Oleh Nazrul Aziz
30 Ogos 2021, 10:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perlis – 27 Ogos 2021 merupakan satu tarikh yang pastinya akan diingati oleh Rozalita Saupi apabila dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Emas pada Malam Kemuncak Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) tahun 2021 Peringkat Negeri Perlis.

Sayembara yang julung kali diadakan ini merupakan anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) bersempena dengan sambutan Hari Malaysia. Di peringkat Negeri Perlis, SDPAHM telah dianjurkan dengan kerjasama antara Universiti Malaysia Perlis, Angkatan Sasterawan Indera (AKSARA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara.

Rozalita Saupi yang merupakan pensyarah di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin telah mendeklamasikan puisi berjudul “Pesan untuk Anak” hasil karya Che Su Deraman. Persembahan yang cukup menarik menggabungkan unsur Mak Yong, suasana seorang ibu bersama-sama anak dan juga unsur kepahlawanan ini bukan hanya menobatkan beliau sebagai pemenang Hadiah Emas, malahan busana turut diangkat sebagai penerima Anugerah Busana Terbaik. Pemenang Hadiah Emas telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM300, buku dan sijil.

Muhamad Qauyum, pemenang Hadiah Perak dan sekali gus merangkul hadiah persembahan terbaik.

Manakala, Hadiah Perak pula telah dimenangi oleh seorang pensyarah muda berbakat besar dari Universiti Malaysia Perlis yang telah mendeklamasikan puisi berjudul “Tanah ini Milik Kita”. Muhamad Qauyum Zawawi Ahamad Suffi bukan hanya dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Perak, malah persembahannya yang menyelitkan unsur lukisan peta Malaysia telah memikat hati para juri yang membolehkan beliau menerima Anugerah Persembahan Terbaik.

Anugerah Gangsa telah dimenangi oleh pensyarah Kolej Matrikulasi Perlis iaitu Mohd Jorasmin Mat Isa yang turut menyampaikan puisi berjudul “Pesan untuk Anak”. Sebanyak empat orang peserta lain telah menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai RM50, buku dan sijil manakala lima orang lagi peserta menerima hadiah penyertaan berupa buku dan sijil.

Antara peserta dan tetamu jemputan pada malam kemuncak SDPAHM.

Sebanyak 12 orang peserta telah mengambil bahagian pada Malam Kemuncak Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia Peringkat Negeri Perlis dan uniknya sayembara ini kerana peserta bukan hanya dinilai daripada deklamasi puisi semata-mata, namun turut dinilai dari sudut kreativiti dalam menyampaikan puisi. Antara kelainan yang ditampilkan oleh peserta adalah seperti tarian, nyanyian, aksi lakon, syair, muzik dan video.

Majlis pada malam tersebut turut diserikan dengan persembahan deklamasi puisi oleh tetamu jemputan seperti Naib Canselor UniMAP, Lt Kol Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, Dato’ Dr. Redzuan Ibrahim, SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan, Dato’ Rahman Shaari, Encik Rahimi Ariffin dan Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.