28 Ogos 2021, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mengutip kata seorang penulis fiksyen terkenal dunia, Stephen King mengenai kesendirian dan penulisan;

Writing is a lonely job. Having someone who believes in you makes a lot of difference. They don’t have to makes speeches. Just believing is usually enough.

Seperti kata Stephen King, menulis merupakan sebuah pekerjaan yang sunyi. Pekerjaan yang dilakukan dalam keadaan sepi dan sendiri. Meskipun jika melihat seorang penulis mengerjakan penulisannya di tengah kafe yang penuh dengan ramai orang sekalipun, penulis berkenaan sudah pastilah telah memasuki ruang sendiri dalam dirinya.

Kesendirian dalam penulisan menjadi sesuatu yang lumrah dalam diri penulis.

Fokusnya adalah pada penulisan dan walaupun kemudian ada gangguan luar seperti bunyi bising dan sebagainya, penulis sudah membina dunia dan tujuan penulisan yang tidak lagi mampu diganggu gugat.

Oleh itu, kesendirian dalam penulisan menjadi sesuatu yang lumrah dalam diri seorang penulis. Mengambil kembali kata Stephen King berkenaan, kita dapat melihat bukanlah semata-mata hidup penulis dalam keseorangan sahaja. Hanya apabila tiba waktu untuk menulis, kesendirian itu sering dituntut.

Stephen King memberikan ujaran bahawa “seseorang yang mempercayai” juga penting dalam kehidupan penulis. Di sini, kegiatan sosial, tidaklah dikesampingkan langsung. Penulis juga perlukan masa bersosial, bertukar fikiran, melihat dunia dan mendapatkan sokong baik dari segi fizikal juga emosi. Perkara ini dapat dicapai menerusi komunikasi interpersonal dalam kalangan penulis dan pengikut dunia sastera umumnya.

Dalam tempoh pandemik sejak awal tahun 2020, kegiatan sosial tidak mampu lagi dilakukan secara bersemuka. Pergerakan yang disekat ini namun, tidak pula membataskan aktiviti sosial untuk terus dilangsungkan. Menerusi kecanggihan dunia Internet dan pengenalan terhadap pelbagai jenis media sosial, cakupan aktiviti sosial yang menjurus kepada dunia sastera dan penulisan di tanah air kita pun turut mengalami perubahan.

Batas masa dan geografi dalam era sebelum pandemik telah menghadkan bagaimana keterlibatan dan bentuk program dilakukan. Namun, kini semuanya telah dapat diatasi dengan lebih baik.

Sebagai contoh, aktiviti bicara buku mahupun diskusi isu sastera dalam kalangan penulis muda misalnya bersifat lebih luas dan terbuka. Jika sebelum pandemik, penulis muda yang dibatasi sempadan geografi hanya dapat mengikuti perkembangan sesebuah program setelah program berkenaan selesai. Itu pun daripada rakaman dan gambar bersifat peribadi pengguna media sosial yang hadir ke majlis berkenaan.

Aktiviti sastera yang diadakan secara bersemuka.

Kini, komunikasi dalam normal baharu, sesiapa dan di mana juga turut dapat hadir secara virtual dan menyaksikan serta terlibat dala, program/aktiviti dijalankan secara langsung (real time). Malah, dengan pendekatan baharu ini, lebih banyak program dijalankan pada waktu yang lebih berbeza daripada kebiasaan program bersemuka dijalankan.

Banyak program ini disusun pada malam dan berlarutan hingga awal pagi turut diikuti ramai sekali penonton dan pendengar. Penyesuaian ini bertepatan dengan waktu santai ramai daripada masyarakat selain, turut bertindak sebagai mengisi waktu dengan lebih baik.

Pandemik jika dilihat dari aspek yang positif sebenarnya telah membuka banyak ruang baharu dalam bersosial. Kalau dapat dibandingkan, pada era sebelum pandemik, perbahasan dan perbincangan sesebuah isu hanya terbatas pada aktiviti sosial bersemuka dalam sesebuah aktiviti di sesebuah tempat dan masa.

Namun kini, peluang untuk membicarakan lebih banyak topik lebih terbuka luas. Penulis muda pada masa ini telah menggunakan ruang media sosial dalam mengadakan aktiviti dan membuka banyak perbincangan isu dalam kalangan penulis muda mahupun sastera di Malaysia.

Kini, pelbagai topik sastera dibicarakan dalam platform media sosial.

Sebagai contoh, boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu (Jumaat hingga Ahad), malah kadangkala pada hari biasa, perbincangan mengenai ulasan buku, kepentingan pengkaryaan, perbincangan sastera mahupun biacara tokoh sering diadakan. Hal ini telah membuka banyak ruang dan peluang penulis muda mahupun penulis pemula untuk lebih mengetahui isu serta ilmu baharu mengenai sastera dan penulisan.

Berbicara mengenai platform pula, barangkali, kita dapatlah mengatakan bahawa media sosial seperti Facebook yang lumrahnya kurang diminati oleh golongan lebih muda terutamanya Generasi Z dan Millenial dewasa ini. Berdasarkan artikel oleh The Asean Post (2020), platform media sosial yang digemari oleh golongan ini di negara Asia seperti Singapura, Malaysia, Thailand dan Indonesia adalah terarah kepada Twitter, Instagram dan YouTube.

Sementara itu menerusi artikel oleh Siobhan Ting (2021), Tik Tok juga disebut sebagai salah satu platform yang disukai oleh golongan ini. Kependekan video dan teks yang ditawarkan oleh kesemua media sosial berkenaan dikatakan menjadi punca mengapa platform ini lebih digemari oleh kedua-dua golongan ini. Kependekan informasi lebih mudah difahami dan berfokus kepada tujuan yang hendak disampaikan kepada penulis muda.

Pengenalan baharu platform media sosial seperti yang ditawarkan oleh platform seperti Instagram dengan Instagram Live berserta Twitter Spaces oleh platform Twitter, telah membawa bersama-sama perbincangan sastera, bahasa dan penulisan sebagai salah satu subjek kegemaran untuk dijadikan tema.

Tidak ketinggalan juga penulis muda kini turut menggunakan kesempatan aplikasi seperti ClubHouse. Inisiatif oleh penerbit Katapilar dan Bilik Penyair sebagai contoh, mengadakan perbincangan dengan menggunakan platform Twitter Spaces cukup baik. Perbincangan meliputi bukan hanya soal puisi dan penyair, tetapi berkenaan dengan penulisan cerpen, novel dan isu-isu lain dalam dunia sastera tanah air.

Mengapakah siaran langsung menerusi media ini meraih banyak pengikut dalam kalangan penulis muda? Meskipun siaran langsung Facebook dan Instagram memberikan peluang pembicara dilihat menerusi paparan video, reaksi dalam kalangan pengikut dan penonton hanya dihadkan kepada komen yang ditulis pada ruangan yang disediakan. Penonton yang terlibat secara aktif hanya dapat dilihat dalam bentuk tulisan.

Komentar seperti ini kadangkala telah menyebabkan pembicara mampu terlepas daripada bereaksi terhadap apa-apa yang diujarkan penonton, terutamanya apabila perbincangan dilakukan dalam Instagram Live. Komen yang diberikan bergerak laju dan kadangkala tidak mendapat perhatian pembicara. Berbeza dengan siaran langsung di Facebook, komen masih boleh dilihat sekiranya pengendali menatar pada ruangan yang disediakan.

Kehadiran Twitter Spaces dan Clubhouse pula berbeza. Setiap komen mahupun persoalan dapat ditanyakan kepada pembicara setiap kali secara langsung. Pendengar perlu meminta untuk dibukakan mikrofon dan diundang sebagai pembicara. Soalan lebih jelas dapat dinyatakan menerusinya. Malah, jika soalan yang diberikan oleh penonton tidak dapat difahami oleh pembicara, soalan dapat diperjelaskan terus oleh si penanya.

Selain itu, kelompok yang terlibat dalam pembicaraan ini lebih bersifat intim dan kecil. Kefahaman dan penjelasan dirasakan lebih dekat dalam kalangan pembicara dan penonton.

Perubahan aktiviti sosial daripada bersemuka kepada dalam talian sebenarnya banyak merubah cara seseorang penulis muda, pemula mahupun baharu untuk berkomunikasi. Dalam komunikasi bersemuka, apabila soalan dibuka, golongan ini kebanyakannya lebih suka mendiamkan diri dan merasa rendah diri untuk bertanya. Menerusi komunikasi secara dalam talian, perasaan ini dapat dibendung dan menjadikan mereka lebih bersifat terbuka untuk bertanya dan meluahkan pendapat. Selain itu, penulis baharu, muda dan pemula dapat dikenal pasti dengan lebih ramai menerusi aktiviti yang dijalankan dalam talian.

Berbanding dengan aktiviti yang dijalankan secara bersemuka, penganjur mungkin hanya memberikan perhatian kepada golongan yang telah dikenal pasti, tetapi, melalui aktiviti yang dijalankan, lebih banyak peluang dapat diberikan untuk pembicara daripada golongan muda, baharu dan pemula ini. Perbincangan dalam kalangan penulis muda, baharu dan pemula menerusi kebiasaan baharu ini sebenarnya telah merapatkan jurang perbezaan setidak-tidaknya di antara mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.