30 Ogos 2021, 16:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mengopi Puisi kembali berlangsung dengan tajuk “Berpuisi Bercinta”, menampilkan pembicara dari kalangan penyair dan penulis tempatan mutakhir, Syafiq Ghazali, Syaheeda Hamdani, Ariff Mustafa Hamzah dan Shafiq Said. Perbahasan santai yang dibawa Kata-Pilar ini adalah untuk mendalami apakah yang ada di sebalik pembikinan puisi cinta dan romantis mereka.

Hari Terakhir di Tubuhmu. (Sumber: Google)

Pengarang Hari Terakhir di Tubuhmu, Syafiq Ghazali menjelaskan yang beliau jarang memasukkan dirinya dalam karya. “Secara semula jadinya, saya ini bukan seorang yang berjiwa romantis, kecenderungan saya tidak ke arah unsur cinta. Memang sebahagian daripada karya saya adalah daripada pengalaman peribadi, namun tidaklah dominan,” jelas Syafiq.

Perihal pilihan untuk menulis satu buku kumpulan puisi cinta, Syafiq seraya mengatakan bahawa ia (puisi cinta) mudah untuk dicipta dan ditulis, kerana menurutnya, cinta adalah rasa dan pengalaman yang umum dalam kalangan manusia.

Syafiq yang meminati penyair Zaen Kasturi itu juga menegaskan, “Tidak kira apakah niatnya ketika berpuisi, namun yang penting adalah kesan kepada pembaca. Jika pembaca dapat merasai sesuatu, mengesankan jiwa mereka, itu juga keutamaan dalam berkarya.

Sepasang Nila di Bahu. (Sumber: Google)

Syaheeda Hamdani pula menyatakan, “Buku puisinya Sepasang Nila di Bahu bertemakan kesunyian kehidupan peribadi beliau. Pengarang juga menyenaraikan beberapa puisi cinta pilihan yang ada di dalam buku itu antaranya puisi “Solitude” yang bercerita tentang kesunyian tanpa sesiapa yang mendampingi.

“Puisi “Serpihan Warna Dalam Foto” adalah satu puisi peribadi, ditulis dengan gambaran cinta yang jelas dan terang. Malah, sebuah puisi saya yang berjudul “Rokok” juga sebenarnya bersifat cinta,” tambah Syaheeda.

Penyair itu secara peribadinya seorang penggemar puisi cinta yang bernada melankolik, seperti puisi yang menyentuh perasaan putus cinta dan patah hati. Tambah beliau, karya-karya puisi Khairil Anwar adalah antara yang menjadi kegemaran.

Noir Kota. (Sumber: Google)

Pemenang utama Sayembara Puisi Kata-Pilar yang Kedua, Ariff Mustafa Hamzah pula membawa bukunya yang bersifat kontra daripada tema cinta. Noir Kota, sebuah kumpulan puisi yang bertemakan kegelapan kehidupan, realism jiwa kasar di bandar merupakan tema yang jauh berbeza dengan puisi bercinta.

“Tujuan saya menulis Noir Kota adalah untuk menampilkan sisi gelap saya, setelah lama khalayak melihat sisi saya sebagai penulis yang sebaliknya. “Sebenarnya pada peringkat awal saya menulis, banyak puisi cinta yang saya tulis. Mungkin apa yang disiarkan adalah kumpulan pilihan yang sebaliknya,” jelas Ariff.

Sesetengah pihak bersetuju bahawa untuk menulis sebuah puisi, tema yang wajar diangkat adalah hal-hal yang besar dan berat. Namun Ariff bersifat sebaliknya, beliau berharap stigma itu berubah.

“Hal ini kerana aras perkembangan karya puisi cinta yang tidak menjanjikan, puisi cinta tidak patut dicipta dengan penyampaian mudah dan langsung. Untuk memastikan puisi cinta ini mekar sama besar dengan dunia sastera, karyawan perlu untuk ‘bermain dengan simbol’,” jelas Ariff.

Shafiq Said pula menjelaskan posisi beliau sebagai penyair yang berkarya menggunakan kehidupan peribadi beliau. Hasil tulisan Shafiq mengandungi elemen dan inti pati intim yang dicedok terus daripada kehidupan beliau. Boleh dianggap yang Shafiq Said ini mendedahkan sisi peribadinya kepada khalayak pembaca.

“Itu pentingnya untuk menyembunyikan unsur keberanian dengan kebijakan. Jujur sebenarnya, terbit juga rasa risau dan ragu untuk menulis, namun atas dorongan editor, saya gagahkan juga.

“Malah, jika saya perlu membuat pilihan, antara rugi menulis dan rugi tidak menulis, lebih besar kerugiannya jika tidak menulis,” ujar Shafiq.

Bual bicara ini berlangsung pada 27 Ogos, pukul 9.15 malam. Mengopi Puisi adalah slot bual bicara anjuran Kata-Pilar Books yang memperbesarkan hal-hal berkaitan puisi yang berlangsung di Twitter Spaces mereka, @katapilarbooks.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.