6 Ogos 2021, 11:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur- Usaha dan sokongan daripada ibu bapa serta bimbingan berterusan daripada guru merupakan kunci utama buat dua permata muda ini, Yukthashna Gopinathan dan Lau Genen yang berjaya memenangi pertandingan syair dan sajak di peringkat negeri.

Oleh itu, sebagai usaha untuk menggalakkan golongan muda, khususnya bukan Melayu untuk meminati puisi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan rancangan Yang Lama Dijunjung: Remaja Menyantuni Puisi yang diadakan menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 4 Ogos 2021.

Lau Genen.

Lau Genen, pelajar tingkatan tiga dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tinggi Cina, Melaka yang pertama kali mendeklamasikan sajak pada usia 13 tahun mengatakan bahawa ibunya memainkan peranan besar dalam usaha mencari maksud perkataan untuk memahami dan menghayati sesuatu sajak sebelum mula berlatih untuk menyampaikannya.

Menurut guru pembimbing beliau, Zuridah Othman, “Tidak susah untuk melatih Lau Genen kerana beliau sememangnya sudah ada bakat dari segi gaya, bahasa dan nada.”

“Secara asasnya, syair, sajak dan pidato memang ada dalam sukatan pelajaran. Kami sebagai guru akan bimbing dan pihak panitia Bahasa Melayu akan menjalankan pelbagai aktiviti di sekolah seperti pertandingan pidato, syair dan sebagainya. Dari situ, kami akan kenal pasti pelajar yang berpotensi dan antara pelajar yang berjaya kita gilap ialah Genen”, ujar beliau.

Yukthashna Gopinathan.

Manakala, bagi pelajar berusia 14 tahun dari Johor, Yukthashna Gopinathan pula telah menjadikan minat terhadap nyanyian sebagai faktor utama beliau meminati dan mendalami dunia syair.

Yukthashna yang memenangi tempat ketiga selepas mendendangkan lagu Suasana Hari Raya dalam pertandingan Suara Emas telah berjaya mendapat perhatian gurunya, Norazila Mohd Amaji yang kemudiannya mempelawa beliau untuk menyertai pertandingan syair.

“Saya banyak melihat video di Youtube sebagai panduan, kemudian saya akan praktis dan hantar video kepada cikgu untuk menilai dan perbaiki kesalahan,” ujar beliau yang turut sama bersetuju bahawa memahami puisi adalah penting untuk menyampaikannya dengan baik.

Walaupun terbatas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak pandemik COVID-19 melanda, keterbatasan tersebut tidak menjadi penghalang buat Yukthashna untuk menyertai pertandingan syair peringkat negeri secara dalam talian dan berjaya memenangi tempat ketiga pada tahun lepas.

Semangat kecintaan kedua-dua pendeklamasi muda ini terhadap puisi dapat dijadikan sebagai pendorong untuk generasi muda di luar sana agar menghargai dan mendalami keindaan puisi tersebut. Rancangan tersebut boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.