Oleh Salman Sulaiman
30 Ogos 2021, 11:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Paulo Coelho, kelahiran Brazil, merupakan penulis terkemuka yang dikenali di seluruh dunia dengan karyanya The Alchemist. Novel ini kemudiannya turut mendapat perhatian daripada khalayak sastera Nusantara apabila diterjemahkan dalam bahasa Melayu.

Paulo Coelho. (Foto penulis)

The Biblio Press ikut sama mengambil semangat dan aura positif novel ini dengan menterjemahkan The Alchemist dalam bahasa Melayu menjadi Ahli Alkimia agar dapat dibaca oleh lebih ramai orang.

The Biblio Press kali ini menampilkan Hasri Hasan sebagai tetamu undangan yang menceritakan pengalaman beliau menjadi pembaca dan penterjemah novel terkenal ini dalam bahasa Melayu. Bicara buku yang disiarkan secara langsung melalui laman sosial Facebook The Biblio Press pada pukul 9.00 malam, 28 Ogos 2021 ini dipimpin oleh Dr. Khaizura dan Farmi Hisyam sebagai moderator bersama. Selain itu, bicara buku fenomena karangan Paulo Coelho ini juga turut disiarkan secara langsung melalui  Facebook SUPER 7AM CLUB.

Hasri Hasan berpengalaman selama 30 tahun dalam dunia penerbitan. Beliau merupakan peminat buku tegar kelahiran Singapura. Beliau pernah bertugas sebagai Pengurus Kanan di Perbadanan Kota Buku selama lima tahun dan mempunyai pengalaman luas dalam dunia penerbitan buku. Hasri juga pernah mengajar subjek berkaitan dengan penerbitan di UiTM dan Universiti Malaya.

Beliau mula membaca The Alchemist ini sejak tahun 2000. Antara ribuan buku yang dibacanya, beliau mengakui The Alchemist ini ialah buku yang telah mengubah hidupnya. Hasri Hasan menceritakan pengalamannya yang sangat menarik tentang pembacaan dan penterjemahannya terhadap buku terkenal karangan Paulo Coelho ini.

Hasri yang mengakui berhubung rapat dengan Paulo Coelho sendiri untuk urusan penterjemahan dan penerbitan buku tersebut mendapat pengalaman yang sangat berguna daripada penelaahannya berkali-kali terhadap karya yang telah terjual lebih 65 juta naskhah di seluruh dunia ini.

Novel yang meledak menjadi karya terlaris antarabangsa yang pertama kali diterbitkan dalam bahasa Portugis pada tahun 1988 ini, ditulis Paulo ketika usianya menjelang 40 tahun. Pada tahun 1993 barulah diterjemahkan dalam bahasa Inggeris.

Antara yang paling menarik yang dikongsikan oleh Hasri ialah Paulo sendiri, setiap kali membaca semula The Alchemist maka setiap kali itu jugalah dia mendapat aura, sensasi dan semangat baharu daripada buku tersebut, walaupun buku itu ialah hasil tulisannya sendiri. Salah satu kata-kata magis Paulo yang diulang oleh Hasri ialah, “Di mana hati kita berada, di situlah harta kita.”

Hasri Hasan. (Foto penulis)

Sesi yang berlangsung selama 1 jam 41 minit tersebut telah berjaya menonjolkan kepada pembaca secara lebih jelas kekuatan novel yang sudah diterjemahkan kepada lebih 80 bahasa di serata dunia ini.

Dr. Khaizura juga menzahirkan kekaguman terhadap buku ini, katanya, “Penceritaannya sangat baik, sehinggakan kita boleh bayangkan gelapnya padang pasir tanpa cahaya kerana ada waktu tertentu api tidak boleh dinyalakan.” Farmi Hisyam kemudiannya mengakhiri sesi dengan ungkapan, “Sila cari ahli alkimia dalam hidup anda!”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.