12 Ogos 2021, 11:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur ­̶ Tekanan yang dialami oleh seseorang individu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan atau dijadikan sebagai bahan jenaka. Namun bagi sesetengah individu, tekanan yang sedemikian masih boleh dikawal dengan baik dan disalurkan ke arah yang lebih positif.

Aliff Awan.

Mengakui bukan seorang yang mampu untuk berkurung di dalam rumah dalam tempoh yang lama, Aliff Awan, seorang pelajar dan penggiat seni mempersembahkan tiga sajak moden berbentuk lagu ciptaan beliau iaitu “Empat Pagi”, “Tak Boleh” dan “Yassin: Sajak Messed Up” yang semuanya terhasil sepanjang tempoh PKP.

Menerusi platform maya, Freedom Art Home Fest turut menampilkan beberapa pemuisi yang lain seperti GadisBukowski dan Arathi J Reddy yang berjaya menghidupkan suasana dengan perkongsian sajak dan puisi masing-masing dan diselang-seli dengan persembahan akustik oleh Weburndabox dan Juno N Hanna.

 

Freedom Art Home Fest merupakan acara amal pameran seni yang berlangsung secara dalam talian bagi memberi ruang kepada pemuisi untuk mempersembahkan hasil seni mereka. Acara ini berlangsung dari 9 hingga 15 Ogos 2021 yang menampilkan aktivis seni dengan pelbagai latar belakang dan hasil karya yang menarik untuk ditonton secara dalam talian. Maklumat lanjut berkaitan acara tersebut boleh didapati melalui Instagram @freedomarthome.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi