23 Ogos 2021, 15:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masyarakat Melayu bukan sahaja terkenal sebagai masyarakat yang kaya dengan kearifan tempatan atau kebijaksanaan lokal dalam ilmu alam, pertukangan, kesihatan, pelayaran, perperangan dan sebagainya, tetapi juga genius dalam tertib pemikiran, merangkumi kearifan berbahasa yang mencerminkan ketinggian intelektual bangsa.

Dalam korpus kesusasteraan Melayu tradisional, disebabkan sistem kehidupan masyarakat lampau meliputi orang kebanyakan, kelompok pedagang, golongan agamawan dan golongan bangsawan termasuklah pihak istana, maka sastera Melayu terbahagi pada beberapa bahagian, antaranya sastera rakyat dan sastera istana, justeru mendorong pada pembentukan dua tradisi, iaitu lisan dan tulisan.

Sungguhpun demikian, syair yang merupakan salah satu bentuk puisi Melayu tradisional dianggap begitu istimewa. Keistimewaan syair terletak pada fungsinya yang menyentuh segenap sistem kehidupan masyarakat Melayu lampau, meliputi kehidupan masyarakat biasa dan golongan istana, serta penyampaiannya yang meluas dalam tradisi lisan dan tulisan.

Menurut Siti Zaleha dalam buku Siri Penghayatan Puisi Tradisional: Kenali Puisi Tradisional Kita (2013:14), “Dalam perbendaharaan puisi tradisional, syair merupakan jenis puisi yang kedua terbesar jumlahnya selepas pantun”. Maksudnya, kedua-dua jenis puisi Melayu tradisional ini mempunyai fungsi yang besar dalam ketamadunan bangsa, iaitu lazim diguna pakai sebagai alat komunikasi berbanding dengan puisi Melayu tradisional yang lain.

Berbanding dengan puisi Melayu tradisional yang lain juga, pantun dan syair turut mempunyai beberapa persamaan dari segi fizikal, iaitu terdiri daripada empat baris serangkap, sembilan hingga 13 suku kata sebaris dan empat hingga lima perkataan sebaris. Bezanya, rima pantun ialah a/b/a/b manakala syair terdiri daripada rima a/a/a/a, serta fungsi juga aturan pembinaannya berlainan.

Pantun empat kerat yang menggunakan rima a/b/a/b.

Pantun merupakan puisi tradisional berbentuk pengucapan serangkap. Hal ini bermakna, sekiranya sesiapa sahaja mengucapkan serangkap pantun, hasrat, isi hati atau maksud yang mahu disampaikan sudah lengkap. Berbeza pula dengan syair kerana satu rangkap syair tidak menyatakan maksud yang konkrit.

Syair perlu dibina beberapa rangkap bagi menyampaikan suatu idea atau gagasan pemikiran, kerana sifat juga fungsinya untuk bercerita, manakala pantun jelas lebih berfungi sebagai wadah percakapan.

Syair nasihat dengan rima a/a/a/a.

Dinyatakan dalam Mendekati Kesusasteraan Melayu (1990:163), “Sementara bentuk syair pula, setiap rangkap empat baris itu merupakan secebis daripada suatu pemikiran atau cerita yang panjang dan lazimnya mengandungi banyak rangkap untuk lengkap menjadi suatu kisah atau cerita.” Berikut dipaparkan petikan pantun dan syair bagi memperlihatkan perbezaannya:

Orang hulu menebang jati,

     Orang darat menetak palas;

Kalau nak tahu budi sejati,

    Tidak berhajat minta dibalas.

                                                                 (Kurik Kundi Merah Saga, 2015)

Gemerlapan cahaya bintang kartika,

Beratur majelis bagai dijangka,

Sekaliannya bintang terbit belaka,

Pungguk melihat kalbunya duka.

(Syair Burung Pungguk, karya Hamzah Fansuri)

Merujuk petikan pantun dan syair tersebut, jelas dilihat betapa maksud pantun boleh disampaikan hanya dengan satu rangkap. Dua baris pantun (dihitamkan) membawa maksud seseorang itu dianggap melakukan amal kebaikan dengan ikhlas sekiranya budi yang dihulurkan tidak mengharapkan sebarang balasan. Demikianlah, cukup sekadar satu rangkap, pantun boleh menyampaikan makna yang menyeluruh atau dianggap konkrit.

Berbanding dengan petikan Syair Burung Pungguk karya Hamzah Fansuri yang disertakan sebagai contoh, dengan membaca hanya serangkap, syair itu menimbulkan persoalan seperti “apa yang menjadi simbolik di sebalik penggunaan bintang?” dan “mengapakah pungguk begitu berduka?”.

