebelahnya dengan jari telunjuk. Eyman pun duduk di tepi ayah.

“Ayah dengar, Eyman kena rotan?” Eyman berdiam sahaja sambil mencakar tanah. Wajahnya bertukar menjadi mendung seperti hari yang akan hujan.

Ayahnya tersenyum, “Jangan salahkan ibu. Ibu berbuat begini kerana takut kamu terlepas solat juga. Solat tiang agama.”

“Eyman dah biasa, ayah. Ibu hanya tahu marah-marah. Eyman tak suka solat.” Eyman merungut sambil melontar sebiji batu ke bawah bukit.

Ayahnya berdekah-dekah. “Eyman, ayah nak bertanya, apakah fungsi peta yang ayah berikan?”

“Untuk Eyman tengok jalan?”

“Ya, bijak Eyman!” Ayah mengusap kepala Eyman. “Eyman rujuk peta itu sekali sahaja atau berkali-kali?”

“Berkali-kali … kenapa ayah mungkir janji tadi?” Eyman menolak bahu ayahnya, kemudian menyilangkan tangan.

“Mungkir janji apa?” Ayahnya berdekah-dekah.

“Ayah kayuh laju, tinggalkan Eyman. Eyman hampir sesat!” Eyman meninggikan suara sambil mencebik.

“Ayah nak memberi Eyman peluang menggunakan peta itu. Ayah tahu, jika ayah tunjukkan jalan, Eyman tak akan membaca peta itu pun.”

Eyman mencebik lalu berpaling, enggan memandang wajah ayahnya. Bagi Eyman, ayahnya telah melakukan kesalahan besar dan belum meminta maaf!

“Eyman, kita merujuk peta berkali-kali untuk memastikan kita berada di jalan yang betul. Sekarang, ayah nak bertanya, mengapakah kita mesti solat?”

“Mak suruh.” Eyman menjawab selamba. Apabila teringat ibu, Eyman bermuka masam.

 Ayah Eyman tergelak lagi. “Eyman, sebelum solat, kita mesti tahu tentang tujuan solat dulu. Apakah tujuan solat pada pandangan Eyman? Ayah ingin mendengar pandangan Eyman, bukan orang lain.

“Kata ustaz, solat membezakan antara orang yang beriman dengan orang kafir.”

“Itu pandangan ustaz. Pandangan Eyman?”

“Islam suruh.” Eyman mengangkat bahunya. “Akan tetapi, apakah kaitan peta buruk ini dengan solat?” Eyman memandang kertas peta yang agak berkedut itu dengan dahi yang berkerut.

“Apabila kita hendak memastikan arah yang betul, kita baca peta berkali-kali. Samalah dengan solat, Eyman. Kita solat berkali-kali sebagai peringatan supaya kita sentiasa berada di jalan yang betul.” ayah menjelaskan.

Eyman masih mencebik dan menyilangkan tangan. Ayah sengaja mengeletek pinggangnya sehingga Eyman tergelak-gelak.

Ayah Eyman menyambung, “Manusia sentiasa berbuat silap. Ayah pun pernah berbuat silap… .” Ayah Eyman membayangkan bahawa dia dan kawannya berlari menyusur sungai. Mereka melontarkan mercun dalam sungai. Tidak kedengaran apa-apa bunyi. Mereka terkekek-kekek lalu kawannya melontarkan mercun itu ke darat. Ayah segera berpaling lalu berlari kerana mercun itu berada terlalu dekat dengannya.

Selepas puas bermain, ayah dan kawannya memanjat bukit itu. Ayahnya berjaya sampai di atas, tempat duduk ayah dan Eyman sekarang, setelah mengukuhkan pijakannya pada lekuk-lekuk. Rakannya mengekori ayah Eyman. Akan tetapi, satu pijakan yang salah menyebabkan kawannya menggelongsor.

“Amin!” Ayah Eyman menjerit. Darah menjadi alur sungai di kaki Amin. Pipinya tercalar. Amin menghulurkan tangan lagi, tetapi kakinya tergelincir. Lekuk bukit yang keras mencalar kaki tangannya ketika badannya menggelongsor ke bawah.

“Ayah? Ayah kenapa?” Eyman melambai-lambaikan tangan di hadapan ayah yang termangu-mangu.

Ayah memutuskan lamunannya lalu menyambung, “Eh … er … kalau … kalau kita sibuk solat 24 jam, ada masa tak untuk kita melakukan maksiat?” Ayah Eyman menggeleng untuk meraih semangat semula lalu melemparkan senyum kekok.

“Taklah! Mana ada masa nak buat jahat! ” Eyman segera menjawab.

“Ha, jadi, Eyman ada pilihan! Eyman nak kekal di jalan lurus atau nak beransur-ansur menjadi jahat?”

“Jalan lurus! Tapi ayah, Eyman tak nak dipaksa. Eyman nak solat dengan relanya.”

“Boleh, tak ada masalah! Perlahan-lahan. Kalau hanya dapat solat satu waktu, solat satu waktu. Ayah akan puji kerana itulah usaha Eyman yang terbaik.” Ayahnya menepuk-nepuk belakang Eyman.

“Betulkan boleh solat satu waktu? Bukankah dosa?” Eyman membulatkan mata sambil bertanya. Dia merenung ayahnya sungguh-sungguh.

Macam bayi yang belajar berjalan, selangkah demi selangkah. Selepas Eyman dah membiasakan satu waktu, naik taraf menjadi dua waktu, tiga waktu solat … akhir sekali, lima waktu.” Ayah tersenyum lembut.

“Yang penting, Eyman, kita pergi ke kelas untuk mempelajari akidah Islam. Selepas akidah kita mantap, iman kita kuat, baru kita mempelajari fikah seperti solat. Ayah mengatur kelas untuk Eyman. Kita pergi belajar bersama-sama, nak?”

“Nak, ayah!”

“Ha, sekarang, Eyman dah faham. Jom kita bermain!”

“Bermain apa?” Eyman segera bangun sambil menyapu-nyapu seluarnya yang terkena tanah.

“Mercun bola sepak!”

Ayah dan Eyman melontarkan mercun di atas bukit. Eyman langsung lupa tentang hasrat menuruni bukit. Biarlah kesilapan silam ayahnya terkubur di bawah bukit rahsia itu.

Eyman hendak bermula dengan solat dua waktu. Ayah berjanji bahawa dia akan mengajar Eyman tentang makna ayat al-Fatihah. Eyman mengangguk. Sejak hari itu, Eyman tidak bermasam muka lagi.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi