Oleh Nazrul Aziz
16 Ogos 2021, 22:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perlis – “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.” Berbekal busana serba hitam dan beraksi seakan-akan pahlawan, Nor Fa’alina Abu Hassan yang mendeklamasikan puisi hasil karya Abdul Karim Ghulam iaitu “Citra Jiwa Merdeka” telah dinobatkan sebagai Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-35 Peringkat Negeri Perlis 2021 yang diadakan pada 15 Ogos 2021.

Antara peserta yang turut menyertai SDPK.

Selaku johan, Fa’alina yang juga merupakan pensyarah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin membawa pulang RM1000 sebagai hadiah kemenangan dan akan mewakili negeri Perlis ke peringkat kebangsaan. Sayembara yang julung kalinya diadakan secara dalam talian ini telah disertai oleh sebelas orang peserta pada peringkat akhir dengan menggunakan medium aplikasi Google Meet.

Para penonton juga dapat menyaksikan secara langsung pertandingan ini menerusi laman rasmi Facebook Persatuan Penulis Perlis. Pada pusingan awal, setiap peserta yang menyertai sayembara dikehendaki untuk menghantar video deklamasi mereka ke Facebook Persatuan Penulis Perlis sebelum dinilai oleh juri bagi melayakkan mereka ke peringkat akhir.

Sayembara peringkat negeri Perlis ini telah dianjurkan oleh Persatuan Penulis Perlis dengan kerjasama Gabungan Penulis Nasional (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Majlis Kebudayaan Negeri Perlis dan Jabatan Pelajaran Negeri Perlis.

Nor Nubailah Nasri, pemenang tempat ketiga.

Selain Fa’alina, dua orang lagi pendidik telah dinobatkan sebagai naib johan dan tempat ketiga iaitu Noryusri Mansor, guru SMK Syed Hassan, Kangar yang telah mendeklamasikan puisi “Landskap Bangsa” dan Nor Nubailah Nasri, guru SMK Abi, Kangar yang mendeklamasikan puisi bertajuk “Naratif Ogos Seorang Helang.” Sayembara tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Asmaiza Ahmad, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi