11 Ogos 2021, 11:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selamat datang Ogos, selamat datang bulan kemerdekaan!

Muzik berperanan penting dalam membentuk semangat nasionalisme sesebuah negara. Menurut Benedict Anderson, negara-bangsa yang moden wujud apabila rakyat mula menyanyikan semangat kebangsaan mereka bersama-sama. Perkara ini disebut sebagai unisonance, iaitu perasaan dan semangat yang satu dalam nyanyian yang dibuat bersama-sama pada waktu yang sama.

Muzik kebangsaan seringkali mewujudkan suasana kolektif sewaktu dipersembahkan dan ini merupakan elemen yang penting bagi perpaduan bangsa. Contohnya, apabila sebuah filem menampilkan nyanyian beramai-ramai, ini merupakan contoh semangat kolektif yang dikongsi oleh watak dalam filem tersebut.

Perkembangan sosiobudaya, sosiopolitik dan sosioekonomi memperbaharui takrif merdeka dan berjaya bagi sesebuah negara. Perkara ini turut terpancar melalui lagu patriotik yang mengalami evolusi lirik sepanjang merentas zaman. Kata-kata yang dinukilkan dalam lagu bertemakan nasional sentiasa mengikut situasi pembangunan negara, warna sosiobudaya, kefahaman tentang kemerdekaan serta pengisian kemerdekaan itu sendiri.

Makna patriotisme bukan lagi pada sambutan hari kebangsaan dengan perarakan pada setiap 31 Ogos, perjuangan menghalau penjajah atau pihak keselamatan yang mengangkat senjata. Merdeka adalah peluang hidup lebih baik.

Bagaimanakah dengan peluang pendidikan; adakah dapat dinikmati oleh semua? Bagaimanakah pengisian subjek yang memanifestasikan sejarah dan memupuk perpaduan kaum? Berjayakah bahasa kebangsaan didaulatkan di tempat tertinggi pentadbiran dan perundangan? Bagaimana kedudukan bahasa kebangsaan dalam media baharu? Sejauh mana lagu ini berjaya mengisi jiwa dan membentuk peribadi? Atau sekadar untuk dikumat-kamitkan setiap kali perhimpunan sekolah dan agensi?

Antara lagu patriotik terawal ketika Malaysia masih dikenali sebagai Malaya ialah Malaya Merdeka. Lagu ini dicipta oleh D. Abell dan dinyanyikan oleh Zera Agus.  Dalam lagu ini ada disebut, “Police, Home Guard, Malay Regiment”, yang menggambarkan latar zaman.  Kemudian, Tanah Melayu pun diisytiharkan merdeka dan lagu Tanggal 31 Ogos dicipta dengan tujuan menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.

Lagu ini dicipta dan dinyanyikan oleh penyanyi Ahmad Chass Baras atau lebih dikenali sebagai Ahmad C.B. Tanggal 31 Ogos ini kemudian disusun semula muziknya oleh S. Atan pada tahun 1982 dengan rentak yang lebih bersemangat dan dipopularkan kembali oleh Sudirman.

Lagu Bahtera Merdeka, nyanyian penyanyi, Aisyah. (Sumber: YouTube).

Lagu Bahtera Merdeka nyanyian Ahmad Jais juga hanya menyebut Tanah Semenanjung. Sabah dan Sarawak belum hadir dalam lagu patriotik ini yang liriknya ditulis oleh S. Sudarmadji dan dicipta oleh Kassim Masdor semasa beliau berusia 16 tahun.

Lagu ini mengambil konsep tanah air sebagai bonda dan rakyat sebagai putera puteri melalui baris “Bonda senyum riang menerima bahtera merdeka/putera puteri sayang sedang berjuang”. Selain itu, lagu ini turut menggunakan metafora “fajar menyinsing” sebagai harapan baharu kepada sebuah negara merdeka.

Sebuah lagi lagu patriotik ciptaan Kassim Masdor ialah Malaysia Baru yang mengambil semangat pembentukan Malaysia ketika Singapura masih bersama-sama negara ini. Kemudian, Malaysia melalui detik getir dalam peristiwa Konfrantasi dengan Indonesia. Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman menyatakan bahawa salah satu cara untuk menaikkan semangat rakyat ialah melalui muzik.

Bagi mencapai tujuan tersebut, seorang pencipta lagu dipanggil untuk mencipta beberapa lagu patriotik. Pencipta yang dimaksudkan, iaitu yang berjaya meyakinkan Tunku Abdul Rahman ialah Saiful Bahari. Saiful Bahri pun mencipta dua lagu, iaitu Malaysia Berjaya dan Perajurit Tanah Air yang juga dikenali sebagai Inilah Barisan Kita.

Lagu-lagu ini sangat menaikkan semangat perjuangan dan liriknya juga tidak menyebut khusus mengenai satu bangsa atau agama sahaja. Hal ini agak berbeza dengan lirik lagu Malaya Merdeka yang agak ketara berpusatkan pada satu bangsa melalui baris pertama lagi; “Wahai Melayu umat Malaya/mari kita bekerjasama”.

Lagu Malaysia Berjaya juga telah menyebut nama semua negeri di Malaysia ketika itu melalui baris, “Dari Perlis sampailah ke Sabah/kita sudah merdeka.” Lagu Malaysia Berjaya dan Perajurit Tanah Air dinyanyikan sepenuhnya oleh Jamaludin Alias, iaitu seorang juruhebah Radio Malaysia yang berbakat menyanyi. Saiful Bahri turut mencipta lagu rasmi negeri Melaka dan menulis lirik untuk lagu rasmi negeri Selangor.

Namun ada satu perkara yang menarik dan menjadi unsur ironi dalam hal ini. Lagu yang dicipta untuk menaikkan semangat rakyat Malaysia dalam menghadapi kemungkinan berperang dengan Indonesia itu dicipta oleh seorang penggubah yang berasal dari Paya Kumbuh, Indonesia sendiri. Bagi mengelakkan hal-hal yang kontroversi, Saiful Bahri telah menggunakan nama Surya Buana.

Hal yang sama juga melibatkan penyanyi Ahmad C.B yang berasal dari Medan dan S. Sudarmadji yang berasal dari Jawa. Namun ini harus difahami dari sudut sejarah kerana Tanah Melayu ketika ini lebih tinggi semangat Nusantaranya.

Selepas Malaysia berpisah dengan Singapura, Seniman Agung P. Ramlee telah mencipta lagu Joget Malaysia yang konsepnya lebih santai dan mudah. Lagu ini lebih berbentuk “kuiz” dengan menanyakan nama negara, di mana ibu negeri dan bilakah bulan kemerdekaan. Lagu ini dicipta oleh P. Ramlee lebih untuk tujuan berhibur dan diikuti ramai.

Namun seiring dengan perubahan zaman, pengisian lagu patriotik turut mengikut warna pembangunan negara. Contohnya lagu Keranamu Malaysia ciptaan Siso memuatkan baris, “pakar IT, pakar ekonomi, jaguh sukan dan juga jutawan/alam siber teknologi terkini”. Perkara seperti ini tentulah tidak disebut dalam lagu patriotik beberapa dekad sebelum itu.

Apabila konsep Wawasan 2020 diumumkan oleh Perdana Menteri ke-4, sebuah lagu turut dicipta untuk membina harapan dan daya optimis bagi mencapai cita-cita tersebut. Namun demikian, apabila mengenang keadaan negara ketika tahun 2020, barangkali ramai yang bersetuju bahawa sebuah impian besar terus tinggal dalam lagu sahaja.

Lagu Negaraku nyanyian Faizal Tahir, Altimet, Joe Flizzow dan Sonaone memasukkan sebaris ayat dalam bahasa Inggeris, iaitu “Try’na change the world”, unsur rap dan juga bahasa kolokial seperti pada baris, “Buat je cara kita, buat je cara kita”.

Ada yang mempertahankan pendapat bahawa unsur tersebut menjadikan warna lagu ini dekat dengan generasi terkini. Ada juga yang kurang senang dengan percampuran bahasa, seolah-olah mencerminkan rasa “kurang hormat” kepada bahasa ibunda sendiri, walaupun sudah lebih 60 tahun merdeka.

Lagu patriotik adalah artifak budaya. Artifak ini membawa makna yang telah dipersetujui sebagai makna sesebuah bangsa. Selepas melalui tempoh sukar akibat wabak ini, barangkali makna merdeka pada kita lebih kepada rasa bebas daripada kurungan, rasa bebas dapat berurusan seperti kehidupan norma lama, rasa sejahtera kerana dapat menghirup udara yang sihat.

Merdeka yang sebenar adalah memiliki kehidupan sendiri tanpa rasa takut kepada penyakit, kesempitan hidup dan penindasan. Kita akan menunggu baris lagu yang paling tepat dan indah untuk meraikan makna “merdeka” nanti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.