Oleh Nazrul Aziz
1 September 2021, 09:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Antara barisan pemuisi yang memeriahkan Malam Gemilang.

Seramai lebih 40 orang pemuisi telah bergabung selama lebih empat jam pada malam ambang kemerdekaan ke-64 untuk menzahirkan perasaan cinta kepada negara dan menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan melalui deklamasi puisi kemerdekaan yang diadakan menerusi laman Facebook Pemuisi Berkarya.

Kesemua pemuisi tersebut telah bergabung pada “Malam Gemilang – Suara PEMUISI Merdeka” yang merupakan anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI). Program tersebut diadakan pada  pukul 10 malam dan dirasmikan oleh Penaung PEMUISI, Tan Sri Hamad Kama Piah Che’ Othman yang turut diserikan dengan ucapan  Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim @Wanrazuhar

Antara nama besar yang turut mendeklamasikan puisi dalam majlis ini adalah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan, Naib Canselor Universiti Malaya ke-8, Dato’ Prof. Emeritus Dr. Hashim Yaacob, SN Datuk Dr. Anwar Ridhwan, SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan, Adiwangsa Sukma, Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, Shukri Abdullah, Yuzailan Yunus, Hassany Hashim dan Romy Sastra.

Majlis dimeriahkan lagi dengan penampilan istimewa Sabri Yunus dan Angeline Tan yang turut mendeklamasikan puisi yang bertajuk “Tukang” dan “Sejak Kau Datang” yang merupakan hasil nukilan Sabri Yunus.

Menariknya Malam Gemilang ini turut menampilkan segmen luar negara seperti dari Indonesia, Brunei, Belanda dan China. Antaranya ialah penampilan istimewa seniman dan budayawan yang berasal dari Rembang, Jawa Tengah Indonesia iaitu Gambuh R  wakil dari Perkumpulan Rumah Seni Asnur Indonesia, iaitu Jonson Effendi dari.

Nazrul Aziz menyampaikan puisi yang bertajuk “Semangat Merah” yang merupakan hasil nukilan beliau sendiri.

Malam Gemilang ini bukan hanya menampilkan pemuisi yang mendeklamasikan puisi berbentuk sajak sahaja, namun ada juga pemuisi yang hadir menyanyikan lagu puisi, bersyair, berpantun dan juga menyampaikan semangat kemerdekaan melalui puisi tradisional.

Majlis tersebut turut mengundang pemuisi muda dan wakil dari Institut Pengajian Tinggi (IPT)  dan jabatan kerajaan. Antaranya ialah Nazrul Aziz yang mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur yang menyampaikan sajak nukilan beliau sendiri iaitu “Semangat Merah”, Muhammad Shahrizan yang mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan juga penglibatan daripada warga pendidik yang mempunyai bakat dalam mendeklamasikan puisi.

Muhammad Shahrizan merupakan wakil dari UPSI.

“Malam Gemilang – Suara PEMUISI Merdeka” dilihat sebagai  acara yang mampu menyemai semangat perpaduan kerana menggabungkan pemuisi dari pelbagai agama dan bangsa seperti Melayu, Cina dan India, selain penglibatan pemuisi dari Sabah, Sarawak dan peserta dari luar negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.