Pelbagai ketidakfahaman timbul kerana syair merupakan karangan panjang berbentuk cerita yang perlu dilengkapkan dengan beberapa rangkap. Disebabkan itu jugalah apabila menyampaikan pantun dan syair, pantun disampaikan dengan cara bertutur atau dilafazkan, manakala syair disampaikan secara berlagu, bagi menyatakan emosi di samping mendukung maksud penceritaan.

Menurut Abdul Mutalib dalam buku Syair Siti Zubaidah Perang China (1991:vii), “Dibandingkan dengan puisi pantun yang lebih bersifat dialog atau penglahiran idea secara pendek-ringkas, syair mengambil tempatnya yang tersendiri, iaitu melahirkan pemikiran yang berterusan.”

Sebelum meneliti nahu syair yang lebih rencam, Siti Zaleha dalam Siri Penghayatan Puisi Tradisional: Kenali Puisi Tradisional Kita (2013:13) menyatakan, “… istilah syair berasal daripada perkataan Arab: shi’r yang bermaksud puisi secara umum sedangkan sha’ir bermakna penulis puisi, penyair atau penyajak.” Merujuk petikan serta berdasarkan fahaman umum, syair merupakan pemaduan budaya antara Arab-Parsi dengan bangsa Melayu.

Syair mula berkembang sekitar kurun ke-15, dipercayai dibawa masuk atau diperkenalkan oleh golongan pedagang juga agamawan. Melihat perkembangannya, kebanyakan pengkaji menganggap bahawa pengaruh Arab-Parsi begitu dominan dalam syair Melayu. Ada juga yang mengatakan syair bukan milik asli bangsa Melayu, sedangkan nama-nama besar dalam kesusasteraan seperti Hooykaas, Stutterheim, Werndly dan Syed Naquib al-Attas menyatakan, syair merupakan milik Melayu asli.

Perkara ini banyak dikupas oleh ilmuwan tersebut dan turut dinyatakan dalam Puisi Melayu Tradisi (2016:xiii):

  1. Disebabkan kata syair itu datangnya dari Arab-Parsi, maka syair dianggap datang dari luar.
  2. Meskipun kata syair ada kaitannya dengan bahasa Arab-Parsi, tetapi bentuk syair ialah ciptaan orang Melayu di Nusantara ini.

Hakikatnya, yang paling mudah difahami ialah syair begitu dekat dengan bunyi bait-bait persajakan berangkap dan berima seperti lazimnya didengari ketika membaca al-Quran. Dalam satu wawancara penulis bersama-sama Abdul Halim R pada 14 Oktober 2017, “Syair begitu dekat dengan al-Quran. Banyak surah berangkap dan rimanya sama, dan syair juga seperti al-Quran, merupakan rangkaian cerita yang panjang.”

Merujuk tokoh syair ini, dapat dijalinkan pula beberapa modul pengajian yang mengklasifikasikan syair sebagai Sastera Melayu Klasik Bercorak Islam (1999), sementelahan pula syair sememangnya puisi tradisional yang berkembang selepas kedatangan Islam di Nusantara.

Lantaran itu, bentuk fizikal serta falsafahnya amat akrab dengan kebudayaan Islam yang diamalkan oleh para agamawan dan pedagang Arab-Parsi pada ketika itu. Akan tetapi, dari segi bahasanya merupakan bahasa asli Melayu, sistem bunyinya Melayu, adat juga langgam budaya yang diwariskan milik lokal, begitu juga cerita yang disampaikannya, latar yang digambarkan, watak-watak yang diriwayatkan, dan kosmologi bangsa yang dicitrakan, semuanya menunjukkan bahawa syair adalah asli milik bangsa Melayu.

Syair Melengkapi Aspek Sastera Lisan dan Tulisan

Meskipun pantun lebih terkenal, malah sering dilantunkan dalam acara besar hingga hari ini, tetapi pantun cuma tergolong dalam sastera lisan. Pada zaman lampau, pantun jarang-jarang dikumpulkan menjadi suatu rujukan, apatah lagi dihimpunkan menjadi suatu dokumentasi seperti syair.

Ini berikutan fungsi pantun yang merupakan gaya bercakap orang dahulu kala. Pantun menjadi suatu kebiasaan spontan tatkala sedang bersantai, berjenaka, menyampaikan nasihat, sesekali diangkat sebagai permainan beradu pemikiran ketika dalam temasya.

Usaha mengumpulkan semula pantun ini dilakukan ketika Melayu sudah moden, supaya warisannya tidak hilang dimamah radikalisasi dunia yang mengancam ketamadunan bangsa, lalu terbitlah buku seperti Kurik Kundi Merah Saga.

