Oleh Mimi Musa
11 Ogos 2021, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Buku yang tidak seronok dibaca akan menyebabkan momentum membaca semakin berkurang,” ujar Husna Rosli, salah seorang ahli panel dalam rancangan “Acah Borak”.

“Acah Borak” merupakan sebuah rancangan baharu yang disiarkan dalam laman sosial Facebook Booktube Malaysia. Dalam episod pertama, ahli panel yang diundang terdiri daripada booktuber yang membicarakan topik bertajuk, “Mencari Keghairahan Membaca”. Selain Husna, ada dua lagi ahli panel, iaitu Aman Wan dan Nyuu Bellka, manakala Hafiz Latiff pula dilantik sebagai pemudah cara.

Pada awal sesi perbincangan, Aman Wan dan Nyuu Belka berkongsi tentang keghairahan mereka membaca bahan bacaan terkini, iaitu komik manga. Menurut mereka lagi, keghairahan membaca manga sentiasa beterusan atas beberapa faktor.

Komik manga antara bahan bacaan yang menjadi pilihan dalam kalangan pembaca di seluruh dunia. 

Antaranya, pembacaan manga boleh dihabiskan dalam tempoh masa yang singkat berbanding dengan novel. Apabila menghabiskan satu-satu komik manga, pembaca akan segera berkeinginan untuk membaca komik manga yang seterusnya.

Faktor lain yang menentukan momentum atau keghairahan membaca ialah buku bersiri. Menurut Husna, ada kalanya buku bersiri akan mengganggu pembacaan sekiranya ada siri yang tidak lengkap. Namun, dengan membaca buku bersiri pembaca akan lebih ghairah dan teruja membaca siri seterusnya untuk mengetahui sambungan cerita.

Keghairahan membaca juga boleh menjadikan seorang pembaca tegar kepada penulis. Aman Wan mengatakan, dia biasa membeli manga dengan harga RM3.50 semasa kecil. Apabila melanjutkan pengajian di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, pelajar perlu menggunakan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi khususnya, menyebabkan dia banyak membaca novel dalam bahasa Inggeris.

“Daripada situ, saya mula berasa seronok membaca novel. Oleh sebab pekerjaan kini memerlukan saya menulis hantaran dalam laman sosial, maka saya mula belajar menulis dan menyusun cerita,” kata Aman Wan.

Begitu juga dengan Nyuu Bellka. Sebelum ini dia ghairah menghias diri dengan alat solek dan pokok hiasan, namun kini keterujaannya beralih kepada buku. Menurutnya, mempunyai sesuatu keterujaan dan bersungguh-sungguh dalam keterujaan tersebut merupakan sesuatu yang menyeronokkan dan memberikan kehidupan yang lebih bermakna.

Poster program “Acah Borak”, episod 1.

“Saya telah menghabiskan wang yang banyak sebelum ini dengan kehghairahan terhadap alat solek dan pokok hiasan. Kini, keghairahan saya telah beralih kepada buku dan saya gembira,” kata Nyuu.

Sebelum rancangan ini tamat, ada penonton bertanyakan soalan yang berbunyi, bagaimanakah untuk mengekalkan kewarasan dan keghairahan dalam melaksanakan semua perkara pada satu-satu masa?

Menjawab soalan daripada penonton itu, Husna mengatakan bahawa dia memfokuskan dan mengutamakan perkara penting dahulu. Aman Wan yang merupakan pelukis komik, pereka animasi dan penulis pula berkata, dia mendapatkan bantuan daripada isterinya untuk mengingatkan tentang fokus tertentu pada masa tertentu.

Bagi Nyuu pula, dia meletakkan batas tertentu untuk minat dan hobinya. “Saya akan fokus minat pada satu-satu perkara sahaja dalam satu masa kerana setiap minat tersebut memerlukan wang, pengorbanan masa dan juga wang. Jadi semua perkara itu perlu membuat pertimbangannya.”

Booktuber Malaysia merupakan persatuan yang mengumpulkan pempengaruh yang menggunakan YouTube sebagai medium perkongsian mengenai buku.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.