28 Ogos 2021, 22:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Unsur naratif yang terdapat dalam Hikayat Raja Muda boleh diceritakan dalam tiga bahagian, iaitu kehidupan setelah kelahiran, pengembaraan si Raja Muda dan diakhiri dengan peleraian kisah Raja Muda.

Nor Muhamad Mat Zain daripada Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengatakan, “Naskhah lipur lara ini diklasifikasikan oleh para sarjana sebagai sebuah karya sastera panji, sastera epik dan juga sastera zaman pra-Islam.”

“Hal ini kerana dalam karya ini terkandung beberapa elemen animisme, hinduisme dan juga elemen Islam,” tambah beliau semasa temu bual di slot “Khazanah Seni Sastera” dalam Spektrum Pagi di radio Bernama. Segmen yang diadakan pada 27 Ogos 2021 merupakan episod kesebelas yang membahaskan hikayat sastera Melayu tradisional yang boleh ditonton menerusi JendelaDBP.

Hikayat Raja Muda Boleh didapati menerusi portal DBPNiaga.

Hikayat Raja Muda mengisahkan kehidupan seorang raja muda bernama Raja Bujang Selamat yang akan keluar mengembara untuk mencari adiknya di hutan belantara. Nor Muhammad turut mengatakan bahawa hikayat tersebut merupakan cerita yang mengangkat perasaan kasih sayang, sifat pengorbanan  dan keluhuran cinta antara keluarga.

Setiap 19 bab dalam hikayat tersebut mempunyai jalur naratif yang tersusun, bermula dengan hari-hari kehidupan awal Raja Muda di istana, serta unsur konflik perkahwinan si Raja Muda dan disusuli dengan kisah pengembaraan Raja Muda yang diharungi dengan pelbagai rintangan. Antara babak yang menarik adalah pertembungan antara Raja Muda dengan tujuh penyamun. Hikayat ini diakhiri dengan peleraian yang bertema penamat sempurna.

Sepertinya, pengarang mengambil unsur keluarga sebagai pemandu cerita yang lengkap dalam sastera ini yang bernaratif epik. Selain itu, hikayat ini bukanlah sebuah hikayat legenda dan sejarah seperti Hikayat Raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa dan Hikayat Hang Tuah. Hikayat Raja Muda ialah sebuah hikayat dongeng, cerita lipur lara, yang disampaikan oleh penglipur lara iaitu Pawang Ana lalu disalin dan dicatat oleh Raja Haji Yahya. Namun Nor Muhamad menegaskan, “Naskhah ini memaparkan banyak nilai dan pengajaran yang boleh diaplikasikan dan dikaji masyarakat kini.”

Pawang Ana merupakan seorang penglipur lara yang memain peranan besar dalam kesasteraan Melayu tradisional, mekar dengan Hikayat Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Anggun Cik Tunggal.

“Ia melahirkan satu usaha untuk mengkaji dan perjalanan penglipur lara tradisional yang mempunyai kebolehan bercerita secara spontan melalui lisan,” ujar Nor.

Nor Muhamad Mat Zain.

“Uniknya hikayat ini kerana ia menyatakan kearifan tempatan, seperti adab resam, adat istiadat serta budaya tradisi untuk menjelaskan lagi perjalanan hidup orang dahulu. Dengan membaca Hikayat Raja Muda ini, makanya generasi kini, waima saya sendiri, dapat tahu tentang budaya yang pernah diamal masyarakat kita terdahulu,” ujar beliau ketika menyimpulkan bicara.

Hikayat Raja Muda ini boleh dibeli di DBP Niaga.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi