25 Ogos 2021, 16:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kesenian dan Kokurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menganjurkan Pertandingan Koakademik Peringkat Kebangsaan 2021 bagi Kategori Dendangan Syair. Pertandingan tersebut turut mendapat kerjasama daripada Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB).

Muhammad Aiman Mohamad Zaidi mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Pertandingan yang diadakan secara dalam talian tersebut telah disertai oleh 15 orang peserta yang juga merupakan johan peringkat negeri masing-masing yang akan berentap untuk mendapatkan gelaran Johan Pertandingan Koakademik Peringkat Kebangsaan 2021 bagi Kategori Dendangan Syair. Pertandingan tersebut berlangsung pada pukul 2.30 petang tadi menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP.

Bukan sesuatu perkara yang mudah untuk mendendangkan syair, lebih-lebih lagi dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Hal ini dikatakan demikian kerana peserta tersebut harus memahami setiap bait syair yang ingin didendangkan beserta pemilihan irama yang bertepatan. Oleh itu, usaha dan sokongan daripada guru harus diberikan penghargaan kerana mereka telah berjaya melahirkan pelajar yang berbakat.

Nur Fatin Nazihah dari Selangor mendendangkan “Syair Bidasari”.

Pertandingan Koakademik Peringkat Kebangsaan 2021 turut mempertandingkan Kategori Deklamasi Sajak dan Forum Remaja yang bermula dari 25 hingga 30 Ogos 2021. Siapakah yang bakal bergelar johan? Ayuh, kita saksikan kehebatan para peserta yang mewakili negeri masing-masing menerusi Studio Siaran Langsung DBP!

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi