15 Ogos 2021, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur- Sembuh selepas bergelut dengan wabak COVID-19. Begitulah kisah yang akan dibincangkan dalam Sembang Cangkir pada kali ini. Hasni Jamali, seorang penulis yang menggunakan nama pena Hanna Johan, bangkit dengan semangat dan azam baharu untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Mengakui dirinya seorang yang pemalu dan kurang keyakinan diri. Hasni, yang turut aktif melukis komik kanak-kanak merancang untuk melakukan perkara yang sudah sekian lama berada dalam senarai impian beliau.

“Sekarang ini saya sedang menyiapkan antologi cerpen dengan sahabat penulis yang lain. Dalam buku tersebut, mungkin akan ada selitan cerita tentang COVID-19 atau kisah pejuang COVID-19. Selain itu, saya juga ada menghasilkan skrip drama radio, cerpen dan puisi. Jika tidak disiarkan atau diterbitkan, saya akan kongsikan dengan rakan di media sosial,” ujar beliau.

Selain itu, beliau turut berkongsi pengalaman pahit sepanjang menempuh ujian melawan penyakit COVID-19. Menurut beliau, selain memberi impak fizikal seperti perubahan deria rasa dan selera makan, COVID-19 turut memberi kesan psikologi iaitu beliau tidak mampu untuk berfikir banyak mengenai tanggungjawab dalam kerjaya beliau.

“Saya bersyukur apabila diberi kelonggaran untuk tidak menangani urusan kerja buat sementara waktu, meskipun berkaitan tugasan yang saya minat. Mungkin atas faktor penyakit itu sendiri, iaitu saya seakan-akan sedang berperang dengan diri sendiri sambil berfikir sama ada saya akan selamat atau hanya setakat ini sahaja hayat yang dipinjamkan,” tambah Hasni.

Sembang Cangkir: Peluang Kedua Penulis sebagai Pejuang COVID-19.

Pada akhir sesi perkongsian tersebut, Hasni turut menceritakan kisah perkenalan dengan seorang peminat yang mengikuti hasil karya beliau yang juga merupakan pesakit COVID-19. “Daripada perasaan minat terhadap karya saya, beliau turut memberikan nasihat dan sokongan kepada saya sepanjang melawan penyakit ini,” kata Hasni.

Sebagai pejuang COVID-19, sudah tentu banyak pihak yang telah membantu beliau untuk terus bangkit dalam perjuangan tersebut. Oleh itu, beliau turut menzahirkan perasaan syukur dan berterima kasih kepada rakan-rakan dan ahli keluarga yang banyak menyumbang dari segi kewangan dan tenaga tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Sembang Cangkir yang diadakan pada pukul 10 pagi tadi turut menampilkan Hafizul Osman sebagai pencelah dan Syikin sebagai penyoal. Siaran penuh program tersebut dapat ditonton menerusi laman Facebook CangkirPena.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.