29 Ogos 2021, 13:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perak – Tanggal 28 Ogos 2021 menjadi tarikh yang bersejarah buat Rozarina Mohd Rusli apabila beliau dinobatkan sebagai Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-35 Peringkat Negeri Perak yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Sastera (LEPAS) Perak dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBP), Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), Majlis Kebudayaan Negeri Perak dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak.

Berbekalkan pengalamannya sebagai orang lama di pentas deklamasi puisi, Rozarina telah mendeklamasikan puisi bertajuk “Abadikan Kesetiaan Kita,” nukilan Sani La Bise. Sebagai Johan, Rozarina membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1000, sijil penghargaan dan hadiah iringan berupa buku tajaan DBP, serta akan mewakili negeri Perak ke SDPK Peringkat Kebangsaan yang dijangka akan berlangsung pada 11 September 2021.

Muhammad Shazren, Naib Johan SDPK Perak.

Naib Johan pula disandang oleh Muhammad Shazren Baherudin yang merupakan kali pertama menyertai sayembara tersebut. Beliau telah mendeklamasikan puisi “Landskap Bangsa” karya Mohamad Saleeh Rahamad. Manakala, tempat ketiga telah dimenangi oleh Noor Azli Sudin yang mendeklamasikan puisi Jasni Matlani, bertajuk “Memilih untuk Bercinta dengan Tanah Airku.”

Noor Azli Sudin, Tempat Ketiga SDPK Perak.

Antara syarat utama penyertaan pertandingan adalah, kesemua peserta mestilah terdiri daripada warga negeri Perak, sama ada anak kelahiran ataupun pemastautin yang tinggal menetap di negeri Perak. Para peserta juga diwajibkan untuk mendeklemasikan puisi daripada Antologi Tanggam Warisan terbitan GAPENA sahaja.

10 peserta akhir yang bertanding dalam SDPK Perak.

Pada peringkat saringan, kesemua peserta diminta menghantar video deklamasi puisi mereka kepada pihak penganjur untuk penilaian panel juri sebelum melayakkan diri ke peringkat akhir. Daripada 26 orang peserta yang menghantar penyertaan, hanya 10 orang peserta terbaik sahaja yang dipilih untuk ke peringkat akhir SDPK Peringkat Negeri Perak.

Pertandingan SDPK Peringkat Negeri Perak pada tahun ini tampil sedikit berbeza apabila menggunakan medium Google Meet yang juga disiarkan secara langsung di Facebook LEPAS Perak. Pertandingan tersebut dirasmikan oleh Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dato’ Mohammad Zahir bin Abdul Khalid.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.