24 Ogos 2021, 14:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nama Ruhaini Matdarin bukan nama baharu dalam dunia penulisan kreatif, terutamanya dalam kalangan penulis muda. Setelah hampir lapan tahun tidak menghasilkan novel remaja, maka pada kali ini Ruhaini telah kembali untuk menghasilkan novel remaja yang berjudul Rumah ini Milik Kita. Oleh itu, rancangan Bicara Karyawan pada kali ini menampilkan Ruhaini Matdarin untuk membicarakan novel Rumah ini Milik Kita yang bakal diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Rancangan yang bersiaran pada pukul 12 tengah hari tadi dapat ditonton menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP.

Ruhaini Matdarin turut menghiasi ruangan “Borak Orang Muda”, majalah Tunas Cipta Bil. 01/2020.

Sebagai penulis yang menjadikan golongan remaja sebagai pembaca sasaran, beliau turut mengatakan bahawa penyampaian kandungan yang ingin disampaikan tidak boleh mengetengahkan isu yang berat, namun harus bersifat menyeluruh. Tegas beliau, “Menulis novel remaja ini memerlukan seseorang penulis tersebut untuk merendahkan ego mereka. Hal ini membuatkan kita lebih peka terhadap keadaan sekeliling dan mendekati masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana dari aspek psikologi, remaja merupakan golongan yang polos dan belum benar-benar mengerti tentang perihal kehidupan.”

Pada peringkat awal penghasilan manuskrip novel tersebut, Ruhaini hanya meletakkan Rumah sebagai judul novel dan hanya mengambil masa lapan bulan untuk menghasilkan manuskrip tersebut. “Pada sekitar tahun 2015, masyarakat sering memperkatakan tentang rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan terdapat segelintir masyarakat yang tidak berpeluang untuk merasai keselesaan sesebuah rumah yang sebenar. Namun masih terdapat sebahagian daripada masyarakat yang berpeluang untuk memiliki rumah yang selesa. Oleh itu, saya telah mengambil keputusan untuk menjadikan “rumah” sebagai fokus utama dalam penghasilan novel tersebut,” jelas Ruhaini.

Menghargai apa-apa yang ada dan bersiap sedialah untuk kehilangan merupakan antara ungkapan yang dikongsikan oleh Ruhaini ketika mengulas tentang konflik yang terdapat dalam novel Rumah ini Milik Kita.

Yang menariknya novel Rumah ini Milik Kita turut menekankan aspek psikologi yang memfokuskan kesihatan emosi dan mental remaja apabila menceritakan tentang dua watak utama iaitu Humaira dan Syahira. Kedua-dua watak tersebut amat berbeza apabila Humaira merupakan remaja yang dilahirkan serba kekurangan dan tidak berpeluang untuk tinggal di rumah yang selesa. Watak tersebut berbeza dengan Syahira yang dilahirkan dengan kemewahan dan mempunyai rumah yang sangat selesa. Perjalanan kisah kedua-dua watak tersebut semakin menarik apabila terdapat konflik yang melanda dalam diri kedua-dua remaja tersebut.

Bicara Karyawan: Rumah ini Milik Kita.

Apabila bercerita tentang inspirasi, Ruhaini mengatakan bahawa beliau menjadikan persekitaran dan pengalaman orang sekeliling sebagai sumber ilham dalam menghasilkan novel tersebut. “Namun novel tersebut turut mempunyai cabaran yang tersendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana saya perlu menjalankan kajian lapangan untuk memastikan bahawa latar dan struktur rumah PPR yang ingin diceritakan tepat, selain perlu mendalami jiwa remaja tentang cara mereka menghadapi konflik,” tambah beliau.

Novel Hari-hari Terakhir di Jesselton berjaya memenangi HSPM 2018/2019.

Penulis prolifik kelahiran Sabah ini juga turut menghasilkan novel remaja yang lain seperti Jendela Menghadap Jalan, Waris Pejuang, Dalam Getar Waktu, Kotak dan Cerita Perang Beriga. Kekuatan beliau dalam bidang penulisan telah mengangkat beliau sebagai penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2018/2019 dalam kategori Buku Sastera Dewasa menerusi novel Hari-hari Terakhir di Jesselton. Program Bicara Karyawan tersebut boleh ditonton di sini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.