24 Ogos 2021, 09:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lazimnya, puisi disampaikan melalui lantunan suara yang disertai bahasa tubuh, agar bait dan nada puisi itu difahami dan dihayati oleh khalayak yang mendengarnya. Begitulah cara puisi disemarakkan dengan pelbagai nama program seperti baca puisi, deklamasi puisi dan lagu puisi.

Persoalannya, bagaimanakah persembahan puisi yang lazim itu dapat dinikmati oleh golongan kurang upaya (OKU), terutama yang cacat pendengaran dan penglihatan? Kekurangan tersebut ternyata tidak menjadi halangan bagi pelajar OKU dari Sabah yang meminati puisi.

Dymphna Simon, pelajar OKU berusia 18 tahun yang menuntut di Kolej Vokasional Keningau, Sabah telah mempersembahkan puisi dengan menggunakan bahasa isyarat. Yang lebih membanggakan, persembahan yang di luar kotak kebiasaan itu telah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Festival Antarabangsa “American Charm”.

Pertandingan bertaraf antarabangsa tersebut anjuran European Association of Folklore Festivals (EAFF), sebuah badan kerjasama UNESCO yang ditubuhkan pada tahun 2007 untuk memelihara, membangunkan dan mempopularkan cerita rakyat dengan mengadakan festival, yang dipersembahkan menggunakan teknologi moden seperti televisyen dan komputer, termasuklah platform digital dan media sosial.

Dymphna yang merupakan pelajar kurang upaya pendengaran mengakui berasa terharu kerana pertandingan tersebut adalah yang pertama kali disertainya dan tidak menyangka persembahan puisinya berjaya memukau hati juri. Pertandingan itu juga diakuinya sebagai sebuah pertandingan yang lain daripada biasa dan sangat terkesan di hatinya kerana menuntut dia beraksi dalam menyampaikan puisi tanpa lantunan suara.

Menurut Dymphna, bakatnya diasah oleh seorang guru kokurikulum yang bernama Cikgu Sirhajwan Idek, yang telah menghantar namanya untuk menyertai pertandingan tersebut. Kebetulan pada masa itu, Cikgu Sirhajwan melihat peluang untuk turut menghantar wakil dalam kategori persembahan puisi selain mencari penyertaan untuk pertandingan tarian dan nyanyian.

Dalam pertandingan tersebut, Dymphna mempersembahkan sebuah puisi yang bertajuk “Ngakak”, karya yang dihasilkan oleh Cikgu Sirhajwan. “Ngakak” ditulis berdasarkan cerita rakyat yang mengisahkan makhluk mistik bernama Ngakak yang sangat ditakuti oleh masyarakat peribumi Sabah kerana rupanya yang hodoh dan bunyi mengilai yang menyeramkan. Namun begitu, nilai budaya dan pengajaran yang terkandung dalam “Ngakak” sangat baik untuk diketahui oleh generasi moden.

Bercerita tentang idea untuk menyertai pertandingan tersebut, Cikgu Sirhajwan mengakui mereka melalui fasa yang sukar untuk mencari cara bagaimana puisi “Ngakak” boleh dipersembahkan menggunakan bahasa isyarat memandangkan Dymphna seorang OKU.

Sirhajwan, guru pembimbing.

Usaha itu juga merupakan kali pertama Cikgu Sirhajwan bersama-sama anak muridnya mencabar diri untuk melakukan persembahan puisi menggunakan bahasa isyarat, seterusnya menyertai pertandingan bertaraf antarabangsa.

Ujar Cikgu Sirhajwan, “kami kerap merujuk persembahan yang ada dalam Youtube untuk mencari idea bagaimana untuk mempersembahkan lenggok badan mengikut patah kata dan muzik yang melatari persembahan itu. Cabaran utamanya, bagaimana menzahirkan pelbagai mimik dan ekspresi muka serta lenggok badan untuk menggambarkan perasaan makhluk bernama Ngakak seperti kesedihan, kemarahan dan ketakutan.”

Kata Dymphna pula, “Saya harus mencari beberapa alternatif gerak tubuh badan yang lain, yang menyampaikan maksud yang sama kerana terdapat beberapa perkataan dan terma dalam bahasa isyarat yang rumit untuk diterjemahkan dalam persembahan puisi itu.”

Ternyata kemenangan meraih gelaran juara dan kejayaan menawan pentas pertandingan antarabangsa melalui persembahan puisi dalam bahasa isyarat menjadi suntikan semangat kepada Dymphna untuk menyertai lebih banyak pertandingan sedemikian.

Selain untuk rekod peribadi, Dymphna juga berbangga kerana dapat mengharumkan nama kolej sekaligus berharap persembahannya dapat membuka minda masyarakat bahawa cabang seni sastera seperti puisi dapat disampaikan juga melalui bahasa isyarat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.