31 Julai 2021, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Siri Wacana PENA yang membincangkan kewajaran sastera hanya untuk orang sastera menampilkan Dr. Ramzah Dambul, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) mentakrifkan kepentingan asas sastera sebagai grafitikasi jiwa atau rekreasi minda yang sama seperti sukan dan hiburan sebagai terapi kepada jiwa.

Ramzah dalam sesi yang berlangsung pada malam tadi turut  memberi kenyataan bahawa sastera adalah satu bentuk persuratan yang boleh membina gagasan ilmu untuk mengubah masyarakat dan menjadi tapak perubahan komuniti dalam gerakan yang mampu membentuk polisi, budaya, dan cara orang berfikir.

Turut hadir sama sebagai penel tetap dalam bicara itu ialah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, pensyarah di Universiti Malaya (UM) merangkap pengerusi Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Beliau apabila ditanya mengenai kasta dalam sastera oleh moderator, Mohd Khair mengatakan bahawa sebenarnya terdapat perbezaan dalam setiap hasil karya sastera sama ada produk yang baik atau tidak dalam menepati ciri sastera.

Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.

“Sastera itu cumalah wadah sahaja tetapi pengisiannya adalah daripada pelbagai bidang dan ini yang sewajarnya diangkat. Bukan hanya berharap kepada karya yang betul-betul dihasilkan oleh penulis sastera kerana pengisian dalam penulisan itu sahaja tidak cukup kuat untuk diangkat sebagai karya sastera. Perlu ada pengetahuan dan tidak hanya bergantung kepada kemahiran menulis semata-mata,” ujar Saleeh.

“Berkaitan soal kasta dalam sastera, perlu diketahui bahawa kesasteraan dan kesusasteraan itu berbeza. Banyak karya dilahirkan tetapi takrif kesasteraan itu pula ada tanda arasnya yang ditetapkan organisasi dalam memenuhi kriteria penilaian karya sastera, sekali gus bagi menjaga prestasi serta imej badan tersebut. Hal ini adalah perkara asas yang dibincangkan sebelum karya dinilai. Jadi soal pemeringkatan karya sastera itu memang wujud,” sambung beliau.

Beralih kepada cara memasarkan sastera kepada masyarakat, Ramzah Dambul berpendapat bahawa komponen sastera perlu dibawa merentasi pelbagai disiplin ilmu oleh pendukung sastera.

Dr. Ramzah Dambul.

“Mereka perlu bersungguh-sungguh menganjurkan dan perjuangkan gerakan ini sehingga wujudnya pelan hala tuju dalam kerangka rasmi polisi negara dan menjadi akar umbi dalam sistem pendidikan Malaysia yang tidak boleh dibuang begitu sahaja. Dari situ, akan ada peruntukan tahunan, pelbagai program dan sebagainya, seperti yang berlaku kepada pendidikan STEM yang tidak hanya berakhir sebagai salah satu subjek di sekolah.” kata Ramzah.

“Saya lihat komuniti sastera ini sedikit pasif dan banyak kelompok seperti sastera hiliran, sastera indie dan sebagainya yang menyebabkan berlaku konflik berpanjangan. Untuk memperkenalkan sastera kepada masyarakat, kita perlu bersatu seperti komuniti sains dalam kejayaan mereka memperkenalkan sains kepada masyarakat,” tambah beliau.

Mohamad Saleeh bagaimanapun menyentuh mengenai pendidikan sastera di peringkat sekolah dan berpendapat bahawa negara ini perlu ada satu karya yang menjadi ikon dan diterima setiap pelosok masyarakat tanpa mengira peringkat umur, bangsa dan agama.

“Di sekolah, barangkali ada kebimbangan dalam kalangan pelajar bukan Islam bahawa kita menggunakan teks yang sangat islamik sedangkan latar belakang agama para pelajar adalah pelbagai. Mereka mungkin menganggap ini sebagai satu diskriminasi dan berasa seolah-olah dipaksa mempelajari sastera yang bersifat islamik dan malay centric. Hal ini telah menjadi halangan dalam usaha untuk menjadikan sastera itu milik semua kaum,” kata beliau.

Beliau juga dalam bicara itu turut meluahkan kekesalan terhadap sudut sastera yang dipandang sepi di negara ini kerana asas pembinaan Malaysia adalah berdasarkan teknologi, ekonomi dan perdagangan walhal sastera perlu dilihat dari segi tanggungjawab sosial dan pembinaan sahsiah untuk dibangunkan.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi