26 Ogos 2021, 11:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Masyarakat dinasihatkan untuk meluaskan kotak pemikiran mereka dengan fahaman bahawa dunia sastera bukan hanya tertumpu pada penulisan semata-mata. Dunia sastera ini meluas, iaitu meliputi bidang lukisan, perniagaan, kecantikan dan sebagainya.

Itu antara inti pati yang dikongsikan dalam sesi “Sembang Santai Bersama Personaliti Muda: Orang Sastera Kerja Luar Sastera” anjuran Persatuan Penulis Budiman. Program ini menampilkan ahli panel seperti Nabiha Mohd Mashut dan Firdaus Hassan serta Ariff Mohd sebagai moderator.

Nabiha yang juga pengasas perniagaan hijab dan pereka fesyen muslimah, Marhuna Apparel Malaysia menyatakan bahawa jiwanya berasa kosong sekiranya tidak menulis. Jadi, pada setiap hari dia akan mencari masa untuk menulis walaupun terbeban dengan pekerjaannya sebagai usahawan.

Nabiha berpendapat, orang sastera suka meluahkan perasaan; suka, sedih dan geram melalui kata-kata. Oleh sebab itu, dia suka menulis daripada mengekspresikannya melalui tindakan. Tanpa luahan tersebut, jiwanya berasa kosong ibarat berjalan tanpa roh dalam badan.”

Bagi pemenang Anugerah Sastera Johor 2021 itu, beliau mengakui bahawa masih ramai yang mempersoalkan keputusannya untuk meneruskan kerjaya sebagai penulis. Walaupun bidang ini merupakan pilihan keduanya, namun baginya bidang ini ibarat gua untuk dia keluar mencari ketenangan jiwa dan setelah itu barulah dia kembali semula ke dunia nyatanya.

Sementara itu, Firdaus yang juga pengurus di sebuah pusat jagaan kanak-kanak mengakui, beliau masih dalam fasa mencari kekuatan dan pengalaman hidup untuk menghasilkan karya sastera yang hebat.

“Latar belakang pendidikan saya dalam bidang seni visual iaitu memahami bahasa, warna, tulisan, karakter dan psikologi melalui gambar. Pada masa yang sama, saya turut menghasilkan karya sastera dengan memahami teks dan memilih teks yang terbaik untuk dimuatkan dalam puisi. Jadi dua bidang ini saya bawa sekali dengan fokus saya kini adalah untuk mengajar kanak-kanak dan berharap untuk menghasilkan karya yang dapat memberikan fokus kepada golongan tersebut,” kongsi Firdaus kepada pendengar.

Sambungnya lagi, “Jiwa kanak-kanak dalam tempoh yang dipanggil usia emas ini sebenarnya sangat kreatif. Ini merupakan saat yang kritikal untuk ibu bapa dan guru menerapkan laluan kehidupan mereka. Bahan berbentuk pantun dan puisi Melayu lama sangat berpengaruh untuk dijadikan bahan pembelajaran di awal usia. Pembelajaran di tadika merupakan fasa kritikal untuk mengadaptasikan budi bahasa, bangsa dan agama berdasarkan apa yang kita tanamkan kepada mereka.”

Program ini disiarkan melalui Google Meet pada 26 Ogos 2021, pukul 9.30 malam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.