2 Ogos 2021, 13:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KISMy ialah singkatan bagi Komuniti Menulis Malaysia yang diasaskan oleh Wacana Minda juga selaku Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia. Beliau ialah penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan 2020.

Baru-baru ini telah diadakan siri akhir Bengkel Bimbingan Penulisan Mega Antologi Puisi Keindahan dan Keistimewaan Setempat bersempena dengan projek penulisan antologi puisi yang sedang diusahakan melibatkan 14 buah negeri di Malaysia.

Bengkel terakhir itu melibatkan Zon Tengah dan Zon Selatan dari negeri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Kehadiran para peserta, para penyelenggara juga pembimbing dan editor kanan merangkumi 98 orang.

Pada awal setiap sesi bimbingan, para peserta diperkenalkan dengan sejarah penubuhan KISMy pada tahun 2020 dengan matlamat, menyediakan ruang dan peluang kepada setiap anggota masyarakat untuk menulis tanpa mengira siapa mereka, khususnya kelompok penulis muda. Justeru, penyediaan ruang dan peluang ini dapat membantu setiap individu mengembangkan potensi diri.

Seterusnya para peserta diperkenalkan dengan jenis penulisan sajak, ciri-cirinya dan juga gaya penulisan pantun yang indah. Istimewanya, sebahagian daripada karya yang bakal terbit ini akan menampilkan sajak dalam dialek negeri. Inilah keistimewaan dan keunikan projek antologi puisi kelolaan KISMy.

Empat siri bengkel yang sebelumnya bermula dengan penjelajahan di Zon Utara pada 6 Julai, Zon Malaysia Timur dan Wilayah Persekutuan pada 22 Julai, Zon Timur pada 27 Julai dan berakhir di Zon Tengah dan Selatan pada 29 Julai.

Kembara pada setiap zon ini bukan semata-mata membimbing, bahkan mengutip setiap idea daripada pengkarya mapan dan tokoh budayawan yang turut serta memberikan sokongan dan dukungan. Selain bengkel, temu bual eksklusif juga turut diadakan yang menampilkan setiap tokoh dan budayawan bagi setiap negeri melalui Ceritera FM.

Terdahulu, KISMy telah menerbitkan beberapa buah buku sejak 2020 antaranya Suara Dalam Dinding 2020 (Esei dan Memorabilia), Nyanyian Baruh Hujan Januari (Puisi Dwibahasa) dan juga travelog dengan judul Sesayap Kenangan Sesayup Rindu.

Bagi Projek Penulisan Mega Antologi Puisi Keindahan dan Keistimewaan Setempat ialah projek keempat yang sedang diusahakan. Projek yang ditangani oleh 28 orang penyelenggara ini bakal memuatkan puisi berkaitan dengan keunikan dan keindahan yang terdapat di negeri dalam Malaysia juga tidak diketahui ramai.

Merangkumi kepelbagaian cerita yang tersirat daripada pelbagai aspek seperti adat istiadat, sejarah tempat, kepelbagaian makanan tradisional, cerita mitos, legenda dan sebagainya.

Bengkel terakhir Zon Tengah dan Selatan yang menampilkan Syarifah Salha Syed Ahmad sebagai moderator, Wacana Minda sebagai pembimbing, R’zie Ibrahim, Ekien Ishak dan Ku Sunira Ku Johari selaku editor kanan merangkap fasilitator mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta.

Pada akhir bengkel, Dato’ Paduka Wira Profesor Madya Mohd Rosli Saludin (Raja Teromba) memeriahkan suasana dengan pengucapan terombanya yang begitu unik.

Bengkel tersebut menggunakan pelantar Google Meet dan sijil penyertaan juga turut diberi sebagai tanda penghargaan kepada jawatankuasa pengurusan, moderator dan para peserta. Rata-rata para penulis pemula mendapat pencerahan yang mampu melonjakkan semangat untuk berkarya. Usaha ini wajar dipuji demi menyemarakkan lagi dunia penulisan tanah air.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.