Tidak seperti pantun, syair pula menyentuh segenap aspek kesusasteraan dan kebudayaan Melayu. Menurut Ghazali Lateh dalam Kumpulan Syair Negara Tercinta (2013:viii), “Dalam konteks kesusasteraan Melayu, syair sangat dominan kerana digunakan untuk menceritakan riwayat dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam sejarah.” Petikan tersebut membuktikan bahawa syair menelusuri perkembangannya, dirakam dalam bentuk tulisan kerana syair meriwayatkan peristiwa penting untuk tatapan anak bangsa.

Berikutan itulah, meskipun pada zaman moden sekarang, kita sering menjumpai teks klasik syair Melayu bercorak sejarah seperti Syair Sultan Maulana, Syair Singapura Terbakar dan Syair Perang Mengkasar yang meriwayatkan kisah perperangan, pensejarahan atau raja-raja  di alam Melayu.

Tidak kurang juga fungsi syair dapat diklasifikasikan dengan begitu jelas, yakni terbahagi pada beberapa tema lain seperti syair kiasan atau alegori (seperti Syair Ikan Terubuk dan Syair Bujang), syair agama (seperti Syair Nabi Yusuf dan Syair Nabi Muhammad), syair romantis (seperti Syair Dandan Setia dan Intan Terpilih dan Syair Siti Zubaidah Perang China), syair nasihat (seperti Syair Nasihat kepada Anak, Syair Amanat) serta pelbagai lagi tema syair.

Dalam aspek ini, jelas betapa fungsi syair begitu holistik, bukan sahaja sebagai merakam warisan juga falsafah bangsanya, tetapi syair itu sendiri berada dalam segenap strata masyarakat, mengibarkan panji tauhid dan akidah kepada golongan istana, juga dalam kalangan masyarakat kebanyakan.

Lebih mengagumkan, menurut Mohd. Taib Osman dalam Kesusasteraan Melayu Lama (1974:94), “Adanya daya puisi pada syair tidak dapat dinafikan kerana cerita-cerita atau nasihat-nasihat boleh dikemukakan dengan bentuk prosa atau bentuk bertutur yang terus.” Bermaksud, syair tidak sekadar terhenti pada bentuk tulisan. Berikutan sifatnya yang merupakan penceritaan (riwayat) panjang, masyarakat dahulu turut menurunkan kisahnya secara lisan.

Ini menyebabkan skop syair dilihat lebih meluas kerana menyentuh kedua-dua cabang kesusasteraan Melayu tradisional, iaitu tradisi tulisan juga tradisi lisan. Menurut Hashim Awang  dalam buku Mendekati Kesusasteraan Melayu pula (1990:164), “Lazimnya, syair yang dicetuskan daripada kematangan dan ketinggian berfikir itu diucapkan dengan secara berlagu dan dari situ akan terlahirlah kemerduan dan keindahan bunyi bahasa kepada si pendengar.”

Merujuk petikan, lebih membanggakan, syair tidak dilafazkan dengan nada percakapan, sebaliknya disampaikan secara berlagu. Rentetan daripada rencam temanya pula, terhasillah kepelbagaian irama untuk menyampaikan sesuatu cerita secara berkesan, bersesuaian dengan nada, emosi dan jalan cerita.

Syair “Burung Nuri”, irama hiasan.

Intihanya, apabila menyebut perkataan syair, yang pasti amat sukar generasi marcapada pada hari ini menjangkau intelektual bangsa Melayu lampau yang jelas hidup dalam kelompok masyarakat genius. Bayangkan, masih mampukah kita untuk menghasilkan senaskhah buku tebal, misalnya seperti Syair Siti Zubaidah Perang China (SSZPC) yang memiliki sebanyak 3736 rangkap syair?

Secara kalkulasinya, pengarang SSZPC telah berjaya mengawal sebanyak 14 944 baris syair dengan rima belakang terkawal a/a/a/a, memadukan pula kawalan tersebut dengan simbolik serta rencam metafora sastera, menyampaikan lagi mesej dakwah dan akidah, di samping bijak menjalin mainan emosi supaya plot penceritaan kisah yang panjang ini tidak menjunamkan mod penceritaannya.

Perbendaharaan kata pengarang zaman lampau begitu hebat, demikian pula kandungannya bersifat didaktik sehingga menjadi malar segar merentas sejauh manapun kesenjangan zaman. Bayangkan lagi, usai teks dibangunkan, masyarakat Nusantara menyambutnya pula sebagai hak sepunya, mendendangkannya dengan irama yang mengasyikkan, sehingga membumi di seluruh Nusantara, meskipun penghubung atau jalan masyarakat Melayu lampau hanyalah perairan.

Berbanggalah, kerana meskipun generasi hari ini kian samar dengan kebudayaan bangsanya, tetapi kitalah cucu-cicit pewaris intelektual bangsa yang memegang hak cipta syair yang diakui sebagai mahakarya dalam tradisi lisan dan tulisan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.