9 Ogos 2021, 12:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Sumber: Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Astro Arena
Lagu: Standing in The Eyes of The World, Ella

 

(Didedikasikan kepada para atlet Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Negara)

Inilah MALAYSIA

dari sejaluran perjuangan sukan

kita masih mengangankan kilauan emas

kita masih menunggu detik menjulang jaya

terima kasih tak terhingga

terima kasih kepada para atlet yang membawa panji perjuangan negara

di Tokyo mungkin bukan masa kita

namun dalam setiap acara

nama kontinjen Malaysia

membuat lawan meronta-ronta

di tengah sengit dan deras persaingan

kita tewas bermaruah.

 

Inilah MALAYSIA

di hadapan kaca televisyen

siaran langsung memancarkan rentas sokongan kita

berdenyut nadi setiap rakyat yang setia

berdetak hati rakyat berbilang bangsa

inilah perpaduan sejati

kita impikan Lee Zi Jia jinakkan Chen Long

kita teruja menyaksi terjunan sempurna Pandalela Rinong, Dhabitah

kita terpesona dengan gerak rentak gimnas negara Farah Ann

kita berteriak melihat kayuhan laju pintas Dato’ Azizulhasni Awang

kita kagum dan takjub dengan roh kental Shah Firdaus

lebih beberapa dekad kita menunggu sinar keemasan

kalianlah wira bangsa, pahlawan negara

setia menggalas hasrat

tidak lelah membilas keringat

suka duka tawa air mata

inilah MALAYSIA

kita bersama.

 

Inilah MALAYSIA

marilah kita leburkan luka kesakitan

marilah kita perkasakan gerak daya

marilah kita himpunkan kudrat siaga

marilah kita semarakkan waja semangat Malaysia

bangkitlah

bangkitlah

dan bangkitlah

jumpa di sana Sukan Olimpik Paris 2024 nanti

emas pertama Malaysia

emas yang pastinya menyinar.

 

4.11petang,

8/8/2021

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.