31 Julai 2021, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Majalah dalam Kelas (MDK) Dewan Siswa Siri 3: Penulisan Cerpen telah diadakan pada 31 Julai 2021 (Sabtu) secara dalam talian. Program yang bermula pada pukul 9.00 hingga 11.00 pagi telah dirasmikan oleh Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu Dr. Rosmani Omar.

Tujuan program ini dianjurkan adalah untuk membimbing bakat penulisan cerpen dalam kalangan penulis pemula, khususnya pelajar sekolah menengah. Program ini dibimbing oleh Puan Salina Ibrahim, iaitu penulis novel Demi Tanah Qalha yang berjaya mengungguli Sayembara Penulisan Novel Sejarah untuk Remaja, anjuran DBP dan Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) 2019.

Antara objektif program MDK ini, termasuklah mendedahkan pelajar tentang asas penulisan cerpen dan kaedah membina cerita. Menurut Salina, penulisan cerpen merupakan proses dan memerlukan masa. Tidak hanya dengan mengikuti program ini selama dua jam, maka pelajar akan mahir menulis cerpen.

Proses menulis cerpen bermula daripada sesuatu, iaitu idea. Daripada idea itu, pelajar akan mencatat, mengumpulkan maklumat dan mengembangkan idea. Namun demikian, tidak semua idea sesuai digunakan dalam penulisan cerpen.

Program yang melibatkan 124 penyertaan ini mendapat kerjasama daripada lima Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), iaitu JPN Putrajaya, JPN Selangor, JPN Pahang, JPN Johor dan JPN Sabah serta 65 buah sekolah daripada seluruh Malaysia.

Turut hadir secara dalam talian bagi memeriahkan program ialah Ketua Penolong Pengarah, Unit Bahasa, Sektor Pembelajaran, JPN Johor, iaitu Puan Zaleha Mohd Yasin, Penolong Pengarah Unit Bahasa, Sektor Pembelajaran, JPN Sabah, iaitu Dr. Dewi Isma Madzlan, wakil Persatuan Penulis Johor, iaitu Haji Mohd Rosli Bakir serta guru-guru Bahasa Melayu daripada 65 buah sekolah yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.