Oleh Azlin Asmuni
30 Ogos 2021, 19:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Berdepan dengan situasi pandemik COVID-19 tidak menghalang pelbagai aktiviti dan program diadakan secara dalam talian.  Oleh yang demikian, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja dan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil inisiatif untuk menganjurkan Pertandingan Koakademik Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan DBP-KPM 2021 secara maya.

Karnival pertandingan ini terdiri daripada pertandingan deklamasi sajak, dendangan syair dan forum remaja yang telah bermula dari 25 hingga 28 Ogos 2021. Penganjuran pertandingan ini turut mendapat kerjasama erat daripada Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB).

Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk meningkatkan keterampilan penguasaan bahasa Melayu dalam konteks komunikasi lisan dalam kalangan pelajar sekolah, sekali gus menyokong dasar “Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)”. Program ini juga adalah antara program koakademik bahasa dan sastera peringkat kebangsaan yang telah dirancang dan dimasukkan dalam takwim program tahunan KPM.

Seramai 15 orang telah bertanding dalam kategori dendangan syair, 15 orang bagi  deklamasi sajak, dan 14 pasukan bagi kategori forum remaja. Peserta pada peringkat kebangsaan ini merupakan juara-juara yang telah bertanding pada peringkat negeri dan seterusnya mewakil negeri masing-masing ke peringkat kebangsaan.

Pemenang Pertandingan Koakademik Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan 2021.

Bagi kategori deklamasi sajak dan dendangan syair, juara peringkat kebangsaan akan menerima wang tunai RM600, tempat kedua sebanyak RM500, tempat ketiga sebanyak RM400 manakala sagu hati sebanyak RM100. Bagi kategori forum remaja pula, juara kebangsaan akan memperoleh wang tunai sebanyak RM2500, tempat kedua sebanyak RM2000, tempat ketiga sebanyak RM1500 dan sagu hati sebanyak RM300.

Kemuncak majlis ini ialah pada 30 Ogos 2021, iaitu pada Majlis Perasmian Penutupan dan Pengumuman Pemenang Pertandingan Koakademik Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Yang Berbahagia Datin Sri Hajah Nor Zamani binti Abdol Hamid.

Majlis perasmian penutupan Pertandingan Koakademik Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan 2021 boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.